Skip to main content

Singapura

50 tahun Dikir SG: Sudah tiba masa pertingkat pengiktirafan

Anggaran Waktu Membaca:
50 tahun Dikir SG: Sudah tiba masa pertingkat pengiktirafan
Sesi rakaman Dialog Dikir anjuran unit BERITA & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp. (Gambar: Aqil Ezat)
SINGAPURA: Platform wacana tentang hala tuju seni dikir di Singapura, penting kerana ia meningkatkan pengiktirafan seni itu.

Pada masa yang sama, ia juga mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama antara para penggiat dengan masyarakat secara am.

Para pendikir berkongsi sentimen demikian semasa terlibat dalam sesi rakaman Dialog Dikir anjuran unit BERITA & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp.

SENI ADALAH MODAL KREATIF ORANG MELAYU

Seni dikir barat sudah menapak di Kota Singa ini hampir 50 tahun.

Kini dengan panggilan 'dikir Singapura', seni persembahan tradisional itu juga sudah diakui ketokohannya di peringkat serantau oleh para penggiat dikir barat dari Malaysia dan Thailand.

Lantaran itu, sesuai masanya untuk para pendikir serta masyarakat Melayu/Islam secara amnya membincangkan hala tuju seterusnya.

"Seni itu milik kita dan kitalah yang diberikan amanah untuk meneruskannya sambil kita menjalani kehidupan di Singapura yang sangat mencabar tapi kita juga ada tanggungjawab kita sebagai anak Melayu. Marilah kita sama-sama raikan kesenian dan kebudayaan kita sendiri," ujar Riduan Zalani, salah seorang ahli panel Dialog Dikir.

Encik Riduan menambah bahawa kesenian adalah modal kreatif masyarakat Melayu.

Mentelah lagi, dikir Singapura mengandungi lima bidang seni Melayu yang utuh iaitu seni nyanyian, seni muzik, seni gerak tari, seni sastera dan seni busana.
Related article image
Sesi rakaman Dialog Dikir anjuran unit BERITA &amp; Ehwal Semasa Melayu Mediacorp. (Gambar: Aqil Ezat)<br /> &nbsp;
Beliau berkata: "Wadah kesenian Melayu termasuk dikir barat adalah modal kreatif orang kita. Kalau kita sayang modal kita, kita perlu berusaha. Kalau kita inginkan kesenian Melayu itu mendunia, langkahnya juga perlu mendunia.

"Tiada formula yang betul. Dorongan dan sokongan masyarakat itulah yang membawa kita kepada kesenian yang lebih indah."

ALU-ALUKAN KERJASAMA PELBAGAI PIHAK

Perkara tersebut turut diakui Gabungan Kumpulan Dikir Barat Singapura atau Gabungan yang menjadi salah satu rakan kerjasama bagi rakaman Dialog Dikir.

Dengan lebih banyak platform perbincangan sebegitu, diharapkan lebih banyak kerjasama serta sokongan dapat terjalin antara para penggiat dengan masyarakat am.

"Platform ini sangat penting untuk memberitahu kepada aliran utama bahawa wujudnya seni dikir barat di Singapura yang menghampiri kurang-kurang 50 tahun dan ini akan memberi ruang untuk kami penggiat dikenali oleh agensi-agensi ataupun badan-badan untuk terus memberikan sumbangan mereka untuk menyokong aspirasi seni dikir barat di Singapura," ujar Naib Presiden Gabungan Nurfaizal Ja'afar.

Selain itu, Gabungan juga mengalu-alukan kerjasama dengan masyarakat am daripada pelbagai latar belakang.
 
Related article image
Sesi rakaman Dialog Dikir anjuran unit BERITA &amp; Ehwal Semasa Melayu Mediacorp. (Gambar: Aqil Ezat)
Ini termasuk mereka yang mungkin bukan daripada masyarakat dikir Singapura tetapi mempunyai kepakaran tersendiri yang boleh disumbangkan.

Semasa sesi Dialog Dikir misalnya, pihak Gabungan berkongsi tentang jasa Allahyarham Eddie Iskandar yang dianggap sebagai pencipta kandungan pertama dikir Singapura.

Meskipun bukan seorang pendikir, Allahyarham menubuhkan dikirbarat.com yang secara tidak langsung menjadi platform rujukan atau arkib seni dikir Singapura.

Seorang lagi Naib Presiden Gabungan Rohasliza Rohmadon berkata: "Harapan kami adalah supaya belia dan anak-anak muda untuk tampilkan diri ke hadapan untuk menyambungkan legasi ini agar ia tidak mati begitu sahaja."

KEKOSONGAN DI PERINGKAT SEKOLAH RENDAH & MENENGAH

Berhubung pelibatan anak muda, rata-rata para peserta Dialog Dikir dan ahli panel setuju bahawa dikir Singapura tidak ketandusan bakat khususnya dari peringkat posmenengah.

Ini disebabkan sambutan teguh setiap tahun dalam pertandingan Piala Suara Serumpun.

Pun begitu, banyak lagi boleh diusahakan terutama sekali bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Pada waktu ini, kita seperti ada kekosongan pada peringkat sekolah rendah dan menengah dan semakin banyak kumpulan dalam peringkat itu sudah ditutup.

"Jadi kita perlu fikirkan jika perlu ada ruang untuk mereka mempunyai pertandingan juga atau lebih baik lagi mempunyai nilai Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) supaya kegiatan ini mendapat sokongan ibu bapa," tegas seorang lagi ahli panel Siti Aishah Junaidi.

Pihak Gabungan berkongsi sudah sekian lama para penggiat dikir Singapura mengharapkan seni itu dapat dijadikan sebuah kegiatan ko-kurikular (CCA) serta dipertandingkan di peringkat Festival Belia Singapura (SYF).

Impian itu bukan sahaja dapat mendedahkan anak muda kepada seni dikir pada peringkat lebih awal tetapi pada masa yang sama, mengukuhkan lagi ekosistem sedia ada.

Ini sekaligus menjadikan dikir Singapura sebagai wadah kreativiti, institusi sosial, mata pencarian dan ruang mengenali erti jati diri dalam dunia yang pesat maju dek teknologi.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita