Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50% pemandu S'pura rasa jalan raya kurang selamat berbanding 3 tahun lalu: Tinjauan

Hampir satu dari setiap dua pemandu rakyat Singapura berasa bahawa jalan-jalan raya semakin kurang selamat berbanding tiga tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
50% pemandu S'pura rasa jalan raya kurang selamat berbanding 3 tahun lalu: Tinjauan

Gambar fail jalan raya di Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 27 Nov 2018 10:06AM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 10:09AM

SINGAPURA: Hampir satu dari setiap dua pemandu rakyat Singapura berasa bahawa jalan-jalan raya semakin kurang selamat berbanding tiga tahun lalu. Demikian hasil tinjauan oleh syarikat insurans AXA Insurance yang dikeluarkan pada Isnin (26 Nov).

Antara sebab-sebab utama yang diberikan adalah para pemandu lebih agresif (72 peratus) serta lebih ramai pengguna bukan pemandu di jalan-jalan raya, termasuk penunggang basikal dan pengguna alat mobiliti peribadi (70 peratus), selain kenaikan jumlah kenderaan sewa privet menurut Tinjauan Mobiliti AXA 2018.

Pandangan itu diberikan meskipun kadar kemalangan maut merosot 20 peratus dan kemalangan menyebabkan kecederaan pula berkurangan 4 peratus antara tahun 2015 dengan 2017 berdasarkan perangkaan polis.

Tinjauan itu memperolehi pandangan daripada seramai 812 rakyat Singapura berusia antara 18 tahun dengan 59 tahun pada April tahun ini. Ia meneliti kelakuan dan pengalaman para pengguna jalan raya, dan tahap kesedaran mereka mengenai trend-trend mobiliti kini.

Meskipun 48 peratus pemandu berasa kurang selamat untuk memandu di Singapura berbanding tiga tahun lalu, kebanyakan pemandu yang ditinjau - 81 peratus - mengatakan bahawa jalan-jalan raya Singapura "agak selamat" atau "sangat selamat". Ini jauh lebih tinggi berbanding 2015 apabila 65 peratus berpandangan demikian.

Malah, bukan saja para pemandu mendapati perjalanan mereka kurang selamat. Enam daripada setiap 10 penunggang basikal (60 peratus) dan pejalan kaki (63 peratus) juga berpendapat bahawa perjalanan di jalan raya kurang selamat sekarang berbanding tiga tahun lalu.

Antara sebab-sebab utama yang diberikan adalah lebih ramai pengguna bukan pemandu di jalan-jalan raya (82 peratus) serta para pemandu lebih agresif (63 peratus), dan lebih ramai pemandu yang tidak mematuhi undang-undang trafik.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan