Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

53 pelajar, 2 kakitangan Sekolah Rendah Nanyang alami simptom pernafasan akut, tiada diuji positif COVID-19, menurut MOH

Anggaran Waktu Membaca:
53 pelajar, 2 kakitangan Sekolah Rendah Nanyang alami simptom pernafasan akut, tiada diuji positif COVID-19, menurut MOH

Gambar: Google Maps

Diterbitkan : 31 Jan 2023 11:51PM Dikemas Kini : 31 Jan 2023 11:52PM
SINGAPURA: Setakat tengah hari Selasa (31 Jan), seramai 53 pelajar dan dua kakitangan Sekolah Rendah Nanyang mengalami simptom pernafasan akut seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak. Namun demikian, tidak satu pun daripada mereka diuji positif COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Daripada 55 kes tersebut, dua pelajar dimasukkan ke hospital dan sudah dibenarkan pulang ke rumah, kata MOH sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Ia menambah bahawa sebilangan pelajar diuji positif bagi demam selesema. Ini meskipun jumlah kes di merata Singapura dari 25 Disember tahun lalu hingga 22 Januari "kekal stabil".

Pada awal Selasa, pengetua sekolah tersebut, Wong Li Peng berkata bahawa sekolah itu akan menjalankan pembelajaran di rumah (HBL) bagi beberapa kelas sehingga Rabu (1 Feb). Ini setelah beberapa kes demam, batuk dan sakit tekak dikesan dalam kalangan para pelajar sejak beberapa hari lalu.
 
MOH menyatakan pihaknya sedang berhubungan dengan pihak sekolah tentang langkah-langkah kawalan jangkitan.

"Insiden demam selesema Singapura biasanya meningkat pada pertengahan tahun (Mei sehingga Julai) dan hujung tahun (November sehingga Januari."

"Meskipun ia bukan penyakit yang serius, MOH secara berkala memantau jangkitan flu seperti purata bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di poliklinik setiap hari bagi jangkitan pernafasan akut."

MOH mengingatkan orang orang ramai agar mengamalkan tabiat kebersihan yang baik dengan mencuci tangan mereka secara kerap dengan sabun dan air, terutama sekali sebelum menyentuh mata, hidung dan mulut.

MOH turut menasihatkan orang ramai yang tidak sihat supaya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera, memakai pelitup semasa berada di luar dan elak daripada mempunyai kontak rapat dengan orang lain.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan