6 ditangkap, dadah bernilai lebih S$420,000 dirampas dalam operasi CNB
Enam orang diberkas dan dadah bernilai sekitar S$423,000 dirampas dalam satu operasi Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Selasa (11 Ogos).
(Gambar: CNB)
SINGAPURA: Enam orang diberkas dan dadah bernilai sekitar S$423,000 dirampas dalam satu operasi Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Selasa (11 Ogos).
Suspek yang berusia antara 25 hingga 60 tahun itu, ditangkap di Geylang Lorong 4, Jalan Besar dan Beach Road, menurut CNB dalam satu kenyataan media pada Rabu (12 Ogos).
Menurut CNB, pegawainya menyerbu tempat persembunyian seorang lelaki rakyat Singapura berusia 60 tahun di sekitar Geylang Lorong 4 pada Selasa malam.
Mereka menemui tiga paket yang mengandungi sekitar 45 gram dadah Ice dalam sebuah lokar di tempat persembunyian itu. Sebanyak 33 karton dan enam paket rokok tidak dibayar cukai juga ditemui.
Dua lelaki lain - seorang warga Malaysia berusia 40 tahun dan seorang rakyat Singapura berusia 49 tahun yang turut berada di unit tersebut juga diberkas.
Dalam satu operasi susulan, pegawai CNB memberkas dua lelaki rakyat Singapura, berusia 25 tahun dan 35 tahun, di dalam kereta di Jalan Besar.
Dadah Ice sekitar 7 gram, heroin sebanyak 9 gram dan 1,000 pil Erimin-5 serta tiga pil Ecstasy dirampas daripada lelaki berusia 35 tahun itu, manakala wang tunai bernilai S$7,600 dirampas daripada pemandu berusia 25 tahun itu.
Lelaki berusia 25 tahun itu kemudian dibawa ke tempat persembunyiannya, iaitu di sebuah hotel sekitar Beach Road, di mana seorang wanita rakyat Singapura berusia 27 tahun juga ditahan.
Jumlah Ice sebanyak 608 gram yang dirampas dalam operasi itu cukup untuk memenuhi ketagihan sekitar 347 penyalah guna dadah selama seminggu, menurut CNB.
Siasatan berkenaan kegiatan dadah kesemua suspek sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.