Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 individu usung jenazah terperangkap dalam lif di Jurong West selama 50 minit

Anggaran Waktu Membaca:
6 individu usung jenazah terperangkap dalam lif di Jurong West selama 50 minit

(Gambar: Keine Brutalitàt/Facebook)

SINGAPURA: Enam individu terperangkap dalam sebuah lif di Jurong West pada Selasa (4 Okt) semasa mengusung jenazah saudara-mara mereka. 

Mereka terperangkap dalam lif berkenaan selama 50 minit sebelum diselamatkan oleh teknisyen lif dan para anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). 

Menjawab pertanyaan media pada Khamis (6 Okt), SCDF menyatakan pihaknya menerima panggilan bagi meminta bantuan di Blok 760 Jurong West Street 74, sebuah blok flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), sekitar pukul 2.05 petang pada Selasa (4 Okt). 

Catatan di Facebook pada Rabu (5 Okt) yang menggambarkan insiden itu tular online dan dikongsi 1,600 kali serta menerima 130 komen setakat pukul 2.00 petang Khamis (6 Okt). 

Menurut pengguna Facebook, Keine Brutalitat yang memuat naik hantaran tersebut,  rakan-rakan dan sanak saudara membuka pintu lif secara paksa menggunakan payung untuk mewujudkan jurang pengudaraan. 

"Dua orang dilihat mengipas di ruang itu untuk menyejukkan udara di dalam lif," dedah pengguna tersebut. 

Gambar-gambar insiden berkenaan turut menunjukkan lapan individu mengusung apa yang kelihatan seperti jenazah. 

Gambar-gambar lain pula menunjukkan para anggota SCDF cuba mengumpil pintu lif tersebut. 

Seorang daripada mereka mengalami cedera ringan disebabkan oleh sesak nafas, menurut SCDF, sambil menambah bahawa individu itu bagaimanapun enggan dibawa ke hospital. 

Komen-komen di  Facebook turut mendakwa bahawa lif-lif di blok berkenaan sudah menghadapi masalah sejak sekian lama, dengan beberapa warga net menggesa pihak majlis bandaran supaya menghuraikan isu tersebut. 

LIF TERLALU RAMAI PENUMPANG

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Majlis Bandaran West Coast menyatakan para teknisyen sudah menjalankan pemeriksaan terperinci pada lif berkenaan menyusuli insiden tersebut dan ia kembali beroperasi pada hari yang sama. 

"Kami ingin memohon maaf kepada keluarga berkenaan atas pengalaman yang tidak menyenangkan itu," menurut majlis bandaran tersebut. 

Siasatan awal mendapati bahawa lif itu terlebih muatan semasa enam individu dewasa mengusung jenazah saudara mereka. 

Ia menjangkaui had kapasiti lif tersebut, iaitu seberat 545 kilogram. 

Mekanisme keselamatan diaktifkan disebabkan oleh perbezaan dalam meratakan lif dan pendaratannya. Mekanisme yang sama juga terus menutup pintu lif. 

"Pasukan penyelamat lif dikerahkan serta-merta untuk membawa keluar para penumpang. Sepanjang tempoh itu, lampu dan kipas dalam lif beroperasi seperti biasa," dedah majlis bandaran itu. 

Tambahnya, kerja penyenggaraan bagi semua lif di kawasan itu dijalankan setiap bulan dan kerja penyenggaraan terkini adalah pada 26 September yang mengesahkan bahawa lif berfungsi dan sesuai untuk digunakan. 

"Berdasarkan rekod sistem pemantauan lif tersebut, tiada masalah yang dikesan pada lif itu dalam tempoh tiga bulan yang lalu," menurut Majlis Bandaran Jurong West.

Sebagai sebahagian kerja naik taraf estet itu di mana lif lama digantikan dengan yang baru secara beransur-ansur, lif di Blok 760 itu dijadual digantikan pada suku kedua 2023, tambah majlis bandaran itu lagi. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan