Skip to main content

Singapura

6,700 pelajar menengah sudah manfaatkan program bimbingan 'Gear-Up'

Pelajar sekolah menengah yang menyertai program 'Gear-Up' lebih yakin dan terdorong untuk membantu diri sendiri, meskipun datang dari latar belakang keluarga susah atau mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Mar 2021 10:00PM Dikemas Kini : 09 Mar 2021 10:07PM

SINGAPURA: Pelajar sekolah menengah yang menyertai program 'Gear-Up' lebih yakin dan terdorong untuk membantu diri sendiri, meskipun datang dari latar belakang keluarga susah atau mencabar.

Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman semasa membuat lawatan ke Sekolah Menengah Admiralty pada Selasa (9 Mac).

Program Gear-Up di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) bertujuan menyediakan sokongan khusus dan program selepas sekolah lebih menyeluruh kepada pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik.

Inisiatif itu ditawarkan di bawah pelan UPLIFT atau Memberi Sokongan Kepada Pelajar dan Memberi Inspirasi Kepada Keluarga untuk membantu mereka mencapai potensi tidak kira latar belakang.

Bagi Nayla Insyirah Mohammad Fuad, pelajar menengah empat Sekolah Menengah Admiralty, selama dua jam seminggu, dia meluangkan masa selepas sekolah untuk melakukan beraneka jenis kegiatan kraftangan.

Related article image
(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain mendorongnya menjadi lebih yakin diri, program ini juga memperkukuh keupayaan sosio-emosi dan kemahiran sosial untuk terus menumpukan perhatian kepada sekolah.

"Program 'Gear-Up' membuat saya lebih yakin diri sebagai seorang pelajar sekolah. Ia juga membuat saya lebih berani bersuara dan buat lebih banyak kawan dari Menengah 1 hingga ke Menengah 5," kata anak sulung lima beradik ini.

Pelajar aliran ekspres ini mempunyai minat mendalam dalam bidang seni. Di samping menghadiri program 'Gear-Up', jadualnya juga sibuk dengan kegiatan tarian.

Related article image
(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut MOE sehingga Disember 2020, 'Gear Up' sudah dimanfaatkan 6,700 pelajar dari 120 sekolah menengah.

DAPATKAN MAKLUM BALAS PELAJAR DALAM PENGOLAHAN PROGRAM

Jenis program yang ditawarkan juga berbeza dari sekolah ke sekolah, mengikut citarasa pelajar untuk memancing minat mereka.

"Kami mengambil idea mereka dan melancarkan program tersebut. Kegiatan yang kami adakan dalam program ini adalah seperti Kelab Sarapan Pagi, lepas itu ada 'art Jamming', 'muzik digital' dan juga sukan seperti badminton.

"Apa yang kami lihat daripada pelajar yang menjalani program 'Gear-Up' ini adalah mereka sekarang ini menunjukkan pengetahuan yang lebih, dalam bidang pelajaran dan juga kehadiran mereka ke sekolah pun memang lebih baik," kata Naib Pengetua Sekolah Menengah Admiralty, Sheik Alaudin.

Related article image

Dr Maliki memuji struktur bimbingan di sekolah berkenaan di mana setiap guru memainkan peranan sebagai mentor kepada pelajar.

"Dengan program sedemikian, kami berharap setiap pelajar yang datang daripada keluarga yang bermasalah, keluarga yang mempunyai cabaran, diberi sokongan dan mereka rasa bahawa masa depan mereka lebih cerah, kerana mereka dihargai sebagai seorang individu yang mempunyai kekuatan tersendiri," jelas Dr Maliki.

Related article image

"Apa yang saya kenalpasti ialah, program ini membantu mereka melihat harga diri mereka dan membantu meningkatkan harga diri mereka supaya mereka tahu walaupun mereka datang daripada keluarga yang agak mencabar, ini tidak semestinya bermakna mereka gagal dalam kehidupan."

'Gear-Up' kini diharap dapat diluaskan ke lebih banyak sekolah menengah.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita