50 keluarga berpendapatan rendah terima rak dan buku percuma hasil sebuah projek gabungan pelbagai kumpulan masyarakat
Projek SemaRak Buku. Itulah nama projek terbaharu demi meningkatkan pencapaian keluarga Melayu/Islam, dengan mewujudkan sebuah perpustakaan kecil di rumah.
Ia dilancarkan pada Ahad (21 Sep) di Wisma Geylang Serai (WGS).
Projek SemaRak Buku hasil kerjasama Ombak Scripthouse dengan Alumni Sekolah Menengah Jin Tai.
Kaedahnya - untuk menggalak budaya membaca di kalangan keluarga berpendapatan rendah dan merupakan kegiatan penutup Pesta Buku Melayu di WGS.
ACARA PENUTUP PESTA BUKU 2025: PROJEK SEMARAK BUKU DILANCAR, BANTU 50 KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH
Sejak minggu lalu, 50 keluarga berpendapatan rendah sudahpun menerima dan mula memanfaatkan Projek SemaRak Buku, dengan penghantaran dibuat ke rumah untuk memasang rak di satu sudut kecil rumah mereka. Rak buku itu diberikan percuma beserta 18 buku yang didermakan atau dibeli pada potongan harga yang ditampung oleh penganjur dan penaja, penulis serta penerbit buku.
"Apabila mereka terima rak buku itu, anak-anak ini mereka terus buka dan lihat, baca buku-buku tersebut. Ada pula yang terus melukis, ada yang melukis yang daripada perkakas yang diberikan dan mereka gembira. Alhamdulillah. Ada pula yang tidak mahu terima rak buku. Hanya mahu buku-bukunya. Tetapi apabila sudah tenguk raknya, mereka mahu. Sebab ia kecil, jadi tidak makan ruang di rumah. Jadi Alhamdulillah," kongsi Pengerusi, Projek SemaRak Buku, Encik Iskandar Wachi.
"Projek SemaRak Buku ini kira bagus juga untuk saya, jadi budak-budak dapat membaca buku-buku sejarah ke apa kan? Untuk belakang hari mereka akan tahu apa sejarah Singapura dan apa sejarah Melayu. Jadi saya galakkan dia untuk membaca apa yang ada. Perlahan-lahan saya ajar dia membaca. Yang paling bagus adalah buku-buku agama pada saya, jadi dia faham tentang agamanya, bukan? Ada juga buku tentang pemakanan dalam Al-Quran. Jadi saya pun ikut sama belajar. Kadang-kadang pada malam hari sebelum tidur, saya bacakan dia supaya dia faham sedikit-sedikit kan?" kongsi Encik Rafi.
Ketua Keluarga penerima rak Projek SemaRak Buku itu berkongsi bahawa rak buku mereka dipasang di tembok yang ada di antara dua pintu di rumahnya, "Jadi senang dia keluar dia ambil buku. Kadang kala anak-anak saya duduk di lantai dan membaca. Kadang sambil tengok televisyen, mereka baca buku-buku itu," kongsi Encik Rafi.
Kerjasama yang melibatkan enam NGO itu seperti Tabung Pendidikan Harun Ghani, Projek Pensil SG, HUFI, Madrasah Masjid Mujahidin dan lain-lain lagi, mengundang pujian tetamu kehormat, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
"Saya rasa amat berbesar hati kerana ada banyak inisiatif sendiri seperti ini, yang menyatukan pelbagai rakan kongsi, pengkarya, penulis, guru dan keluarga juga untuk menyemarakkan lagi keprihatinan dalam menimba ilmu dan sekaligus mencetus rasa minat membaca dalam diri keluarga-keluarga kita," ujar Encik Zhulkarnain kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Encik Zhulkarnain memuji pendekatan yang menurutnya lebih unik lagi inovatif, "Kerana rak buku itu satu simbol gerbang pembuka ilmu. Pendekatan yang berbeza iaitu bukunya akan diubah setiap tiga bulan dan jangka masa projek sepanjang satu tahun, di mana anak-anak kita dapat membuat ulasan buku cerita yang telah dibaca dan ini juga memberikan satu semangat bagi mereka bahawa gerbang ilmu itu ada di mana-mana sahaja dan tertumpu pada rumah mereka.
Menurut Encik Iskandar Wachi, Projek SemaRak Buku perlu terus diperhalusi, "Sebab cabarannya, kita tidak tahu keluarga ini buku macam mana yang mereka inginkan. Jadi dalam tiga atau enam bulan ini, kita akan tanya mereka buku bagaimana yang anak-anak mereka mahukan. Jadi daripada situlah kita akan dapatkan daripada penerbit-penerbit buku kita," jelas Encik Iskandar.
Walaupun pihak penganjur tidak berkongsi langkah susulan setelah setahun Projek SemaRak Buku, namun mereka tidak menolak kemungkinan akan meneruskan dan meluaskan lagi projek yang jelas bermanfaat ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.