Skip to main content

Singapura

6 kali keluar masuk penjara; bertekad bina hidup baru dengan peluang pertingkat pendidikan

BERITAmediacorp: Hari ini (3 Okt), Rahim akan menduduki peperiksaan peringkat GCE ‘O’ yang pertama bagi dirinya — kertas amali sains fizik dan biologi.

Anggaran Waktu Membaca:
6 kali keluar masuk penjara; bertekad bina hidup baru dengan peluang pertingkat pendidikan

“Rahim” (bukan nama sebenar) adalah antara 87 banduan dari Sekolah Penjara yang akan menduduki peperiksaan peringkat GCE O tahun ini. (Gambar: BERITAmediacorp/Izzah Imran)

BERITAmediacorp: Hari ini (3 Okt), Rahim akan menduduki peperiksaan peringkat GCE ‘O’ yang pertama bagi dirinya — kertas amali sains fizik dan biologi. Selepas itu, dia akan menduduki pula peperiksaan bagi Matematik, Bahasa Inggeris, Prinsip Perakaunan (POA) dan Pengajian Islam (IRK) dalam minggu-minggu mendatang. Pada borang calon peperiksaan, Rahim tampak sama seperti beribu-ribu pelajar lain di Singapura yang menduduki peperiksaan peringkat ‘O’ tahun ini.

Bezanya? Rahim perlu mengambil peperiksaannya dalam penjara.

Related article image

“Rahim” (bukan nama sebenar) adalah antara 87 banduan dari Sekolah Penjara yang akan menduduki peperiksaan peringkat GCE O tahun ini. Prestasi cemerlang dalam peperiksaan GCE N (Akademik) yang diperolehinya tahun lalu telah membakar semangatnya untuk memburu sijil seterusnya. Walaupun “Rahim” kini merupakan antara pelajar paling cemerlang dalam kohortnya, dia mengakui bahawa pengalaman membuka semula buku selepas 26 tahun meninggalkan bangku sekolah pada mulanya amat mencabar.

Setiap Isnin hingga Jumaat, “Rahim” dan rakan-rakan banduan lain akan memulakan hari mereka seawal 5.00 pagi. Waktu sarapan pagi disusuli dengan sesi ulang kaji sehingga kelas bermula tepat pada pukul 8.30 pagi. Kelas kemudian akan berlangsung tanpa rehat sehingga waktu makan tengah hari dan akan disambung semula pada 3.30 petang.

Dua kali seminggu, mereka dibenarkan beriadah selama sejam untuk melepaskan tekanan. Hari Sabtu dan Ahad pula diluangkan di dalam sel penjara, di mana “Rahim” akan mengulang kaji bahan-bahan pelajarannya sambil menyelesaikan kerja rumah.

Rutin padat seperti ini diperlukan memandangkan para pelajar Sekolah Penjara hanya mempunyai tempoh sekitar sembilan bulan untuk menyelesaikan sukatan pelajaran yang biasanya mengambil masa empat atau lima tahun di institusi-institusi aliran utama.

“Dari segi sumber pembelajaran, kalau di luar sana, ada komputer. Jadi jika ada kemusykilan dalam pelajaran, bila-bila masa saya boleh cari maklumat dan fakta untuk membantu. Tetapi, di sini, maklumat yang ada adalah menerusi surat khabar dan agak terhad. Walau bagaimanapun, saya rasa apa yang benar-benar membantu saya adalah semangat belajar semua pelajar-pelajar di dalam sini. Mereka yang lebih baik dalam satu mata pelajaran akan sentiasa membantu kawan-kawan yang lain. Kami bertukar-tukar pendapat dan ingin sama-sama membangun,” kongsi “Rahim”.

Menurut “Rahim” lagi, para pelajar Sekolah Penjara sedar bahawa peluang untuk melanjutkan pendidikan mereka adalah peluang keemasan yang tidak harus disia-siakan.

Related article image

SIJIL SEBAGAI BUKTI INGIN MULAKAN HIDUP BARU

Bagi “Rahim” yang sedang menjalani hukuman penjara buat kali keenam atas kesalahan penyalahgunaan dadah, dia terdorong untuk meminta dipindahkan ke Sekolah Penjara setelah tersentak mendengar luahan hati isterinya.

“Apabila isteri saya datang untuk berjumpa saya (di penjara), dia pernah bertanya kepada saya sama ada masa yang dia menunggu untuk saya hanya akan membawa kesedihan dan kekecewaan sekali lagi? Atau adakah saya akan membuat perubahan? Apakah bukti yang saya akan berubah?,” cerita “Rahim” sambil menahan sebak.

Impian untuk membina mahligai bahagia hancur berkecai apabila “Rahim” diberkas selang 4 minggu selepas bergelar suami pada Julai 2015. Kali ini, dia menetapkan iltizam untuk tidak kembali ke penjara sekali lagi agar dapat menjalankan tanggungjawabnya kepada suri hati.

Ketua Jabatan Pengajian Sekolah Penjara, Charles Yip, menyaksikan sendiri perubahan pada diri “Rahim” dan percaya bahawa dia dapat mencapai kejayaan setelah dibebaskan kelak.

“Pada saya, sijil yang mereka raih itu melambangkan komitmen mereka untuk menjadi insan yang berguna dan bersedia untuk membuat perubahan. Dalam proses memburu pendidikan lebih tinggi, saya percaya ia juga telah membina perwatakan mereka untuk berjaya dalam hidup.”

“Rahim” dijangka akan dibebaskan pada Oktober tahun depan. Dengan sijil dalam genggamannya, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke jurusan kejuruteraan petrokimia. 

Related article image
Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita