Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 individu belum lengkap divaksin didapati makan di pusat penjaja sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:
6 individu belum lengkap divaksin didapati makan di pusat penjaja sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan

Pelanggan di Pusat Penjaja Maxwell pada 1 Sep 2021. (Gambar: Hanidah Amin)

SINGAPURA: Enam individu yang belum lengkap divaksin didapati makan di pusat penjaja sejak banyak langkah pengurusan selamat COVID-19 dilonggarkan pada 26 Apr. 

Demikian menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada petang Jumaat (13 Mei). 

Sesiapa saja yang menjamu selera di pusat penjaja dan kedai kopi mesti lengkap divaksin sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) yang masih dikuatkuasakan ke atas semua pusat makanan dan minuman (F&B), meskipun pemeriksaan untuk memasuki premis-premis sedemikian sudah dilonggarkan. 

Keenam-enam individu itu akan didenda S$300 setiap seorang, menurut jurucakap MSE semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Selain memansuhkan had saiz kumpulan, pihak berkuasa turut mengumumkan bahawa VDS dimansuhkan mulai 26 Apr bagi kesemua kecuali tiga persekitaran yang dinilai berupaya meningkatkan risiko jangkitan yang lebih tinggi. 

Persekitaran-persekitaran tersebut adalah pusat F&B, pusat hiburan malam di mana pelanggan boleh menari serta acara-acara yang disertai lebih 500 orang. 

Apabila saiz kumpulan dihadkan kepada 10 orang saja, pusat F&B, termasuk pusat penjaja dan kedai kopi, sudah membenarkan kumpulan-kumpulan lebih kecil dengan lima orang yang sudah lengkap divaksin menjamu selera di premis berkenaan tanpa dikehendaki menjalani pemeriksaan VDS di pintu masuk. Ini bagi meringankan beban operasi masing-masing, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). 

Sebaliknya, pihak berkuasa akan memeriksa status vaksinasi pelanggan secara rambang, kata jurucakap MSE sambil menambah bahawa menjadi tanggungjawab pelanggan untuk mematuhi peraturan.

Bagi pusat penjaja dan kedai kopi, para pegawai penguatkuasaan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) sudah melakukan lebih 20,000 pemeriksaan terpilih sepanjang tempoh tersebut, atau lebih 1,450 pemeriksaan setiap hari, dedah jurucakap itu lagi. 

"Enam individu yang belum divaksin atau belum lengkap divaksin didapati makan di pusat penjaja, manakala semua pelanggan di kedai kopi yang diperiksa mempunyai sijil vaksinasi yang sah," tambah jurucakap itu. 

"Tanggungjawab peribadi dan sosial individu dalam mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat penting untuk hidup bersama COVID-19. Maka itu, menjadi tanggungjawab pelanggan untuk memastikan mereka sudah lengkap divaksin." 

APA YANG AKAN BERLAKU JIKA ANDA SUDAH PADAMKAN TRACETOGETHER? 

Untuk membuktikan status vaksinasi, para pelanggan boleh menunjukkan kepada pegawai penguatkuasaan atau duta jarak selamat "tanda rait hijau" pada aplikasi TraceTogether mereka atau mengimbas token TraceTogether mereka, menurut MSE. 

Para pelanggan juga boleh menunjukkan status vaksinasi mereka melalui aplikasi HealthHub atau membawa rekod vaksinasi fizikal mereka, menurut MSE lagi. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada 9 Mei menasihatkan orang ramai supaya jangan memadamkan aplikasi TraceTogether atau membuang token TraceTogether, sekalipun situasi COVID-19 di Singapura sudah stabil kerana pemerintah akan menguatkuasakan semula VDS jika perlu. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan