Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

59 pasangan Melayu/Islam nikah pada 22 Februari (22.2.22), lebih 10 kali ganda daripada purata jumlah pernikahan hari biasa

Jumlah pasangan Melayu/Islam yang memilih tarikh-tarikh unik pada bulan Februari untuk melangsungkan pernikahan mereka melonjak sehingga lebih 10 kali ganda daripada biasanya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah pasangan Melayu/Islam yang memilih tarikh-tarikh unik pada bulan Februari untuk melangsungkan pernikahan mereka melonjak sehingga lebih 10 kali ganda daripada biasanya.

Misalnya pada 22 Februari atau 22.2.2022, hampir 60 pasangan Melayu/Islam bakal diijabkabulkan.

22.2.22 TARIKH "PALINDROMIC"

Tarikh 22 Februari tahun ini (22.2.22) adalah tarikh 'palindromic' - bermakna kalau dibaca dari belakang, tarikhnya sama juga.

Keunikan itulah yang membuatkan pasangan Muhammad Amirul Ramli, 25 tahun dan Nurul Huda Musli, 23 tahun, tidak mahu melepaskan peluang untuk mengabadikan tarikh tersebut sebagai tarikh pernikahan mereka.

Nurul Huda berkata: "Pada mulanya kita memilih satu lagi tarikh 21 Disember tahun lalu (21/12/21) . Kita memang secara khususnya melihat tarikh yang lawa.

"Kita nak tarikh itu senang diingati, senang tahu dan orang akan cakap "Wah tarikh kau orang lawa," Ini memang tarikh sekali sahaja dalam hidup, tidak akan ada lagi jadi kita cuba buatkannya teristimewa yang mungkin," tambah tunangnya Amirul.

Sedang ghairah meniti tarikh 22 Februari, persiapan mereka tergendala seketika kerana kedua-dua mereka dijangkiti COVID-19 bulan lalu.

"Kita sebenarnya nak pergi Geylang untuk dapatkan bunga rampai, bunga pahar dan baju-baju majlis untuk ibu bapa tetapi sekarang kita sudah terlantar selama dua minggu," ujar Amirul, seorang penolong jurutera.

Setelah sembuh, mereka tidak mahu lengahkan lagi persiapan kerana tinggal kurang tiga minggu sahaja lagi sebelum tarikh pernikahan mereka.

Amirul berkata: "Banyak benda kena siapkan, banyak rancangan sudah tak ikut jadual jadi selepas hujung minggu ini selepas Tahun Baru Cina, kita akan mempercepatkan semuanya, hantar kad-kad jemputan kepada ahli keluarga."

Pasangan muda itu akan mengadakan majlis jemputan untuk 100 orang pada 22 Februari nanti.

20.02.2022 - TARIKH PALING "PANAS"

Dalam jawapan bertulisnya kepada BERITAmediacorp, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) mendedahkan hampir 60 pasangan Melayu/Islam memilih tarikh istimewa itu untuk diijabkabulkan.

Jumlah ini lebih sepuluh kali ganda berbanding jumlah purata pernikahan Melayu/Islam yang berlangsung pada setiap hari biasa, iaitu sekitar lima sahaja.

Walaupun jatuh pada hari Selasa, tarikh 'cantik' itu tetap menjadi pilihan ramai.

Secara keseluruhannya di negara ini, lebih 480 pasangan akan melangsungkan hari pernikahan mereka para tarikh itu.

Selain tarikh 22 hari bulan 2, ada dua lagi 'tarikh panas' pada bulan Februari ini.

Semalam, bersamaan 2 Februari (2/2/22), sebanyak 30 pasangan Melayu/Islam yang melangsungkan pernikahan mereka.

Yang paling panas di antara tarikh-tarikh itu ialah 20 Februari (20/2/2022) yang jatuh pada hari Ahad.

Menurut MCCY, lebih 90 pasangan Melayu/Islam bakal meraikan penyatuan cinta masing-masing pada tarikh itu nanti.

Bagi pasangan yang merancang untuk bernikah pada tahun depan pula, antara tarikh istimewa adalah pada 23 Januari (23/1/23) dan 2 Mac (2/3/23)

Tarikh-tarikh 'palindromic' selanjutnya pula yang boleh difikirkan untuk dijadikan tarikh istimewa adalah:

1) 03/02/2030
2) 13/02/2031
3) 23/02/2032
4) 04/02/2040
5) 14/02/2041
6) 24/02/2042
7) 05/02/2050

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan