Skip to main content

Singapura

540 pelajar, kakitangan RVHS dapatkan sokongan psikologi susuli kejadian, kata Chan Chun Sing

Sekitar 540 kakitangan dan pelajar Sekolah Tinggi River Valley sudah mendapatkan sokongan psikologi daripada bahagian respons kecemasan di sekolah itu. Demikian dedah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2021 02:57PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 02:22PM

SINGAPURA: Sekitar 540 kakitangan dan pelajar Sekolah Tinggi River Valley sudah mendapatkan sokongan psikologi daripada bahagian respons kecemasan di sekolah itu.

Demikian dedah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Caring Action in Response to Emergencies (CARE), yang dikendalikan oleh kaunselor-kaunselor, ditubuhkan setelah seorang pelajar Menengah 1 meninggal dunia di sekolah itu minggu lalu. Seorang budak lelaki Menengah 4 didakwa atas kesalahan membunuh.

Sebilah kapak dirampas sebagai bahan bukti dan siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar itu "tidak saling mengenali antara satu sama lain", menurut polis pada masa itu.

Berucap di Parlimen, Encik Chan berkata: “Ia memerlukan masa untuk masyarakat Sekolah Tinggi River Valley sembuh. Sekiranya diperlukan, pelajar dan kakitangan akan dirujuk kepada agensi kesihatan untuk mendapatkan bantuan pakar.

“Paling menyentuh hati, dalam kalangan komuniti sekolah, para pelajar memulakan tindakan kecil mereka sendiri. Sebilangan daripada mereka mengedarkan hadiah-hadiah kecil dan bungkusan makanan ringan; yang lain mengirimkan nota kata-kata perangsang dan juga manis-manisan. Para pelajar bukan hanya menjaga diri mereka sendiri tetapi juga prihatin kepada guru-guru mereka dan menggalak antara satu sama lain untuk mendapatkan pertolongan jika perlu."

Jawatankuasa penasihat Sekolah Tinggi River Valley, persatuan ibu bapa-guru, ibu bapa dan anggota alumni juga turut memberi sokongan kepada sekolah itu, kata Encik Chan, semasa menjawab soalan mengenai kejadian itu daripada sekurang-kurangnya 10 Anggota Parlimen (AP).

"Semua ini menonjolkan kasih sayang dan kekuatan komuniti Sekolah Tinggi River Valley."

Dalam kenyataan menterinya, Encik Chan berkata CARE ditubuhkan sehari selepas kejadian itu untuk memberi sokongan kepada para pelajar dan kakitangan yang memerlukan "pertolongan segera" walaupun sekolah ditutup sempena cuti Hari Raya Haji.

Apabila sekolah dibuka semula pada 21 Julai, guru-guru Sekolah Tinggi River Valley High memantau keadaan pelajar untuk "memberikan mereka ruang yang selamat" untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam fikiran dan hati mereka.

“Pelajar yang ingin pulang boleh pulang. Guru menelefon mereka yang tidak berada di sekolah untuk bertanya khabar mereka. Para pelajar dan guru yang memerlukan cuti diberi pelepasan,” kata Menteri Pendidikan itu.

APA YANG BERLAKU PADA 19 JUL

Dalam ucapannya, Encik Chan juga memberikan ringkasan mengenai apa yang berlaku di sekolah itu pada 19 Julai.

Pada pukul 11.35 pagi menjelang tamat waktu rehat, sekumpulan pelajar terserempak pelajar berusia 16 tahun tersebut di luar tandas, katanya.

Dia memegang kapak dan dia meminta pelajar-pelajar itu menghubungi polis, kata Encik Chan.

“Para pelajar kembali ke kelas mereka dengan segera dan memanggil guru mereka. Selepas itu, pelajar berusia 16 tahun berkenaan membuat permintaan yang sama kepada sekumpulan pelajar lain di kelas di sebelah tandas tersebut. "

Pelajar-pelajar itu segera memasuki bilik darjah mereka, mengunci pintu dari dalam dan memanggil guru mereka untuk meminta pertolongan - mengikut latihan kecemasan "run-hide-tell" (lari, sembunyi, lapor)," kata Encik Chan.

Seorang guru yang pertama tiba di tempat kejadian mengarahkan remaja berusia 16 tahun itu untuk meletakkan kapak dan dia mematuhinya. Dia kemudian diiring ke sebuah bilik mesyuarat.

Guru-guru lain menghubungi polis dan memeriksa tandas di mana remaja berusia 16 tahun itu ditemui di luarnya, kata Encik Chan.

Polis tiba dalam masa 10 minit dan menahan pelajar itu. Pegawai yang dihantar ke tempat kejadian mendapati mangsa berusia 13 tahun itu terbujur tanpa sebarang pergerakan di tandas dengan beberapa kesan luka dan mengisytiharkannya sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal menunjukkan kedua-dua pelajar itu tidak saling mengenali sebelum kejadian itu dan kapak tersebut dibeli secara online," kata Encik Chan.

IBU BAPA DIBERITAHU, KEADAAN PARA PELAJAR SENTIASA DIAWASI

Setelah keadaan "terkawal", pengetua sekolah menyampaikan berita kepada kakitangan yang lain sebelum bercakap dengan pelajar.

"Beliau berkongsi bahawa satu kejadian serius sudah berlaku dan meminta semua pelajar menghubungi ibu bapa mereka untuk memberitahu yang mereka selamat," kata menteri itu.

Pengetua dan guru-guru lain juga bercakap secara berasingan dengan kumpulan pelajar "yang paling terjejas" oleh kejadian itu.

"Bagi pelajar yang membantu polis dalam temu bual, persetujuan ibu bapa diminta dengan sewajarnya dan setiap pelajar ditemani oleh seorang guru sepanjang proses tersebut," kata Encik Chan.

"Ibu bapa lain juga diberitahu melalui aplikasi Parents Gateway bahawa kejadian serius sudah berlaku di sekolah, supaya mereka dapat mengawasi anak-anak mereka setelah mereka pulang pada hari itu."

Para pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai pula 3.15 petang hari itu, dengan guru-guru ditempatkan di pintu-pintu sekolah untuk memberi jaminan kepada para pelajar dan ibu bapa, kata Encik Chan.

“Menjelang petang yang sama, ibu bapa diberitahu bahawa seorang anggota RV sudah meninggal dunia. Pihak sekolah menasihatkan ibu bapa untuk memantau kesejahteraan anak mereka. Ibu bapa yang risau tentang keadaan anak mereka digesa supaya menghubungi guru mereka untuk mencari jalan menyokong anak mereka di rumah dan di sekolah. "

PENGHARGAAN KEPADA KAKITANGAN, PELAJAR RV

Sebagai sokongan tambahan, 98 pegawai CARE Kementerian Pendidikan dan kaunselor sekolah yang dilatih dalam pertolongan cemas psikologi dan pengurusan trauma "mengetepikan tugasan tetap mereka" untuk mendampingi para guru dan pelajar yang terjejas, kata Encik Chan.

Semasa menggulung ucapannya, Encik Chan memuji Sekolah Tinggi River Valley atas cara ia menangani insiden itu, dengan menarik perhatian bahawa para pelajar melakukan langkah-langkah "lari-sembunyi-lapor" seperti latihan yang mereka jalani apabila berlaku kecemasan.

“Kepada para pelajar Sekolah Tinggi River Valley, terima kasih kerana menunjukkan sifat kasih sayang dan belas ihsan antara satu sama lain. Para guru bertindak dengan pantas, menunjukkan keberanian ketika berdepan remaja 16 tahun itu dan memastikan keselamatan para pelajar mereka menjadi keutamaan sepanjang kejadian.

"Kepada para guru, di sebalik kesedihan dan rasa terkejut anda sendiri, anda melayani murid-murid anda dan masih membantu mereka menangani emosi sukar mereka."

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pengetua sekolah kerana bergegas kembali ke sekolah walaupun semasa cuti sakit untuk menangani kejadian itu secara peribadi.

Di mana untuk dapatkan bantuan:

Hotline Samaritans of Singapore: 1800 221 4444

Talian bantuan Institut Kesihatan Mental: 6389 2222

Talian bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Anda juga boleh perolehi senarai talian bantuan antarabangsa di sini. Jika anda mengenali seseorang yang berdepan risiko segera, hubungi khidmat bantuan kesihatan 24-jam.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita