Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 ejen insurans dipenjara palsukan tuntutan perbelanjaan, elak bayar cukai hampir S$100,000

Enam ejen insurans pada Jumaat (16 Sep) dipenjara dan didenda kerana mengelak daripada membayar cukai selepas mereka menuntut perbelanjaan perniagaan yang palsu dan secara bersama mengurangkan cukai pendapatan mereka hampir S$100,000.

Anggaran Waktu Membaca:
6 ejen insurans dipenjara palsukan tuntutan perbelanjaan, elak bayar cukai hampir S$100,000

Bangunan IRAS. (Gambar: Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Enam ejen insurans pada Jumaat (16 Sep) dipenjara dan didenda kerana mengelak daripada membayar cukai selepas mereka menuntut perbelanjaan perniagaan yang palsu dan secara bersama mengurangkan cukai pendapatan mereka hampir S$100,000.

Kesemua enam ejen insurans itu, dahulunya pernah bekerja di agensi yang sama, mengaku bersalah membuat penyerahan palsu untuk mengelak daripada membayar cukai.

Mereka ialah Yvonne Quah, 34 tahun, Lim Zhan Yi, 32 tahun,
Chan Jun Yi, 33 tahun, Sherlin Chia Hee Ping, 41 tahun, Chanel Quah Hui Wen, 31 tahun, dan Jackie Tang Hong Kong, 42 tahun.

Dokumen-dokumen mahkamah tidak menyatakan agensi di mana mereka bekerja tetapi pemeriksaan online mendedahkan mereka mewakili Penasihat Kewangan Great Eastern.

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS), yang mendakwa enam ejen insurans itu, menyatakan dalam satu kenyataan bahawa untuk tahun-tahun penilaian cukai 2018 dan 2019, kesemua enam tertuduh menuntut perbelanjaan perniagaan berjumlah sehingga S$600,000 dalam pulangan cukai pendapatan mereka sebagai "perbelanjaan am" dan "komisen dibayar kepada pencadang".

“Enam ejen insurans itu tidak membayar sebarang 'yuran pencadang' kepada individu yang kononnya adalah pencadang mahupun menerima apa-apa perkhidmatan daripada mereka," tambah IRAS.

Pendakwa cukai Goh Yong Ngee berkata pengelak cukai itu dipercayai dibantu oleh dua orang lain iaitu bekas ejen insurans You Yiying dan rakan sekerjanya, Ian Chew Yen.

You, yang dirujuk sebagai Kyra dalam dokumen mahkamah, mengenali Chew kerana sebelum ini lelaki berkenaan pernah memperkenalkan klien kepadanya. You adalah rakan kepada Tang serta Chan dan mengenali ejen insurans yang lain melalui mereka berdua.

Pendakwa berkata Chew dipercayai memalsukan dokumen untuk menyokong tuntutan perbelanjaan daripada enam ejen berkenaan.

Dengan borang pengakuan palsu yang tertera jumlah besar "yuran pencadang", Chew dan Kyra dikatakan merekrut individu yang sanggup menandatanganinya serta menyerahkan salinan kad pengenalan mereka sebagai pertukaran bagi upahan kecil, tambah pendakwa.

Chew kemudian akan mendaftar masuk ke dalam akaun portal cukai online milik enam ejen itu dan memfailkan cukai bagi pihak mereka.

Lima daripada ejen itu, kecuali Yvonne Quah, juga gagal untuk menyimpan rekod sokongan masing-masing berhubung pendapatan serta potongan yang dibenarkan iaitu satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan.

IRAS menyatakan enam ejen itu akan dirujuk kepada Penguasa Kewangan Singapura bagi tindakan kawal selia.

Kyra mengaku bersalah pada Mei atas satu tuduhan dengan sengaja membantu dalam pengelakan cukai, dengan dua tuduhan serupa dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan. Dia dipenjara lapan minggu dan diarahkan supaya membayar S$113,839 pada bulan depan.

Kes Chew masih belum selesai.

IRAS menggesa perniagaan dan masyarakat awam supaya mendedahkan dengan serta-merta sebarang kesilapan cukai masa lalu. Penguasa itu menyatakan ia akan menganggap pendedahan tersebut sebagai faktor pengurangan apabila mempertimbangkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka.

Pemberi maklumat yang memberikan maklumat atau dokumen yang membawa kepada penemuan cukai yang dielakkan juga akan diberikan ganjaran tunai sebanyak 15 peratus daripada cukai yang berjaya diperolehi semula, menurut penguasa itu.

“IRAS akan memastikan identiti pemberi maklumat dirahsiakan," tambahnya.

Kesalahan mengelak daripada membayar cukai membawa kepada denda sehingga tiga kali jumlah cukai yang cuba dielakkan.

Pesalah boleh dikenakan denda berasingan sehingga S$10,000 atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan