52.5 juta tan gas rumah hijau dihasilkan Singapura pada 2017: MTI
Lima puluh dua juta tan setengah gas rumah hijau dihasilkan oleh Singapura pada 2017, dengan industri-industri menyumbang sekitar 60 peratus daripada jumlah itu," kata Menteri Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pada Isnin (7 Okt).
(Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Lima puluh dua juta tan setengah gas rumah hijau dihasilkan oleh Singapura pada 2017, dengan industri-industri menyumbang sekitar 60 peratus daripada jumlah itu," kata Menteri Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pada Isnin (7 Okt).
Tambah Dr Koh, sekitar tiga suku pengeluaran industri itu dihasilkan oleh sektor penapisan dan petrokimia.
Dr Koh menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen Dilantik Anthea Ong tentang sama ada terdapat rancangan untuk mengurangkan pengeluaran gas pencemaran oleh industri.
Pada 2017, 190 Mtoe (setara juta tan minyak) bahan bakar diimport ke Singapura. Sekitar 55 Mtoe ditapis menjadi bahan kimia dan bahan bakar bernilai lebih tinggi, kebanyakannya dieksport untuk kegunaan di luar negara.
Selebihnya pula digunakan untuk penjanaan kuasa dan pengangkutan.
Di bawah Perjanjian Paris, Singapura berikrar untuk mengurangkan tahap pengeluaran sebanyak 36 peratus (daripada paras 2005) menjelang 2030 dan mengurangkan pengeluaran karbon keseluruhan melewati 2030.
Untuk mencapai matlamat itu, Singapura, kata Dr Koh, perlu menjadikan ekonominya "jauh lebih" cekap karbon. Bagi industri-industri sedia ada, ini bermakna menggalakkan syarikat-syarikat untuk menggunakan teknologi cekap tenaga.
"Tahun ini, kami melaksanakan skim Industri Cekap Tenaga yang dipertingkatkan," kata Dr Koh.
"Mulai Januari 2019, sokongan dana bagi penggunaan teknologi cekap tenaga di bawah Geran Kecekapan Sumber bagi Tenaga Lembaga Kemajuan Negara (EDB) dan Dana Kecekapan Tenaga Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah dinaikkan hadnya daripada 30 peratus kepada 50 peratus daripada kos kelayakan," kata Dr Koh.
Dr Koh turut mendedahkan bahawa NEA merancang untuk melancarkan sebuah geran baru bagi membantu syarikat-syarikat merubah sistem pengurusan tenaga mereka kepada bentuk digital.
"Apabila syarikat-syarikat meluaskan operasi atau syarikat-syarikat baru memilih untuk melabur di Singapura, Pemerintah juga bekerja "rapat" dengan mereka untuk memastikan piawai kecekapan yang tinggi, kata Dr Koh.
"Di luar industri, kami semua... bertanggungjawab untuk mengawal perubahan iklim."
"Misalnya, menjimatkan bekalan elektrik, menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan sisa adalah cara-cara baik untuk mengurangkan pengeluaran karbon. Sebagai sebuah negara, kita akan memainkan peranan untuk membantu mengatasi perubahan iklim global dan cabaran iklim global," ujar Dr Koh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.