53 pelajar terima Anugerah Silent Heroes atas sumbangan mereka kepada masyarakat
SINGAPURA: Sumbangan bakti 53 pelajar kepada masyarakat diiktiraf dalam edisi kedua Anugerah 'Silent Heroes' Singapura pada Sabtu (27 Julai).
Anugerah anjuran Persatuan Orang Awam Singapura (CAS) itu meraikan sumbangan dan kebaikan yang ditunjukkan golongan muda yang berusia 7 hingga 18 tahun.
Majlis tahun ini menyaksikan pertumbuhan ketara dengan sebanyak 53 pencalonan dari 24 buah sekolah diterima.
Ini berbanding 19 pelajar dari 9 buah sekolah dalam majlis penganugerahan sulungnya pada tahun lalu.
Acara yang diadakan di Auditorium Hab HDB itu diserikan dengan kehadiran Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Cik Gan Siow Huang.
AUFAL AFIYAH ANTARA DIIKTIRAF
Salah seorang penerima anugerah tahun ini ialah Aufal Afiyah dari Maktab Rendah Victoria.
Aufal merupakan ahli pertubuhan belia You(th) Can Do It (YCDI), yang terlibat dalam program sukarelawan Penjagaan Asas Wad di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.
Sebagai seorang penyelaras relawan, Aufal memainkan peranan penting memudahkan komunikasi antara KKH dan para sukarelawan, menguruskan tugas-tugas pentadbiran yang penting dan menyebarkan maklumat dengan berkesan.
Beliau juga mengambil inisiatif untuk mengumpul maklum balas daripada para relawan untuk meneroka bagaimana beliau dapat memberi sokongan dan membuat pengalaman mereka lebih bermakna.
"Saya memang agak terkejut apabila mendapat tahu tentang anugerah ini kerana saya tidak sangka sumbangan saya kepada masyarakat sesuatu yang sangat mengagumkan. Tambahan lagi, dibandingkan dengan teman-teman saya yang lain," kata Aufal.
Menurutnya, pengalaman menjadi sukarelawan sangat bermakna kerana ia membentuk perwatakannya dan mengajarnya nilai-nilai yang positif.
"Salah satu pelajaran utama yang saya pelajari ialah cara berkomunikasi dan bertimbang rasa dengan orang yang saya mungkin tidak kenal atau mempunyai latar belakang yang berbeza dengan saya. Ramai orang yang saya menemui semasa bersukarela mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza atau hanya boleh berbicara dalam bahasa yang saya tidak fahami.
"Secara jujur, kadang-kala ia menjadi sebuah halangan kerana saya kurang memahami keperluan mereka. Namun cabaran inilah yang membantu saya bersikap empati dan sensitif terhadap orang lain yang mempunyai latar belakang yang berbeza," ujarnya.
LUTFIL HADI MUHAMMAD SAIYIT RELAWAN MASJID TENTERA DIRAJA DIIKTIRAF
Seorang lagi penerima anugerah ialah Lutfil Hadi Muhammad Saiyit, 16 tahun.
Beliau banyak melibatkan diri dalam kegiatan dan acara-acara yang dianjurkan Masjid Tentera Diraja sejak dua tahun lalu.
Berkat dedikasi dan kerja kerasnya, Lutfil dilantik sebagai sebagai Pengarah Kebajikan dan Pengaturcara, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menganjurkan dan melaksanakan acara yang menyumbang kepada kebajikan dan perpaduan masyarakat.
Lutfil turut memegang jawatan sebagai ketua belia masjid dan telah menganjurkan pelbagai acara yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat.
Yang jelas, usia bukan penghalang bagi Lutfil untuk berbakti kepada masyarakat.
"Ini kerana daripada dorongan ibu bapa saya dan juga guru, bernama Puan Anggerini dan guru-guru yang lain juga bersama anggota Masjid Tentera Diraja yang saya saya sertai. Mereka yang banyak mendorong saya untuk membuat kerja-kerja sukarelawan seperti ini," katanya.
Lima daripada 53 pelajar yang diiktiraf semalam, akan turut dijulang di Acara Anugerah Singapore Silent Heroes pada 7 September nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.