Skip to main content

Singapura

50 kanak-kanak di bawah Program Champs Projek Pensel terima baucar, potongan rambut percuma jelang buka sekolah

Sempena menyambut tahun baharu persekolahan, Projek Pensel Singapura menggembleng tenaga untuk membawa keceriaan kepada 50 kanak-kanak di bawah program Champs.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sempena menyambut tahun baharu persekolahan, Projek Pensel Singapura menggembleng tenaga untuk membawa keceriaan kepada 50 kanak-kanak di bawah program Champs.

Ini hasil kerjasama dengan NYO Studio dan Persatuan Pedagang Yishun (YCMA) dalam acara 'Back To School' pada Sabtu (21 Dis)

Program Champs yang dikelolakan Projek Pensel memberi sokongan kepada keluarga-keluarga kurang bernasib baik dengan memberikan kanak-kanak tuisyen percuma.

Sokongan akademik tersebut diadakan seminggu sekali dan dikelolakan oleh Yayasan Mendaki.

Program itu juga merangkumi pelbagai aktiviti sampingan misalnya kegiatan dan acara-acara sempena cuti sekolah, sambutan hari lahir, sambutan Hari Kanak-Kanak dan sebagainya.

"Kami sudah mengadakan program 'Back to School' ini selama empat tahun dan secara keseluruhannya, kita sudah membantu dalam 200 lebih kanak-kanak dan ia sangatlah manfaat bagi mereka untuk membuat persiapan sekolah seterusnya, " kata Pengasas Projek Pencil, Sarimah Amat.
Related article image
(Gambar: Projek Pensel)
TERIMA BAUCAR TAJAAN YCMA

Bagi persiapan sekolah, setiap kanak-kanak menerima baucar kedai buku 'Popular' bernilai S$100 bagi menampung keperluan persekolahan yang ditaja oleh YCMA.

"YCMA sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat, ramai antara kami yang bukan sekadar menjalankan perniagaan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan masyarakat," kata Naib Presiden YCMA, Terry Teo Peng Lee.

Tambah beliau YCMA juga dalam perancangan untuk membina rangkaian masyarakat dan rakan-rakan kongsi untuk memperkasa masyarakat yang kurang bernasib baik dan berharap lebih ramai daripada masyarakat dalam tampil ke hadapan untuk usaha murni ini.
Related article image
(Gambar: Projek Pensel)
KANAK-KANAK TERIMA POTONGAN RAMBUT PERCUMA

Selain menerima baucar bagi menampung keperluan persekolahan, kanak-kanak juga dapat bergaya dengan potongan rambut secara percuma untuk menyuntik semangat kembali ke sekolah.

Seramai lapan tukang gunting rambut dari NYO Studio turun padang untuk memberi 50 kanak-kanak 'wajah baharu' dan menyuntik keyakinan diri buat kanak-kanak tersebut.

"Dalam perniagaan kami, format kami adalah, kami selalu berfikir dalam rezeki kami, adalah rezeki orang lain, jadi ia sangat penting bagi kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Pengarah NYO Studio, Nur Aliff Azman.

Beliau juga berharap kanak-kanak yang menerima potongan rambut percuma itu dapat menghargai kepentingan untuk menjaga penampilan diri dengan baik buat masa hadapan mereka.

"Saya selalu percaya yang kami harus bermula dari usia muda. Jadi kalau dari kecil, kita sudah tanamkan kepentingan untuk menjaga penampilan diri dan kebersihan diri, ia akan dibawa sehingga ke dewasa. Jadi kami ingin kongsikan ini kepada mereka," tambah Encik Aliff.

Antara kanak-kanak yang berbesar hati menerima baucar dan potongan rambut percuma adalah pasangan adik-beradik, Muhd Aaryan Farrel dan Miara Ashika, 11 tahun.

"Saya bersyukur dapat gunting rambut secara percuma dan saya pun dah rasa bersedia untuk pergi ke sekolah balik," kata Aaryan.

Remaja 14 tahun, Siti Rahwani Buhari juga tidak sabar membeli barangan sekolah baharu dengan baucar yang diterima.

"Saya rasa amat gembira dan besar hati kerana dapat menerima barangan percuma dan potongan rambut hari ini. Saya lebih rasa tidak sabar untuk beli baju-baju, barang-barang dan buku-buku sekolah," ujarnya.

Ibunya, Halifa Hambali, 37 tahun, berkata inisiatif itu sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaannya.

"Projek Pensel meringankan beban menanggung anak-anak saya ke sekolah. Bukan murah barang-barang sekarang untuk membeli alat-alat tulis dan beg ke sekolah. Semua mahal. Anak-anak saya ramai dan saya pun kadang-kadang bekerja, kadang-kadang tidak kerana tahap kesihatan saya," kata Cik Halifa.

Cik Halifa dan penerima bantuan lain juga disantuni Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang hadir untuk memberikan sokongan.
Related article image
(Gambar: Projek Pensel)
CNB KONGSI TENTANG BAHAYA DADAH & VAPE DENGAN KANAK-KANAK

Istimewanya tahun ini juga, Biro Narkotik Pusat (CNB) turut menubuhkan sebuah reruai untuk berkongsi dan tingkatkan kesedaran tentang bahaya dadah.

Inisiatif itu bertujuan untuk memberikan maklumat kepada ibu bapa dan juga anak-anak mereka tentang bahaya dadah dan menghisap 'vape'.

"Kami sedar kanak-kanak ini apabila mereka melangkah ke peringkat yang lebih tinggi mereka akan berkawan dengan berbagai jenis kawan. Jadi, kita akan bekalkan mereka dengan ilmu-ilmu tentang ancaman dan bahayanya dadah ni dalam kehidupan kita.

"Jadi kanak-kanak boleh tahu bagaimana bentuk dadah bagaimana kawan-kawan boleh mempengaruhi mereka dengan mudah, jadi mereka sudah bersedia," kata Cik Sarimah.
Related article image
(Gambar: Projek Pensel)
Seterusnya, Projek Pensel akan bekerjasama pula dengan sebuah persatuan silat untuk memperkasa program pendamping sukan mereka bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.

"Pada tahun akan datang, kami akan bekerjasama dengan Perguruan Silat Grasio untuk tambah nilai program pendamping sukan kami supaya dengan adanya penglibatan pendamping sukan silat, kita dapat rekrut lebih ramai kanak-kanak menjadikan mereka generasi yang lebih aktif dan tahan lasak," kongsi Cik Sarimah.

Dengan peluasan ini, Projek Pensel berharap dapat membantu dan mendampingi lebih ramai kanak-kanak.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita