Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 penumpang terkandas susuli gangguan khidmat kereta api TEL

Kerosakan kereta api antara stesen-stesen Woodlands dengan Woodlands South sekitar pukul 6.30 pagi semalam menyebabkan kelengahan itu, menurut syarikat pengendalinya SMRT.

Anggaran Waktu Membaca:
50 penumpang terkandas susuli gangguan khidmat kereta api TEL

Para penumpang menunggu pengangkutan alternatif selepas berlaku kelengahan pada khidmat kereta api di Laluan Thomson-East Coasr pada 27 Apr 2022. (Gambar: Sean Bay/Twitter)

SINGAPURA: Sekitar 50 penumpang terperangkap di dalam sebuah kereta api di Laluan Thomson-East Coast (TEL) selama lebih 90 minit pada Rabu (27 Apr).

Kerosakan kereta api antara stesen-stesen Woodlands dengan Woodlands South sekitar pukul 6.30 pagi semalam menyebabkan kelengahan itu, menurut syarikat pengendalinya SMRT.

“Jurutera kami dikerahkan dengan serta-merta untuk menangani gangguan itu. Sekitar 50 penumpang yang berada di dalam kereta api yang khidmatnya tergendala itu berjaya keluar dengan selamat dari stesen Woodlands kira-kira pukul 8.10 pagi," menurut SMRT dalam catatan Facebooknya.

Menurut SMRT, terdapat pencahayaan penuh dan pengaliran udara baik di dalam kereta api yang tergendala itu sepanjang tempoh di mana para penumpang berada di dalamnya.

Menurut SMRT, perkhidmatan kereta api terus disediakan. Terdapat juga pengumuman di dalam kereta api serta di stesen untuk memaklumkan para penumpang bahawa masa perjalanan tambahan sehingga 25 minit boleh dijangkakan.

“Khidmat-khidmat bas biasa dan bas sambungan percuma disediakan antara stesen-stesen Woodlands North dengan Caldecott," menurut SMRT.

“Anggota kakitangan tambahan juga dikerahkan untuk membantu penumpang di semua stesen terjejas."

Bagaimanapun, beberapa penumpang meninggalkan komen di catatan media sosial SMRT dengan mengatakan bahawa tiada khidmat bas sambungan di tempat mereka.

Seorang pengguna Facebook, Audrey Lee, berkata ramai orang menunggu selama sejam tetapi "kelibat bas tidak kelihatan".

Seorang lagi pengguna Facebook, Ling Woo, berkata mereka diberitahu supaya mengambil khidmat bas sambungan di stesen MRT Lentor tetapi ia tidak muncul.

“Orang ramai terus menunggu sehingga khidmat kereta api disambung semula dan sebaliknya kembali untuk menaiki kereta api!" tulisnya.

Membalas ciapan Twitter SMRT, Marcus Ng berkata orang ramai sudah menunggu selama 40 minit di stesen Lentor tetapi tiada satu bas pun kelihatan tiba di stesen Woodlands North.

"Ramai pelajar terkandas di sini. Tolong bantu," tulisnya.

Dalam satu lagi catatan SMRT, Nur Hafizah Ismail membalas untuk berkata tiada khidmat bas sambungan yang menghala ke stesen Caldecott.

SMRT kemudian mengemas kini catatan Facebooknya dengan menyatakan perkhidmatan kereta api sudah disambung semula pada jam 9.23 pagi.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan