Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

56 keluarga memerlukan di Jurong West terima habuan makanan sempena Hari Kebangsaan

Dalam menyambut Hari Kebangsaan, semangat kejiranan dan membantu golongan yang memerlukan turut dibangkitkan menerusi satu inisiatif yang dinamakan 'SG56 Share-A-Meal Together'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam menyambut Hari Kebangsaan, semangat kejiranan dan membantu golongan yang memerlukan turut dibangkitkan menerusi satu inisiatif yang dinamakan 'SG56 Share-A-Meal Together'.

Seawal 10 pagi lagi, sekitar 30 relawan berbilang bangsa dan usia dari Kelab Masyarakat Jurong Spring sibuk menyingsing lengan membungkus beg-beg habuan. Antara mereka dari kumpulan Jurong Spring Helping Hands yang membantu golongan emas dan berkeperluan khas yang mempunyai masalah pergerakan.

Menerusi sumbangan masyarakat, sekitar S$3,000 berjaya dikumpulkan untuk mengisi beg habuan yang setiap satu mengandungi set bento makanan halal dari Dignity Kitchen, buah-buahan, pelitup dan alat-alat pembasmi kuman.

Sempena ulang tahun negara ke-56, usaha murni itu dianjurkan bagi menyuntik semangat menyambut Hari Kebangsaan dan membantu 56 isi rumah yang berpendapatan rendah dan warga emas yang tinggal bersendirian di kawasan Jurong West.

Anggota Parlimen GRC Jurong Shawn Huang juga turun padang untuk memberikan sokongannya.

"Hari Kebangsaan meraikan kekuatan hubungan masyarakat. Inisiatif ini mendekatkan masyarakat dan saya percaya kita dapat membantu orang lain dengan lebih baik dan lebih banyak.

"Ia bukan setakat memberi makanan, memberi barangan. Ia tentang perkongsian, berkongsi hati anda. Menerusi pelbagai interaksi, lambat-laun anda membina hubungan yang mendalam," kata Encik Huang.

ANGGAP PENDUDUK SEBAGAI KELUARGA

Selain relawan dari Helping Hands, acara itu turut disertai beberapa relawan Melayu dari Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Jurong Spring.

"Masyarakat di daerah Jurong sini, seperti keluarga kami juga. Susah senang mereka, kita akan bersama mereka. Di Jurong ini kebanyakannya yang ada warga emas. Kita harus membantu mereka dan memberi mereka semangat supaya mereka teruskan kehidupan mereka dan sama-sama kita meraikan Hari Kebangsaan ini," kata Encik Dogol yang bertugas sebagai pemandu forklift sepenuh masa.

Bagi Cik Mania Mohamed yang berusia 72 tahun, kehadiran Encik Huang serta para relawan sedikit sebanyak mengisi kesunyiannya yang tinggal bersendirian.

"Sejak kecil sampai tua begini, saya berbesar hati duduk sini. Mana lagi kita nak pergi? Kalau keadaan saya boleh pergi rumah anak, saya pergi. Kalau tidak saya duduk di rumah tengok apa program di TV itu, masa Hari Kebangsaan," kata Cik Mania.

PRIHATIN TERHADAP PENDUDUK EMAS, GRC JURONG SEDIAKAN PELBAGAI PROGRAM BIMBINGAN

Selain pemberian habuan, Encik Huang berkata warga emas di kawasan Jurong itu turut diberi bantuan dalam beberapa aspek lain.

Ini agar mereka dapat terus hidup aktif dan tidak selalu keseorangan.

"Kami mempunyai pelbagai kumpulan berbeza yang menganjurkan beberapa aktiviti bersama. Bukan sahaja pemberian makanan, kami mempunyai pendamping masyarakat yang akan berjumpa mereka sekali atau dua kali seminggu untuk pastikan mereka dalam keadaan baik dan berbual dengan mereka. Membawa mereka ke taman untuk berjalan atau bersenam dan membina kesejahteraan mereka juga.

"Jadi ini merupakan antara beberapa perkara yang kami ingin lakukan secara menyeluruh untuk membina seseorang dan masyarakat, untuk membina daya tahan dan keyakinan mereka untuk masa hadapan," tambah Encik Huang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan