Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

500 penduduk sertai Gerak Gelak di Hab Tampines Kita

Seramai 500 penduduk 'bergerak sambil bergelak' semasa menyertai acara berjalan kaki beramai-ramai di Hab Tampines Kita siang tadi (30 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Sep 2018 10:08PM Dikemas Kini : 30 Sep 2018 10:14PM

SINGAPURA: Seramai 500 penduduk 'bergerak sambil bergelak' semasa menyertai acara berjalan kaki beramai-ramai di Hab Tampines Kita siang tadi (30 Sep).

Ia merupakan edisi kedua acara 'Gerak Gelak' yang dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bagi menggalak masyarakat Melayu khususnya, untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Sejak dari 8.30 pagi lagi, para penduduk sudahpun sibuk memanaskan tubuh mereka sebagai persiapan untuk berjalan sejauh dua kilometer.

Mungkin jaraknya agak dekat namun dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk juga mereka yang berkerusi roda, acara seperti ini masih dianggap sebagai satu kejayaan kecil ke arah membina sebuah masyarakat yang menitikberatkan kesihatan dan juga kehidupan aktif.

"Saya rasa ini petanda yang baik kerana ia menunjukkan bahawa mesej-mesej yang kuat untuk mengamalkan kehidupan sihat, jaga makanan, jaga minuman dan sentiasa bersenam atau kerap bersenam telah sebati dengan masyarakat kita," menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin.

Bagi sesetengah peserta, acara itu dilihat sebagai peluang untuk bersenam tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

"Jalan pantas kan senaman yang paling mudah, tak perlu banyak perbelanjaan, diri sihat, dengan kasut, kita jalan secara perlahan," kongsi Haliza Haron, 58 tahun, seorang suri rumah.

Ada pula yang menganggapnya sebagai satu motivasi untuk keluar rumah dan mengajak sekali para ahli keluarga lain untuk sama-sama turut serta.

Antara peserta yang terlibat adalah seorang pegawai pentadbiran, Cik Suraya Hassan, 46 tahun, berkata: "Kalau kita tak buat ini kan, tiap-tiap minggu saya ada dekat rumah masih tidur lagi. Jadi bagus untuk mengadakan ini jadi kita dapat bersenam bersama."

"Bukan setakat berjalan tetapi memberikan semangat, tenaga, kekuatan. Inilah cara-caranya untuk kita bersama-sama menyertai walkathon. Tarikannya baguslah untuk kaum keluarga.," ujar Encik Ramlan Ibrahim, 56 tahun, yang bekerja dalam bidang F&B.

Selain acara berjalan kaki, para peserta juga berpeluang menyertai klinik bola sepak serta beberapa kegiatan lain yang boleh mencergaskan sendi dan otot tubuh mereka.

Siri Gerak Gelak ini diadakan setiap empat bulan di merata negara, sehingga Mac tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NT/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan