Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6,500 pelajar & tenaga kerja Politeknik S'pura perlu jalani ujian swab

Para pelajar dan tenaga kerja Politeknik Singapura (SP) yang berada di kampus pada atau selepas 29 Apr, akan menjalani ujian swab COVID-19 bermula hari ini (19 Mei), selepas tiga pelajarnya diuji positif.

Anggaran Waktu Membaca:
6,500 pelajar & tenaga kerja Politeknik S'pura perlu jalani ujian swab

Gambar fail Politeknik Singapura.

Diterbitkan : 19 May 2021 11:45AM Dikemas Kini : 19 May 2021 10:21PM

SINGAPURA: Para pelajar dan tenaga kerja Politeknik Singapura (SP) yang berada di kampus pada atau selepas 29 Apr, akan menjalani ujian swab COVID-19 bermula hari ini (19 Mei), selepas tiga pelajarnya diuji positif.

Ketiga-tiga kes tanpa hubung kait dengan kes-kes lain, dedah SP dalam kenyataan medianya hari ini (19 Mei).

Keseluruhan 6,500 pelajar, kakitangan, dan pegerai makanan yang berada di kampus pada atau selepas 29 Apr akan diuji. Berikut adalah kumpulan-kumpulan yang perlu menjalani ujian swab:

  • Sekolah Pengkomputeran
  • Sekolah Media, Seni & Reka Bentuk
  • Sekolah Perniagaan
  • Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Aeronautik
  • Sekolah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (Pelajar Pendidikan dan Latihan Berterusan sahaja) 

Ujian tersebut, yang dijangka berlangsung selama beberapa hari, akan dijalankan di kemudahan sukan kampus SP di Dover Road. Semua individu terjejas akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Sebaik sahaja segmen pertama usaha ini selesai dijalankan, MOH akan menilai semula dan mempertimbangkan paras risiko secara umumnya, sebelum memutuskan sama ada ujian swab perlu diteruskan bagi seluruh masyarakat SP," menurut sekolah itu.

SEMUA KELAS BERALIH ONLINE

Semua kelas, termasuk kelas amali, sudah beralih ke wadah online sejak Selasa (18 Mei). Ini akan diteruskan sehingga 28 Mei.

"Sebelum ini, semua kelas dan ceramah sudah diatur untuk disampaikan secara online sehingga akhir Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada 13 Jun 2021," menurut SP.

Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, semua makmal dan kelas amali akan hanya dijalankan sekiranya sesuai untuk berbuat demikian, atau ditangguhkan ke tarikh lain.

Tiga pelajar SP diuji positif COVID-19 - seorang pelajar tahun kedua dari Sekolah Media, Seni dan Reka Bentuk, seorang lagi pelajar tahun pertama Sekolah Pengkomputeran sementara kes ketiga adalah seorang jurutera IT yang menyertai kursus sambilan Pendidikan dan Latihan Berterusan di Sekolah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.

"Ketiga-tiga pelajar dalam keadaan baik dan kami sedang berhubungan dengan mereka untuk bertanya khabar," tambah SP.

Semua kontak rapat ketiga-tiga pelajar sudah diletakkan di bawah Perintah Kuarantin. Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, SP turut mengenakan cuti ketidakhadiran ke atas rakan-rakan sedarjah para pelajar yang diuji positif. Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman turut dijalankan di kampus.

"Buat masa ini, tiada bukti yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga kes saling berhubung kait.

"Namun, memandangkan ada tiga kes positif, dan sekolah yang mereka hadiri tidak jauh antara satu sama lain di kampus SP, MOH memutuskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan untuk mengurangkan risiko penularan wabak di kampus kita," jelas SP.

Politeknik itu juga menggesa semua kakitangan dan pelajar supaya memantau kesihatan mereka dan berjumpa doktor jika tidak sihat.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan