Skip to main content

Singapura

5.5 juta bekas minuman dikitar semula menerusi skim pulangkan bekas minuman sejak 1 Apr

Anggaran Waktu Membaca:
5.5 juta bekas minuman dikitar semula menerusi skim pulangkan bekas minuman sejak 1 Apr

Pengguna perlu memastikan bekas minuman kosong mereka mempunyai Tanda Deposit untuk menuntut deposit penuh 10 sen. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 01:21PM
SINGAPURA: Sebanyak 5.5 juta bekas minuman kosong sudah dikumpulkan menerusi Skim Pulangkan Bekas Minuman (BCRS) di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada 1 April, dengan lebih sejuta urus niaga berjaya dicatat setakat ini.

"Kami menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat apabila lebih banyak produk berlabel BCRS memasuki pasaran," kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Dr Janil Puthucheary di Parlimen pada Rabu (5 Ogos).

Di bawah skim itu, pengguna boleh memulangkan bekas minuman di mesin automatik untuk menerima bayaran balik deposit sebanyak S$0.10. Bekas minuman yang layak ialah bekas minuman yang dibungkus terlebih dahulu, yang diperbuat daripada plastik atau logam, berkapasiti antara 150 mililiter hingga tiga liter dan mempunyai tanda deposit BCRS.

Bekas minuman tanpa tanda deposit masih akan berada di pasaran sepanjang tempoh peralihan sehingga 30 September bagi memberi masa kepada pengeluar menghabiskan stok sedia ada.

Mulai 1 Oktober, semua bekas minuman terkawal yang dijual di Singapura mesti mempunyai tanda deposit tersebut.

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Mariam Jaafar, Dr Janil berkata BCRS Ltd dibiayai menerusi yuran pengeluar serta hasil jualan bahan kitar semula yang dikumpulkan.

"Deposit yang sudah dibayar oleh pengguna tetapi akhirnya tidak dituntut boleh digunakan oleh BCRS Ltd bagi menampung kos pelaksanaan skim itu," kata beliau.

Beliau berkata amalan itu merupakan model yang lazim digunakan di negara lain yang melaksanakan skim bayaran balik deposit yang serupa.

Dr Janil turut berkata, kesemua 1,070 mesin automatik yang diumumkan sebelum ini sudah dipasang dan beroperasi, selain mesin yang ditempatkan di pasar raya besar.

Beliau menambah, pemerintah berada di landasan untuk meningkatkan jumlah lokasi mesin kepada sekitar 2,000 dalam tempoh tahun pertama pelaksanaan skim itu.

Dr Janil berkata kebanyakan urus niaga di mesin tersebut berjaya diselesaikan, manakala sebarang isu yang timbul ditangani segera oleh BCRS Ltd bersama pengendali mesin.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita