575 relawan, rakan masyarakat diiktiraf dalam Anugerah Sukarelawan SPS 2024
SINGAPURA: Seramai 575 relawan serta rakan-rakan masyarakat diiktiraf dalam Anugerah Sukarelawan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) 2024 pada Jumaat (2 Ogos).
Acara tahunan itu meraikan sumbangan mereka serta menggariskan komitmen SPS dalam menggalak masyarakat untuk menyokong usaha-usaha pemulihan dan integrasi golongan banduan dan bekas pesalah.
9 KALI DIPENJARA, BEKAS PESALAH BERSUNGGUH-SUNGGUH MAHU BANTU YANG LAIN UNTUK BERUBAH
Antara empat penerima kategori Anugerah Wira Sokongan Berterusan ialah Encik Mohammad Sufian Mohd Noor, 54 tahun.
Setelah dipenjarakan sebanyak sembilan kali atas kesalahan dadah, timbul kesedaran di dalam dirinya untuk berubah.
(Gambar: SPS)
Minat menjadi relawan timbul ketika bertugas sebagai seorang pakar sokongan rakan sebaya di Khidmat Pengurusan Ketagihan Nasional (NAMS) di Institut Kesihatan Mental (IMH).
Encik Sufian kemudian menyertai Persatuan Kooperatif Perusahaan dan Perkhidmatan (ISCOS), dan kerap mendampingi bekas pesalah.
"Dengan menjadi seorang sukarelawan, saya bukan sahaja membantu orang lain, malah saya juga membantu diri saya secara fizikal dan emosi," kata Encik Sufian.
Selain memberikan sokongan moral, beliau turut membantu mempersiapkan golongan itu untuk mendapat pekerjaan.
Sejarah hitam hidupnya dijadikan iktibar untuk membantu bekas pesalah yang lain.
"Ia untuk memberi inspirasi, harapan dan membantu memudahkan pemulihan dan perubahan menggunakan pendekatan berasaskan kekuatan," ujarnya.
(Gambar: SPS)
Pengalaman tersebut juga mendorongnya untuk menubuhkan sebuah kumpulan sokongannya sendiri.
Pada 2019, maka terlahirlah 'Agents Of Change (AOC)' di mana beliau bekerjasama dengan keluarga dan masyarakat untuk sama-sama membantu dalam pemulihan bekas pesalah.
"Kami bekerjasama dengan keluarga mereka, melibatkan mereka dan mewujudkan persefahaman antara pesalah dan keluarga. Kami telah bekerja secara aktif dengan bekas pesalah yang sedang pulih dan bekas pesalah dalam proses pemulihan mereka serta menyokong mereka dalam apa jua cara dalam perjalanan mereka menuju ketenangan. Kumpulan sokongan bertemu setiap hari Jumaat untuk sesi perkongsian dan kami membincangkan topik seperti pemulihan, kesihatan, membina kepercayaan dan hubungan keluarga untuk menyokong mereka dalam perjalanan pemulihan mereka," jelas Encik Sufian.
PROGRAM FITRAH BUKA PELUANG JURURAWAT HULURKAN BANTUAN
Lagi seorang penerima anugerah tahun ini ialah Cik Salimah Mohd Ayoob.
Jururawat berusia 61 tahun itu tidak berfikir dua kali apabila mendengar di radio tentang peluang menyumbang kepada program FITRAH.
"Bersama FITRAH, saya menjadi sukarelawan sebagai rakan masyarakat untuk keluarga banduan dan memberi sokongan kepada pasangan dan ahli keluarga. Ia adalah satu cara untuk saya meneruskan minat saya untuk kaunseling di luar kerja saya dan membantu masyarakat pada masa yang sama," kata Cik Salimah.
(Gambar: SPS)
Sepanjang lima tahun menjadi relawan FITRAH, banyak keluarga sudahpun dibantunya.
Namun, terdapat satu insiden yang tidak dapat dilupakan apabila beliau terpaksa membantu sebuah keluarga menguruskan kematian si ibu kerana ayah mereka masih di penjara.
"Anaknya berkata, 'Tolong bantu saya untuk memberikan penghormatan terakhir saya dengan dapat 'memandikan' jenazah ibu saya'. Saya sampaikan niatnya itu kepada pasukan yang menguruskan jenazah. Anak perempuan itu bersyukur kerana dia mempunyai peluang dan walaupun masih dalam keadaan berduka, hasratnya ditunaikan," ujar Cik Salimah.
(Gambar: SPS)
Cik Salimah antara 505 penerima Pingat Bakti Setia yang diiktiraf bagi dedikasi mereka membantu golongan banduan dan bekas pesalah selama antara lima hingga 20 tahun.
Beliau berharap agar dapat terus berbakti dan juga berminat untuk melibatkan diri dalam lebih banyak usaha kerelawanan.
"Saya belajar untuk secara konsisten melayan semua orang dengan hormat, mendengar kebimbangan mereka dan tidak pernah menghakimi. Saya tetap berfikiran terbuka dalam mendengar mereka dan mengekalkan kepercayaan dengan mereka sentiasa.
"Walaupun mereka meletakkan harapan mereka kepada kami sebagai sukarelawan, kami memastikan mereka memaklumkan perkembangan atau status rujukan untuk khidmat masyarakat atau tindakan yang akan diambil untuk membantu mereka. Meluangkan masa untuk bertanya khabar mereka juga memastikan mereka bahawa kami 'sentiasa ada'," jelas Cik Salimah.
HARGAI JASA PARA RELAWAN
Dalam ucapannya di majlis yang bertempat di Singapore EXPO, Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim melahirkan penghargaannya serta memuji dedikasi serta komitmen yang dipamerkan para relawan.
Sejauh ini, SPS mempunyai lebih 4,200 relawan dari pelbagai latar belakang dan turut bekerjasama dengan lebih 60 pertubuhan bagi usaha-usaha pemulihan.
"Melalui komitmen, sumber dan rangkaian sukarelawan dan rakan kongsi kami, kami dapat menyampaikan program yang berkesan dan bermakna kepada banduan. Para sukarelawan dan rakan kongsi memberikan jagaan dan sokongan kepada bekas pesalah semasa mereka memulakan perjalanan menjauhi jenayah mereka dalam masyarakat. Fasa ini amat bermakna dan penting," kata Dr Faishal yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara.
(Gambar: SPS)
Bagi memperkukuhkan lagi usaha-usaha tersebut, pihaknya akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat.
"Sokongan anda membantu bekas pesalah mengekalkan komitmen mereka untuk berubah. Bimbingan anda membawa mereka ke rangkaian pro-sosial baharu dan gaya hidup yang positif," ujarnya.
Majlis anugerah tahunan itu mula dianjurkan sejak 2007.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.