Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 tahun tak jumpa doktor gigi, Cik Jamilah syukur terima rawatan di Klinik Pergigian Percuma Q&M

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Khuatir akan kos tinggi untuk dapatkan rawatan gigi, Cik Jamilah Gulam, 72 tahun tidak pernah melawat klinik pergigian selama hampir lima dekad.

Kali terakhir beliau mendapatkan rawatan untuk memeriksa keadaan giginya adalah apabila usianya 22 tahun.

Cik Jamilah memberitahu BERITA Mediacorp bahawa selama ini, beliau akan mencari alternatif lain untuk melegakan rasa sakit pada gigi atau gusinya jika ada masalah.

"Pakai ubat sendiri, letak minyak kapak dekat sini (tepi mulut), lagipun bayaran dia mahal sangat, jadi cik tak pergi (jumpa doktor gigi), Cik makan Panadol dah okey, Alhamdulillah," kongsi Cik Jamilah.

Kini beliau bersyukur menjadi antara yang 1,400 penduduk yang terpilih untuk menerima rawatan pemeriksaan gigi di klinik percuma Q&M di Chai Chee.

"Alhamdulillah syukur pasal Cik yang terpilih dapat, tak pernah umur, baru ini pertama kali. Alhamdulillah lagipun layanan orang-orang semua di sini baik," kata Cik Jamilah.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Beliau juga mengutuskan rasa gembira giginya kini dijaga oleh pakar pegigian di klinik berkenaan.

"Alhamdulillah gigi pun dah bersih, dah kena tampal," ujar Cik Jamilah Gulam.

Dalam fasa seterusnya, syarikat Q&M berharap dapat meluaskan lagi bantuan kepada 5,000 penduduk.

INISIATIF UNTUK BANTU PENDUDUK KURANG BERKEMAMPUAN DI KAWASAN KEMBANGAN- CHAI CHEE

Klinik itu ditubuhkan oleh Kumpulan Pergigian Q&M dan dilancarkan pada 10 Julai lalu. Ia bertujuan untuk menawarkan rawatan pergigian asas kepada para penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan Kembangan-Chai Chee.
 
(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Pertubuhan-pertubuhan akar umbi Chai Chee akan merujuk pesakit-pesakit yang layak ke klinik ini dan di sini, kami akan memberikan rawatan asas, konsultasi, kedua pembersihan gigi iaitu 'scaling' dan 'polishing' dan rawatan tampal gigi iaitu 'filling' dan juga cabut gigi iaitu 'extractions'," kata Doktor gigi Q&M, Dr Dalilah Hashim.

"Tumpuan kami adalah untuk memastikan klinik ini berjalan dengan lancar, sebab ia diselenggarakan oleh sukarelawan dan juga dana daripada penderma. Kami cuba menggunakan kemudahan ini dengan sepenuhnya jadi kami cuba untuk merawat pesakit dalam sasaran seribu hingga 5,000 pesakit dalam setahun," tambahnya.

PESAKIT YANG MEMERLUKAN RAWATAN KECEMASAN

Disebabkan klinik tersebut menawarkan rawatan pergigian asas buat para pesakit, mereka yang memerlukan rawatan lanjut atau rawatan kecemasan serius akan dipindahkan ke klinik pemerintah.

"Pesakit-pesakit tersebut dari segi kecemasan, kami akan cuba menolong mereka dengan memberikan mereka perubatan kemudian mereka akan disalurkan kepada klinik-klinik atau institusi-institusi pemerintah di mana mereka akan mendapat lawatan yang lebih terperinci," kongsi Dr Dalilah.

Beliau yang sudah bertugas dengan kumpulan Q&M selama 15 tahun teruja dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dengan kepakarannya dalam bidang pergigian.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut beliau lagi, jadual akan diberikan oleh klinik berkenaan dan buat masa ini, beliau harus berulang-alik dari kliniknya di Killiney Road ke Chai Chee satu kali setiap bulan.

"Kami sukarelawan lebih berbesar hati kerana dapat memberi balik kepada masyarakat, jadi ini satu inisiatif yang bagus, peluang yang baik bagi kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang memerlukan," ujar Dr Dalilah Hashim.

KLINIK ALU-ALUKAN SUKARELAWAN, DERMA ORANG AWAM

Dalam pada itu, Dr Dalilah menegaskan bahawa klinik tersebut mengalu-alukan derma daripada orang awam dan tajaan peralatan pergigian untuk membantu keberlangsungan klinik buat penduduk yang kurang berkemampuan di situ.

"Kami harap masyarakat dapat menyokong kami dengan memberi derma dan lebih ramai sukarelawan tampil ke hadapan," ujar Dr Dalilah.

Buat masa ini, klinik tersebut diselenggarakan oleh 60 sukarelawan doktor gigi dan hanya menerima pesakit yang membuat janji temu dan bukan ‘walk-in’.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan