Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

56 pasangan selamat diijabkabul di masjid sejak akad nikah fizikal dibenarkan semula

Seramai 56 pasangan selamat diijabkabulkan pada Sabtu (13 Jun) di 14 masjid yang dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah secara fizikal.

Anggaran Waktu Membaca:
56 pasangan selamat diijabkabul di masjid sejak akad nikah fizikal dibenarkan semula

Majlis pernikahan yang dijalankan di Masjid Darul Ghufran pada 13 Jun, di tengah-tengah pandemik COVID-19. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

SINGAPURA: Seramai 56 pasangan selamat diijabkabulkan pada Sabtu (13 Jun) di 14 masjid yang dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah secara fizikal.

Perkembangan itu didedahkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di laman Facebooknya pada Ahad (14 Jun).

Sejak 7 April, ramai pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga terpaksa menangguhkan rancangan mereka disebabkan oleh penguatkuasaan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Namun semalam, larangan ke atas pernikahan secara fizikal ditarik balik, sekali gus membolehkan majlis akad nikah dijalankan di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan 14 masjid merata negara.

SLOT TERHAD, PERTIMBANG NIKAH ONLINE

Majlis pernikahan yang dijalankan di sebuah masjid sambil mematuhi langkah jarak selamat. (Gambar: Masagos/Facebook)

Walaupun sudah mendapat lampu hijau, Encik Masagos berkata buat masa ini, slot pernikahan secara bersemuka di ROMM dan masjid-masjid masih terhad. Oleh itu, beliau berharap lebih ramai bakal mempelai akan menimbangkan untuk bernikah secara online.

Beliau menjelaskan bahawa kaedah itu juga lebih selamat, malah boleh disaksikan oleh lebih ramai anggota keluarga dan sahabat handai berbanding di lokasi luar rumah.

Untuk mencegah penularan COVID-19, hanya 10 ahli keluarga terdekat dibenarkan menghadiri majlis akad nikah di ROMM dan masjid-masjid. Semua acara akad nikah juga harus mematuhi langkah jarak selamat bagi mengurangkan risiko penularan virus itu.

BANGGA DENGAN DAYA TAHAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Encik Masagos turut meluahkan rasa bangga terhadap daya tahan masyarakat Melayu/Islam dalam mengharungi masa yang mencabar ini.

"Ramai bakal mempelai terpaksa menangguhkan akad nikah mereka ekoran pandemik COVID-19 dan menyesuaikan majlis dan waktu mengikut keadaan. Terima kasih atas pengorbanan anda demi menjaga keselamatan Singapura," tulis Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan