Skip to main content

Singapura

500 anggota keluarga lima generasi berhimpun, erat silaturahim Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
500 anggota keluarga lima generasi berhimpun, erat silaturahim Aidilfitri

Gambar ramai di Majlis Perjumpaan Hari Raya keturunan Tok Kassim, walaupun tidak lengkap kerana sebilangan terpaksa pulang awal (Gambar: Legasi Tok Kassim)

Diterbitkan : 14 Apr 2026 12:08AM
SINGAPURA: Hujung minggu menjadi peluang bagi keluarga-keluarga besar mematri silaturrahim antara satu sama lain, sempena musim perayaan Aidilfitri yang masuk minggu terakhir.

Tidak terkecuali adalah 500 anggota keluarga dari keturunan Kassim Ahmad atau digelar Tok Kassim, yang menghadiri Majlis Perjumpaan Hari Raya Tok Kassim 2026 - satu sambutan penuh bermakna yang meraikan warisan, perpaduan dan legasi kekeluargaan yang berkekalan.

Tok Kassim merupakan seorang konduktor bus sewaktu hayatnya.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1979 di usia 88 tahun dan meninggalkan bilangan keturunan yang sudah masuk tujuh generasi.

Bagi mengenang legasinya, hadirin dari usia bayi empat bulan sehingga ke umur mapan 84 tahun yang merangkumi lima generasi, menjayakan majlis perjumpaan Raya pada Sabtu (11 April).

KELUARGA 6 BERADIK KETURUNAN TOK KASSIM PAKAI WARNA BERBEZA BAGI MELAMBANGKAN SALASILAH

Daripada enam sepupu yang merupakan cucu kepada Tok Kassim, setiap keluarga memakai warna yang berbeza bagi melambangkan salasilah masing-masing.

Ia satu gambaran luar biasa tentang akar kekeluargaan yang kukuh dan sejarah yang dikongsi bersama.
Related article image
Anggota keluarga paling 'senior', Jamaludin Marican, 84 tahun (belakang) bersama generasi penerus legasi Tok Kassim (Gambar: Legasi Tok Kassim)
Bagi anggota keluarga paling tua - Encik Jamaludin Marican, 84 tahun, pengertian majlis yang mengambil masa empat bulan lamanya untuk dianjurkan itu, sarat menyingkap kenangan lalu.

"Hari itu kita berkumpul untuk mengeratkan silaturahim, mengimbau kenangan, dan mengukuhkan kasih sayang sesama keluarga. Tujuan majlis ini adalah untuk mengeratkan silaturahim keluarga nenek-moyang kita agar kekal utuh sepanjang zaman. Kita juga berharap anak-anak, cucu-cicit dapat saling mengenali antara satu sama lain," luahnya.

Dalam menghargai legasi, acara perjumpaan itu juga melambangkan peranan lima generasi yang masih ada dalam meneruskan serta memelihara tradisi untuk berhimpun sebagai satu keluarga besar, bagi tahun-tahun akan datang.
 
Related article image
Durrah Laasiliyah Putri Mohamed Rozaini & Alya Nur Nazeeha Abdul Noorzai (Gambar: Legasi Tok Kassim)
HAMPIR TIADA MAJLIS PERKAHWINAN KOLONG BLOK KIKIS PELUANG SILATURRAHIM KELUARGA

Ketua penganjur majlis, Encik Hashim Dollah, 70 tahun, menjelaskan, "Dahulu kami ada jemputan orang kahwin untuk berjumpa dengan saudara-mara semua. Semenjak dunia dilanda wabak COVID-19, ramai yang tidak membuat persandingan yang besar di kolong blok seperti dahulu. Jadi, mereka lupa akan saudara-mara yang sudah lama tidak ditemui. Oleh kerana itu, saya mengambil tindakan untuk berjumpa dengan sanak-saudara saya, dan meminta wakil dari setiap keluarga untuk menubuhkan ahli jawatankuasa buat majlis ini. Dengan kerja keras mereka selama 4 bulan, mereka berjaya membawa keluarga masing masing dari anak ke cucu-cicit untuk berjumpa kembali dan meraikan Hari Raya bersama."

Antara lain, Encik Hashim percaya, penganjuran acara itu, "Penting, kerana ia mengeratkan silaturahim di antara sepupu dan saudara mara, demi untuk mengetahui perkembangan masing-masing dan saling mengenali sesama."
Related article image
Ketua penganjur majlis Perjumpaan Hari Raya keturunan Tok Kassim, Hashim Dollah, 70 tahun (tengah) (Gambar: Legasi Tok Kassim)
Majlis yang ditaja syarikat katering Muslim Delights yang menjadi antara keturunan Tok Kassim itu menandakan satu detik penting, sebagai perjumpaan semula pertama yang diadakan selepas pandemik COVID-19.

Perhimpunan itu dirancang dengan teliti bagi memastikan ahli keluarga daripada semua generasi berpeluang untuk berhubung-semula, mengeratkan hubungan, dan saling mengenali dengan lebih dekat.
 
Related article image
Gambar-gambar kenangan (Gambar: Legasi Tok Kassim)
REMAJA DARI LEGASI TOK KASSIM BANTU ANJURKAN ACARA

Usaha yang membuahkan hasil, apabila generasi muda legasi Tok Kassim, yang antara lain turut disokong oleh dua orang remaja berusia 16 tahun - Durrah Laasiliyah Putri Mohamed Rozaini dan Alya Nur Nazeeha Abdul Noorzai berpendapat, "Rancangan ini menarik kerana kami dapat mengenali setiap generasi dari datuk-moyang kami. Kami datang ke majlis mengikut tujuh tema warna, kerana ia melambangkan 'lineage' atau salasilah kami. Buat masa sekarang, kami berjinak-jinak membantu generasi keempat untuk menganjurkan majlis perjumpaan tahun ini. Manalah tahu, kalau di masa hadapan kami akan mendapat peluang untuk meneruskan legasi ini?"
Related article image
6 cucu Tok Kassim memakai 6 warna berbeza mengikut salasilah keluarga (Gambar: Legasi Tok Kassim)
Menambahkan lagi kemeriahan sambutan, program ini menampilkan persembahan khas oleh ahli keluarga sendiri, dengan setiap keluarga menyumbang satu persembahan.

Ini memberi peluang kepada para anggota keluarga untuk mempamerkan bakat merentas generasi serta mencerminkan semangat hidup keluarga Tok Kassim.

Usaha menyentuh hati, yang menonjolkan nilai budaya, ketahanan, serta kepentingan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang kukuh dalam dunia masa kini itu, pasti dikenang dalam lipatan kenangan para hadirin yang berkongsi detik penuh kenangan itu.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita