Skip to main content

Singapura

5 warga asing didakwa kerana guna taktik ditangkap untuk lanjutkan tempoh tinggal di SG

Lima warga China dipercayai cuba menyogok pegawai polis dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam usaha untuk melanjutkan tempoh tinggal mereka di Singapura, dengan harapan mereka ditangkap dan memperoleh Pas Khas.

Anggaran Waktu Membaca:
5 warga asing didakwa kerana guna taktik ditangkap untuk lanjutkan tempoh tinggal di SG

Seorang pegawai polis memberkas seorang suspek. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)

SINGAPURA: Lima warga China dipercayai cuba menyogok pegawai polis dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam usaha untuk melanjutkan tempoh tinggal mereka di Singapura, dengan harapan mereka ditangkap dan memperoleh Pas Khas.

Pas Khas dikeluarkan bagi warga asing yang sedang membantu dalam siasatan atau dikehendaki hadir di mahkamah.

Menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), lelaki-lelaki tersebut dipercayai mahu menjual ubat perangsang seks haram semasa dalam tempoh ikat jamin.

“Siasatan CPIB turut mendedahkan bahawa mereka juga telah membayar penjamin masing-masing untuk memudahkan proses ikat jamin dan lanjutan ikat jamin berikutnya,” menurut CPIB.

Ia juga menambah bahawa siasatan terhadap skim tersebut masih dijalankan.

Xiao Xiezhi, Xu Zhishen, Xu Bixin, Huang Chuangshun dan Lin Liangjun didakwa pada Jumaat (18 Jul) atas kesalahan rasuah.

Kesemua mereka tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

CUBAAN RASUAH

Kelima-lima lelaki itu dipercayai cuba menyogok pegawai polis dan NEA secara berasingan antara Januari dan Jun.

Pada Januari, Xiao didakwa menawarkan S$400 kepada tiga pegawai penguat kuasa NEA selepas lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap kerana merokok di perhentian bas, iaitu kawasan yang melarang seseorang daripada merokok.

Xu Zhishen, 37 tahun, dipercayai menawarkan S$119 kepada setiap seorang daripada dua pegawai polis pada April supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya dan membenarkannya untuk meninggalkan lokasi kejadian.

CPIB tidak menyatakan mengapa tindakan diambil terhadap warga China itu.

Pada bulan berikutnya, Xu Bixin, 31 tahun, dipercayai menawarkan S$70 kepada seorang pegawai polis agar tidak menjalankan pemeriksaan identiti terhadapnya.

Huang, 40 tahun, dipercayai menawarkan S$100 kepada dua pegawai NEA pada Jun selepas ditangkap merokok di kawasan larangan di Orchard.

Dalam bulan yang sama, Lin, 32 tahun, dipercayai menawarkan S$160 kepada empat pegawai polis dan meminta agar mereka tidak terus menyoal tentang identitinya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kesemua pegawai polis dan NEA itu menolak sogokan yang ditawarkan.

“Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah,” kata CPIB.

Sesiapa yang sabit kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita