Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50% pekerja wanita letak jawatan setelah alami gangguan seksual; 25% tukar haluan kerjaya: Kajian AWARE

Ketika Sarah bekerja di sebuah firma khidmat kewangan, mengunjungi rumah seorang pelanggannya untuk membantu lelaki itu membuka sebuah akaun pada tahun lalu, dia dipaksa melakukan aksi seks. Selepas insiden itu, Sarah mendapat tahu dia dijangkiti penyakit kelamin daripada lelaki berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
50% pekerja wanita letak jawatan setelah alami gangguan seksual; 25% tukar haluan kerjaya: Kajian AWARE

(Gambar hiasan: iStockphoto)

Diterbitkan : 08 Dec 2021 10:31PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 10:32PM

SINGAPURA: Ketika Sarah bekerja di sebuah firma khidmat kewangan, mengunjungi rumah seorang pelanggannya untuk membantu lelaki itu membuka sebuah akaun pada tahun lalu, dia dipaksa melakukan aksi seks. Selepas insiden itu, Sarah mendapat tahu dia dijangkiti penyakit kelamin daripada lelaki berkenaan.

Bimbang akan keselamatan dirinya selepas lelaki itu meminta dia pergi semula ke rumahnya untuk mengadakan satu lagi mesyuarat, Sarah - bukan nama sebenar - membuat aduan polis. Ini menyebabkan pelaku itu mengancam untuk menyaman Sarah dan menggunakan pengaruhnya dalam syarikat itu untuk memastikan wanita tersebut dibuang kerja

“Dia berkata dia akan saman saya sehingga saya jatuh muflis dan dibuang kerja jika saya tidak tarik balik aduan polis itu," kata Sarah, yang berusia 30-an tahun.

“Tentunya saya berasa amat takut. Orang ini ada lebih banyak wang daripada saya dan saya perlukan pekerjaan saya."

Sarah, yang tidak menarik balik aduan polis tersebut dan masih bekerja di syarikat sama, adalah antara ramai wanita di Singapura yang mengalami gangguan kerjaya ekoran gangguan seksual di tempat krja. Demikian dapatan satu kajian oleh Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), sebuah pertubuhan yang memperjuangkan kesamarataan jantina.

Kajian kualitatif itu, dikeluarkan pada Rabu (8 Dis), meneliti kesan gangguan seumpama itu ke atas kaum wanita berdasarkan temu bual yang dijalankan pada 2019 dan 2020. Temu bual itu melibatkan 39 wanita yang bekerja di pelbagai industri di Singapura yang mengalami gangguan sepanjang lima tahun lalu.

Kajian tersebut mendapati gangguan seksual di tempat kerja membawa kesan berpanjangan kepada wanita-wanita itu. Lebih 50 peratus responden, atau 22 daripada 39 wanita, meletak jawatan selepas mengalami gangguan manakala 25 peratus mengubah laluan kerjaya mereka.

Dalam kalangan responden yang berhenti kerja, 15 berbuat demikian kerana gangguan seksual di tempat kerja manakala bakinya atas gabungan beberapa alasan termasuk gangguan.

Selain itu, dua responden dipecat akibat gangguan seksual.

AWARE menyatakan jenis gangguan meliputi secara lisan, iaitu sesuatu perkara paling biasa berlaku, hingga ke gangguan fizikal dan yang menggunakan wadah teknologi. Ia berlaku di pejabat, di luar pejabat seperti semasa melakukan lawatan perniagaan atau semasa acara di tempat kerja dan dalam talian.

Sebahagian besar pelaku melibatkan majikan atau anggota kakitangan kanan dalam dalam pertubuhan responden manakala yang lain merupakan rakan sekerja, pelanggan, pekerja bawahan, orang tidak dikenali atau pelajar.

Seramai 70 peratus responden baru bekerja kurang setahun di syarikat mereka apabila mereka mengalami gangguan di tempat kerja.

Kajian itu juga mendapati kesan jangka panjang lain termasuk daya penghasilan yang merosot, dialami oleh 90 peratus responden selepas menghadapi gangguan seksual di tempat kerja.

Tahap produktivit merosot itu berlarutan selama purata 2.8 bulan, dari waktu gangguan berlaku sehingga responden berhenti kerja atau meminta dipindahkan ke jabatan lain.

Kajian tersebut juga mendapati 21 responden - atau 54 peratus - melaporkan pendapatan mereka merosot disebabkan penggangguran atau mengambil pekerjaan yang bergaji lebih rendah selepas mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Cik Shailey Hingorani, Ketua Penasihat Gangguan dan Diskriminasi di Tempat Kerja AWARE, berkata mangsa gangguan seksual di tempat kerja meninggalkan pekerjaan mereka untuk menghentikan gangguan yang dihadapi selain kesan terhadap kesihatan mental mereka atau pengalaman negatif yang dilalui.

“Sebaliknya, jika mereka menerima sokongan daripada rakan-rakan sekerja, bantuan daripada pegawai sumber manusia (HR) yang terlatih dalam menguruskan aduan sensitif dan langkah perlindungan terhadap tindakan balas, mereka mungkin tidak perlu mengambil langkah mendadak seperti itu."

Kajian itu susulan satu tinjauan awal oleh AWARE dengan syarikat kajian pasaran, Ipsos, yang mendapati 70 peratus pekerja di Singapura yang mengalami gangguan seksual di tempat kerja dalam tempoh lima tahun lalu memilih untuk menutup mulut.

Dalam kalangan mereka yang melaporkan kes mereka, 20 peratus terpaksa menerima kenyataan bahawa si pelaku tidak berdepan sebarang akibat walaupun terdapat bukti mengenai gangguan itu.

Hanya 40 peratus mangsa yang melaporkan kes mereka menyaksikan si pelaku dipecat atau dipindahkan ke tugasan lain.

Sejajar dengan itu, kajian tersebut mendapati lebih separuh responden tidak memfailkan laporan rasmi tentang gangguan yang dialami mereka.

Daripada 17 responden yang berbuat demikian, lima berdepan tindakan balas daripada pertubuhan di mana mereka bekerja dengan atau dari pelaku, dalam bentuk laporan prestasi yang negatif, tidak diberi bonus dan malah, dipecat.

Cik Hingorani berkata meskipun kesan psikologi dan emosi yang terkait dengan gangguan seksual di tempat kerja agak diketahui, kesannya ke atas kerjaya serta kewangan mangsa sebelum ini tidak ditonjolkan di Singapura.

SARANAN AWARE

Untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja, AWARE menyarankan Pemerintah menggubal undang-undang untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja dan memberi mandat bahawa majikan mewujudkan dasar gangguan seksual yang jelas serta melaksanakan latihan sensitif jantina di tempat kerja.

AWARE juga mengesyorkan antara lain, langkah-langkah untuk menyediakan perlindungan kepada kedua-dua mangsa serta saksi kes gangguan seksual untuk mengurangkan kemungkinan berlaku tindakan balas di tempat kerja.

PEMERINTAH PERTIMBANG SARANAN

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) serta Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) menyatakan dalam kenyataan bersama bahawa Pemerintah secara kerap menyemak pendekatannya dalam menangani gangguan dan akan mempertimbangkan saranan-saranan yang dikemukakan dalam laporan AWARE itu.

“Pemerintah tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk gangguan di tempat kerja termasuk gangguan seksual di tempat kerja. Agensi-agensi kami bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kerja untuk menguruskan kes-kes seumpama itu dan menghulurkan sokongan kepada kakitangan terjejas," tambah kenyataan tersebut.

Agensi-agensi itu menambah TAFEP sudah berganding bahu dengan TAFEP sejak 2019 untuk merujukkan kes gangguan di tempat kerja kepada perikatan tersebut sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada individu yang terlibat.

Ia menyeru individu yang mengalami gangguan seksual di tempat kerja supaya mendapatkan bantuan daripada Pusat Sumber dan Bantuan Gangguan di Tempat Kerja TAFEP dengan menghubungi 6838 0969 atau memfailkan laporan di https://www.tal.sg/tafep/contact-us.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan