530 gelandangan ditemui di SG, satu 'kemerosotan ketara', kata MSF
(Gambar fail: CNA)
SINGAPURA: Jumlah gelandangan di Singapura merosot sebanyak sekitar 40 peratus, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 11 November 2022.
Berdasarkan tinjauan itu, 530 individu didapati hidup secara gelandangan berbanding 921 yang dikesan semasa kajian oleh Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew pada 2019.
Dalam satu kenyataan media pada Isnin (24 Apr), MSF menyatakan, "kemerosotan yang ketara" itu bermakna sekitar sembilan orang hidup secara gelandangan bagi setiap 100,000 penduduk di Singapura.
"Jumlah lebih rendah itu mencerminkan kejayaan dalam usaha seluruh masyarakat untuk mendampingi dan membantu golongan ini," tambah MSF.
"Meskipun lebih banyak lagi boleh dilakukan, jumlah ini lebih rendah berbanding bandar-bandar global seperti New York (40 bagi setiap 100,000) dan Hong Kong (21)."
MSF mentakrif "individu sedemikian" sebagai mereka yang tidur di tempat-tempat awam dan "tiada tempat tinggal" kerana tidak mempunyai akses kepada perumahan.
"Bukan semua yang tidak ada tempat tinggal hidup secara gelandangan kerana mereka mungkin mempunyai tempat tinggal alternatif sementara mencari rumah lebih stabil untuk jangka panjang," kata MSF mengenai dapatan tersebut.
Kajian MSF pada November 2022 melibatkan 860 sukarelawan meliputi 400 kawasan di Singapura pada satu malam.
Sukarelawan itu merupakan anggota masyarakat, ahli akademik atau Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (PEERS), termasuk kumpulan-kumpulan masyarakat.
Para sukarelawan bertemu 57 gelandangan yang berdepan cabaran seperti sukar mendapatkan dan mengekalkan rumah untuk jangka panjang, perselisihan faham dengan keluarga atau penghuni bersama dan pendapatan tidak menentu atau hutang.
Golongan gelandangan dan mereka yang tiada tempat tinggal berdepan "beberapa isu berkaitan" dan "situasi yang rumit", menurut MSF dalam laporannya.
Sekitar separuh yang ditinjau mula hidup secara gelandangan kurang setahun lalu, dengan 40 peratus berpindah randah ke lokasi berbeza.
Kira-kira 60 peratus responden pula tidak mendapatkan bantuan daripada rangkaian sokongan mereka, manakala sekitar 50 peratus daripada mereka pula mendapatkan bantuan masyarakat dan pemerintah, menurut MSF.
MSF menyatakan, ia akan terus melakukan tinjauan secara kerap untuk memantau jumlah dan lokasi golongan gelandangan Singapura.
Orang ramai yang melihat gelandangan yang memerlukan bantuan atau tempat berteduh boleh mengirimkan emel kepada PEERS di MSF_PEERSOffice [at] msf.gov.sg, menghubungi ComCare pada 1800-222-0000 atau menggunakan ciri 'Membantu Jiran' (atau 'Help Neighbour') di aplikasi OneService.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.