Skip to main content

Singapura

54 kursus baharu diperkenal, bantu rakyat SG di pertengahan kerjaya

Sebanyak 54 kursus baharu akan diperkenalkan bagi membantu rakyat Singapura yang berada di pertengahan kerjaya menyesuaikan diri dengan permintaan kemahiran yang semakin berkembang dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jul 2025 04:11PM Dikemas Kini : 12 Jul 2025 09:46PM
SINGAPURA: Sebanyak 54 kursus baharu akan diperkenalkan bagi membantu rakyat Singapura yang berada di pertengahan kerjaya menyesuaikan diri dengan permintaan kemahiran yang semakin berkembang dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan.

Menteri Negara Kanan Pendidikan, Dr Janil Puthucheary, berkata peningkatan kemahiran bukan sahaja relevan bagi golongan profesional, tetapi juga bagi institut-institut pengajian tinggi (IHL).

Langkah tersebut penting untuk menyesuaikan diri dengan gangguan ekonomi yang kerap berlaku dan memastikan program-program pengajian dapat dikemas kini dengan pantas.

Kursus-kursus baharu akan ditawarkan di 10 IHL. Permohonan bagi kursus-kursus itu sudah dibuka sebagai sebahagian daripada Program Peralihan Kerjaya di bawah inisiatif SkillsFuture.

Antara topik yang ditawarkan termasuk AI, analitik data, kemampanan dan seni kulinari.

Bagi memenuhi permintaan, SkillsFuture meningkatkan jumlah kursusnya sebanyak 34 peratus, kepada 239 kursus pada 2024 berbanding 179 pada 2023.

Dr Puthucheary turut menekankan bahawa inisiatif Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) adalah sesuatu yang masih "lagi diusahakan".

Beliau turut menggesa para pendidik untuk kekal relevan di luar bilik darjah melalui kerjasama dengan pihak industri.

Kata Dr Puthucheary: "Setelah melakukan semua usaha yang baik ini, bagaimana kita dapat memastikan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dari segi maklum balas terhadap teknologi, rentak kemas kini kurikulum, bahan pengajaran, kemahiran fakulti, proses akan berjalan pada kadar yang lebih pantas?"

"Sebagai peneraju dalam bidang CET, saya menggesa IHL untuk menerajui usaha memperkukuh keupayaan CET anda – di peringkat institusi, sekolah, dan kakitangan."
Sumber : BERITA Mediacorp/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita