6 'bas pesta' dirampas; LTA siasat ubah suai haram, kesalahan lain
Enam "bas pesta" dirampas sejak dua bulan lalu semasa beberapa operasi dilancarkan terhadap "penyedia khidmat tidak bertanggungjawab", menurut Penguasa Pangangkutan Darat (LTA) pada Khamis (10 Sep).
6 bas pesta dirampas LTA. (Gambar-gambar: Facebook/LTA)
SINGAPURA: Enam "bas pesta" dirampas sejak dua bulan lalu semasa beberapa operasi dilancarkan terhadap "penyedia khidmat tidak bertanggungjawab", menurut Penguasa Pangangkutan Darat (LTA) pada Khamis (10 Sep).
Menurut LTA, pihaknya menerima maklum balas sebilangan bas pesta mula menawarkan khidmat di kawasan-kawasan seperti Boat Quay dan Clarke Quay apabila Fasa 2 pembukaan semula Singapura bermula.
"Bas-bas pesta biasanya banyak menjalani pengubahsuaian dan ia bagi memenuhi keperluan kumpulan pengunjung pesta," jelas LTA dalam catatannya di laman Facebook.
"Selain berpotensi menjejas usaha Singapura membendung penularan COVID-19 semasa tempoh mencabar ini, sesetengah ubah suai juga mengancam keselamatan penumpang."
Sesetengah kenderaan dipasang dengan tempat duduk yang diubah suai tanpa peralatan keselamatan yang betul, dedah LTA, sambil menambah para penumpang boleh "dilambung ke depan jika brek ditekan secara mengejut".
Selain "ubah suai haram", para pegawai LTA juga mendapati beberapa kesalahan lain seperti memandu tanpa lesen vokasional pemandu bas yang sah, perlindungan insurans dan cukai jalan raya.
"Siasatan masih dijalankan ke atas kesalahan-kesalahan ini," menurut pihak berkuasa.
"Kami mahu mengambil peluang ini untuk mengingatkan orang ramai supaya bertanggungjawab dan terus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat."
Di bawah Fasa 2 pembukaan semula Singapura selepas "pemutus rantaian jangkitan" COVID-19, sebahagian besar perniagaan sudah mula beroperasi, tetapi sebilangan tempat hiburan seperti kelab malam dan pusat karaoke belum lagi dibenarkan dibuka semula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.