Skip to main content

Singapura

52 orang di unit bangunan perindustrian Sin Ming disiasat langgar undang-undang COVID-19

Seramai 52 orang berusia antara 16 dengan 36 tahun disiasat kerana dipercayai tidak mematuhi peraturan jarak selamat bagi mencegah penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
52 orang di unit bangunan perindustrian Sin Ming disiasat langgar undang-undang COVID-19

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 21 Jan 2021 10:02AM Dikemas Kini : 21 Jan 2021 11:03AM

SINGAPURA: Seramai 52 orang berusia antara 16 dengan 36 tahun disiasat kerana dipercayai tidak mematuhi peraturan jarak selamat bagi mencegah penularan COVID-19.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu (20 Jan), polis menyatakan bahawa mereka dimaklumkan menerusi panggilan telefon pada sekitar 3.00 pagi pada 9 Jan mengenai perhimpunan besar di sebuah unit di bangunan perindustrian di 18 Sin Ming Lane.

Ia merupakan alamat bangunan Midview City. Apabila para pegawai tiba di tempat itu, sekumpulan 27 lelaki dan 13 wanita didapati sedang minum arak, merokok dan menyanyi dalam unit berkenaan.

Dalam kejadian kedua di tempat yang sama, polis dimaklumkan mengenai satu lagi perhimpunan pada Ahad (17 Jan) pada kira-kira pukul 2.45 pagi. Kali ini, sekumpulan tujuh lelaki dan enam wanita - berusia antara 19 dengan 36 tahun - didapati sedang minum minuman keras di sana.

Perhimpunan melibatkan lebih daripada lapan orang dilarang di Singapura bagi membendung COVID-19. Dalam kedua-dua kejadian, pihak dipercayai pengendali unit tersebut - seorang lelaki berusia 24 tahun - berada di tempat kejadian.

Botol-botol minuman keras dan peralatan audio dirampas sebagai bukti, menurut polis.

Siasatan terhadap 52 orang itu, terdiri daripada 33 lelaki dan 19 wanita sedang dijalankan kerena mereka tidak mematuhi Peraturan (Perintah Kawalan) COVID-19 (Langkah Sementara) 2020.

Siasatan awal mendapati bahawa unit itu tidak mempunyai kelulusan untuk menyediakan hiburan kepada orang awam atau membekalkan arak.

Pengendali berkenaan akan disiasat kerana melanggar peraturan di bawah Akta Hiburan Awam dan Akta Kawalan Arak (Bekalan dan Penggunaan), 2015, menurut polis.

Di bawah dua undang-undang berkenaan, kesalahan menyediakan hiburan awam dan membekalkan minuman keras tanpa lesen sah membawa hukuman denda sehingga S$20,000 setiap satu.

Polis menggesa orang awam supaya memandang serius peraturan jarak selamat sedia ada.

Jika didapati bersalah melanggar undang-undang, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita