Skip to main content

Singapura

6 orang didakwa atas perarakan dan perhimpunan haram

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Sep 2026 12:26PM Dikemas Kini : 05 Oct 2026 02:43PM
6 people charged over illegal procession and assembly
  • Six individuals, including Elijah Tay and Kyal Sin Linn Naing, were charged in Singapore with various offences linked to illegal processions and assemblies between February 2024 and July 2025.
  • The charges involve solidarity with Palestine, protests against the death penalty, as well as issues related to racial harmony and the ties between educational institutions and Israel.
  • The incidents took place at the Istana, Marina Barrage, the State Courts, and several other public places in Singapore.
  • Lawyers sought an adjournment of the cases and exemptions for their clients from attending, while the maximum penalty for these offences includes up to six months' jail or a fine of up to S$10,000.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Enam orang didakwa pada Rabu (9 Sep), sebahagian besarnya di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menyertai pelbagai perarakan atau perhimpunan haram atau kerana menganjurkannya.

Perarakan itu termasuk satu yang diadakan berhampiran Istana bagi menyokong Palestin, manakala salah satu perhimpunan awam ialah acara menerbangkan layang-layang secara beramai-ramai di Bendungan Marina yang diadakan berkaitan konflik di Gaza.

Enam orang itu ialah Kyal Sin Linn Naing, 22 tahun; Elijah Tay, 24 tahun; Amirah Mokhlis, 33 tahun; Dayana Noor Mohamed, 36 tahun; Nur Sabrina Kamel, 32 tahun; dan Nurul Afiqah Kamel, 33 tahun.

TUDUHAN-TUDUHAN

Kyal, warga Myanmar dan Penduduk Tetap (PR) Singapura, dituduh berkumpul bersama orang lain berhampiran Stesen MRT Novena pada 7 Jun 2024 dan bergerak bersama ke Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA)untuk menyerahkan surat yang membantah Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Kaum.

Tay berdepan sembilan tuduhan, paling banyak antara keenam-enam orang itu. Warga Singapura itu berkongsi tuduhan yang sama dengan Kyal berhubung perarakan haram pada 7 Jun 2024.

Tay didakwa menghadiri perhimpunan menyalakan lilin bagi memperingati pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang banduan berhampiran Penjara Changi pada 22 November 2024, 29 November 2024 dan 23 Januari 2025.

Pada 31 Januari 2025, Tay didakwa enggan menjawab pertanyaan di Divisyen Polis Bedok berhubung dua perhimpunan menyalakan lilin itu.

Tay dipercayai melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan usaha memelihara keharmonian kaum dan berkemungkinan mengganggu "ketenteraman awam" pada 2 Februari 2024.

Dia dituduh mengetuai laungan "From the river to the sea, Palestine will be free" di The Arts & Civil Space di Ubi. Menurut kertas pertuduhan, frasa itu menyokong penghapusan negara Israel.

Tay turut dituduh menyertai perhimpunan haram di Mahkamah Negara pada 3 Februari 2025 bagi mempromosikan perjuangan memansuhkan hukuman mati di Singapura. Mahkamah adalah kawasan larangan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Tay juga enggan menjawab pertanyaan dan soal siasat di Kompleks Polis Cantonment pada 11 Julai 2025.

Pada 13 Januari 2025, Tay menganjurkan perhimpunan haram dengan mengadakan acara memperingati mangsa di hadapan CREATE di University Town, sebagai tanda bantahan terhadap hubungan antara institusi pendidikan di Singapura dengan Israel.

Amirah, warga Singapura, didakwa kerana menganjurkan perhimpunan haram pada 27 Oktober 2024 di Bendungan Marina bagi mempromosikan perjuangan menghormati kanak-kanak yang terbunuh di Gaza selepas 7 Oktober 2023.

Dayana, warga Singapura yang menurut peguamnya baru empat bulan bersalin, berdepan dua tuduhan.

Satu tuduhan kerana menyertai perarakan berhampiran Istana bagi mempromosikan perjuangan solidariti dengan Palestin pada 2 Februari 2024, manakala satu lagi kerana menganjurkan perhimpunan haram di Bendungan Marina.

Warga Singapura, Nur Sabrina, turut didakwa kerana menganjurkan perhimpunan awam di Bendungan Marina dan menunjukkan jari tengah kepada seorang pegawai awam di lokasi yang sama.

Saudara perempuannya, Nurul Afiqah, kakak kepada Nur Sabrina yang juga warga Singapura, didakwa kerana menyertai perarakan berdekatan Istana dan menganjurkan perhimpunan haram di Bendungan Marina.

Kyal diwakili peguam Derek Wong, manakala yang lain diwakili peguam Ariffin Sha.

Para peguam memohon supaya kes ditangguhkan dan anak guam mereka tidak perlu hadir dalam prosiding seterusnya kecuali diperlukan. Kedua-dua permohonan diluluskan.

Bilik mahkamah penuh dengan ramai penyokong di galeri awam, manakala yang lain menunggu di luar. Ahli politik pembangkang Dr Chee Soon Juan dan penulis blog sosiopolitik Leong Sze Hian turut hadir.

Sebelum ini, tiga wanita yang menganjurkan perarakan haram berrhampiran Istana telah dibebaskan oleh mahkamah daerah, namun rayuan pendakwa menyebabkan pembebasan mereka dibatalkan. Mereka masing-masing didenda S$3,000.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menganjurkan perarakan haram, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya.

Jika didapati bersalah kerana menyertai perarakan yang dilarang, pesalah boleh didenda sehingga S$5,000.

Jika sabit kesalahan kerana dengan sengaja melakukan perbuatan yang menjejaskan usaha memelihara keharmonian kaum, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya.

Kesalahan menggunakan tingkah laku kesat terhadap pegawai awam boleh membawa pada hukuman denda sehingga S$5,000.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita