Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

57 firma pembersihan didenda sejak Model Gaji Progresif dilaksanakan

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengenakan denda ke atas 57 perniagaan pembersihan berlesen kerana tidak mematuhi keperluan model gaji progresif sejak ia diperkenalkan, kata Menteri bagi Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di Parlimen pada Isnin (2 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Aug 2021 04:55PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:51PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengenakan denda ke atas 57 perniagaan pembersihan berlesen kerana tidak mematuhi keperluan model gaji progresif sejak ia diperkenalkan, kata Menteri bagi Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di Parlimen pada Isnin (2 Ogos).

Surat amaran juga diberi kepada 52 perniagaan pembersihan bagi kesalahan-kesalahan seperti tidak membayar bonus atau gaji progresif kepada pekerja pembersihan yang layak.

Ms Fu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) yang ingin tahu bilangan perniagaan pembersihan berlesen yang gagal mematuhi model gaji progresif sejak ia dilaksanakan pada 2014 serta tindakan yang diambil ke atas syarikat-syarikat tersebut.

Perangkaan yang diberikan Cik Fu di Parlimen adalah bagi tempoh sehingga 31 Mei tahun ini.

Model gaji progresif bagi industri pembersihan pertama kali diperkenalkan pada 2012 dan dikuatkuasakan secara rasmi pada 2014 apabila pelesenan bagi industri pembersihan diwajibkan.

Untuk mendapatkan lesen, syarikat-syarikat pembersihan dikehendaki membayar pekerja tempatan mereka gaji minimum yang ditetapkan di bawah model gaji progresif selain menghantar mereka untuk hadiri latihan.

Menjawab pertanyaan Dr Wan Rizal tentang usaha-usaha membangunkan industri pembersihan agar lebih profesional dan "menggalak amalan baik untuk merubah industri" tersebut, Cik Fu berkata sudah terdapat inisiatif di bawah Peta Transformasi Industri Khidmat Sekitaran.

Inisiatif-inisiatif tersebut bertujuan membangunkan tahap profesionalisme tenaga kerja pembersih dengan mendakap teknologi, melatih pekerja pembersihan dan memperbaiki amalan pemerolehan.

"Ini akan membantu dalam membangunkan tenaga kerja pembersihan yang profesional, berkemahiran dan tidak memerlukan banyak tenaga kerja, serta menggalak amalan baik dalam industri," kata beliau.

Mengajukan soalan tambahan, Dr Wan Rizal berkata berdasarkan maklum balas industri, sebilangan syarikat mungkin akan cuba mengelak keperluan-keperluan terbaru itu.

Jadual kenaikan gaji baru diumumkan Kelompok Tiga Pihak bagi Pekerja Pembersihan pada Jun.

Gaji asas para pekerja pembersihan bagi warga Singapura atau penduduk tetap bakal meningkat antara S$1,570 dengan S$2,210 pada 2023. Jumlah itu akan meningkat sekurang-kurangnya S$170 setiap tahun hingga 2028.

Kenaikan gaji mulai 2023 adalah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Adakah NEA akan pertimbangkan sistem tukang adu yang akan bantu pastikan pelanggan khidmat pembersihan dan syarikat-syarikat pembersihan mematuhi selok belok model gaji progresif, seperti kontrak yang adil, untuk mencapai tujuan sosial yang diingini?" tanya Dr Wan Rizal.

Menjawab, Cik Fu berkata bahawa maklum balas daripada sesiapa yang tampil untuk melaporkan ketidakpatuhan akan dipertimbangkan, dan NEA akan menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan bersama Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, serta Kementerian Tenaga Manusia.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan