Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

51 banduan tamat pengajian Kursus NITEC, jumlah naik 75% berbanding kohort lalu

Seramai 51 banduan wanita dan lelaki berjaya tamat pengajian dalam kursus NITEC dalam Perkhidmatan - Program Khidmat Perniagaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 51 banduan wanita dan lelaki berjaya tamat pengajian dalam kursus NITEC dalam Perkhidmatan - Program Khidmat Perniagaan.

Jumlah itu 75 peratus lebih tinggi berbanding kohort pertama iaitu seramai 29 orang.

'

Ini setelah kursus kelolaan Jabatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG) bersama Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu diperluaskan tahun lalu.

Ia dilancarkan pada 2021 bagi tujuan menyediakan kemahiran-kemahiran baru untuk para banduan serta meningkatkan daya kerja mereka.

''

Menurut SPS, para banduan yang berjaya tamatkan kursus itu boleh mencari pekerjaan dalam bidang-bidang seperti pentadbiran atau khidmat pelanggan.

Dalam ucapannya di majlis penyampaian sijil pada Khamis (23 Feb), Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim mengatakan bahawa latihan kemahiran serta peluang pembelajaran seperti kursus tersebut memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan daya kerja bekas pesalah.

Beliau juga mengiktiraf peranan ITE dalam menyediakan peluang menimba kemahiran di dalam penjara.

Dr Faishal berkata: "Kursus NITEC dalam Khidmat Perniagaan sangat popular dalam kalangan para banduan. Saiz kohort sudah meningkat daripada 29 banduan pada 2021 kepada 51 banduan pada tahun lalu. Ini satu peningkatan yang baik."

Dr Faishal juga menukil satu kajian yang membuktikan betapa pekerjaan yang bermanfaat bantu bekas pesalah daripada terjebak kembali dalam kancah jenayah.

'

"Sokongan masyarakat adalah penting untuk bekas pesalah integrasi semula. Organisasi seperti ITE boleh menyediakan peluang untuk mereka, memastikan mereka menjadi lebih produktif dan menjadi rakyat yang menyumbang kepada negara. Keluarga dan rakan-rakan juga memainkan peranan penting, untuk menghulurkan sokongan semasa masa-masa sukar," kata Dr Faishal.

DAHULU SEORANG YANG PEMALU, KINI 'ADIL' LEBIH YAKIN DALAM TUTUR BICARA

Antara 51 peserta yang berjaya mendapat sijil mereka di majlis itu ialah 'Adil' (bukan nama sebenar).

'Adil' sudah empat tahun dipenjara kerana kesalahan dadah.

'

Dia tidak mahu mensia-siakan tempoh hukuman yang perlu dijalaninya.

Sebaliknya, dia mahu memanfaatkan segala peluang yang tersedia untuk mempersiapkan diri bagi mencorak masa depan yang cerah apabila dibebaskan nanti.

Pada Januari tahun lalu, 'Adil' merebut peluang untuk menyertai kursus NITEC dalam Perkhidmatan - Program Khidmat Perniagaan.

'Adil' berkata, "Saya ingin memperbaiki diri saya. Ibu dan ayah saya juga selalu memberi semangat kepada saya untuk memperbaiki diri saya. Jadi saya pun ingin mempertingkatkan diri saya"

Bagi kursus tersebut, para peserta perlu mengambil enam modul termasuk Perhubungan Perniagaan, Pengenalan kepada Analisis Data & Keselamatan Siber serta Pentadbiran & Perancangan Acara.

Selepas meluangkan masa lebih 660 jam untuk mengikuti dan belajar kesemua modul itu, 'Adil' berjaya meraih keputusan baik untuk kursus itu.

'Adil' berkata: "Alhamdulillah, saya dapat tamatkan pengajian, dengan keputusan baik GPA 3.0. Saya pun lihat ibu bapa saya gembira. Jadi saya pun gembira."

Menurut 'Adil', bidang perniagaan sebenarnya bukan minat utamanya.

Namun, dia akur tentang manfaat serta kemahiran baru yang dapat diraih melalui program bidang tersebut.

"Saya perlu mempelajari kemahiran-kemahiran baru supaya saya boleh mempunyai masa depan cerah apabila dibebaskan nanti."

Selain ilmu dan pengetahuan baru, 'Adil' juga dapat menimba kemahiran-kemahiran insani menerusi kursus itu.

"Kursus ini memerlukan saya untuk banyak berbual. Saya perlu menyampaikan diri saya dengan baik di depan orang ramai. Saya sebenarnya seorang yang tidak yakin, saya gementar di hadapan orang ramai. Saya pemalu," ujar 'Adil'.

"Dulu, apabila saya berbual, saya suka menggumam (perkataan). Sekarang saya seorang yang boleh berbual dengan lebih baik, lebih kuat dan tidak tutup mulut apabila berbual. Sekarang saya sudah lebih yakin menerusi kursus ini," katanya lagi.

ITE RANCANG TAWARKAN LEBIH BANYAK KURSUS BAGI BANDUAN

'Adil' dijangka akan dibebaskan pada bulan Julai ini.

Memandang ke hadapan, 'Adil' berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan memanfaatkan kemahiran-kemahiran yang diraih daripada kursus itu.

"Saya akan memanfaatkan kemahiran yang saya timba seperti penggunaan Microsoft Excel di mana saya boleh mengumpul data. Dahulu saya tidak terlalu bagus tetapi sekarang saya agak mahir."

"Saya ada rancangan untuk masa depan. Saya ingin cuba mengambil diploma sambil bekerja dalam bidang maritim atau kecergasan. Daripada bidang perniagaan ini, saya ingin bercabang ke bidang lain yang saya lebih mahir," ujar 'Adil'.

Selain kursus khidmat perniagaan, pihak ITE juga menawarkan kursus Pembaikan dan Diagnostik PC yang sudah disertai lebih 300 banduan tahun lalu.

Dalam masa akan datang, SPS, YRSG dan ITE berharap dapat menyediakan lebih banyak kursus kepada banduan termasuk dalam bidang perancangan majlis perkahwinan, kecantikan dan kecergasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan