Skip to main content

Singapura

5 Tahun M³: Rangkaian perhebat sinergi kerjasama antara MUIS, MENDAKI & MESRA

Sepanjang lima tahun ditubuhkan, rangkaian M³ telah mewujudkan sinergi yang lebih baik antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Persatuan Rakyat (PA) MESRA untuk mereka bekerjasama dalam usaha-usaha membantu masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang lima tahun ditubuhkan, rangkaian M³ telah mewujudkan sinergi yang lebih baik antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Persatuan Rakyat (PA) MESRA untuk mereka bekerjasama dalam usaha-usaha membantu masyarakat.

Dalam sidang media yang diadakan bagi berkongsi kemas kini program-program M³ yang diterajui MUIS dalam tempoh 5 tahun yang lalu, Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata rangkaian itu juga telah menangani beberapa aspek masyarakat.

"Apabila saya ambil alih portfolio bagi Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, bersama pasukan saya, lagi lima penjawat politik, kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza, dengan cara yang berbeza dan juga menangani kedua-dua isu yang masih perlu diselesaikan serta mengenal pasti isu baharu yang mesti kami lihat ke hadapan dan menghalangnya daripada berlaku. Saya akan katakan bahawa kami telah membina inisiatif ini di atas asas yang baik," kata Encik Masagos Zulkifli.



Antara lain, Encik Masagos turut berkongsi tentang pemikiran serta objektif di sebalik penubuhan M³.

Selain berkongsi aset-aset yang sedia ada, M³ juga ditubuhkan bagi meluaskan jangkauan bantuan yang dapat dihulurkan kepada penerima bantuan setiap pertubuhan.

"Banyak program sudah dilakarkan di agensi-agensi pemerintah tetapi ramai masyarakat Melayu yang tidak dapat manfaat darinya kerana tidak memasuki ataupun menghadirkan diri mereka dalam program-program tersebut. Oleh itu, kita telah membuatkan satu wadah di mana institusi-institusi M³ iaitu MUIS, MENDAKI dan MESRA dapat bekerjasama dan saling bertukar data, menyalurkan klien-klien mereka kepada satu sama lain supaya program-program yang mereka perlukan itu juga dapat sampai pada matlamatnya," tambahnya.

11 M³@BANDAR DITUBUHKAN DALAM 5 TAHUN

Selain itu, rangkaian tersebut juga memberikan wadah bagi golongan karyawan dan relawan untuk lebih mendekati dan mendampingi masyarakat.

Inisiatif M³@Bandar misalnya membolehkan mereka untuk mengolah program-program berunsur kemasyarakatan dan kesihatan misalnya, yang dapat dimanfaatkan semua lapisan penduduk.

Sejauh ini, ia sudahpun diluaskan ke 11 kawasan di merata negara termasuk Jurong, Woodlands dan Bedok.

"Para karyawan ini, bersama-sama dengan institusi, MENDAKI, MUIS dan MESRA, bekerja di lapangan, menangani isu-isu ini. Salah satu hasil daripada ini, salah satu proses, proses baharu, mereka telah masukkan adalah program bernama Projek Dian. Untuk menangani khususnya orang Melayu Islam yang tinggal di rumah sewa, untuk memastikan bahawa mereka tidak terjerat di dalam rumah sewa dan untuk mengeluarkan mereka dari rumah sewa untuk memiliki rumah dan mendapat hasil yang lebih baik daripada kehidupan mereka," jelas Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Sejak ditubuhkan pada 2018, M³ juga sudah memperluas bidang tumpuannya (FA) kepada lima aspek masyarakat.

FA 1: Sokongan Buat Perkahwinan, Keibubapaan dan Pembangunan Awal Kanak-kanak
FA 2: Sokongan bagi Individu Rentan dan Keluarga Mereka
FA 3: Memperkasa dan Pementoran Belia
FA 4: Daya Kerja dan Pekerjaan
FA 5: Masyarakat Lebih Sihat untuk Semua

Menurut Encik Masagos, pencapaian baik yang diperoleh itu juga disebabkan usaha untuk mengenal pasti dahulu isu-isu yang membelenggu masyarakat dan seterusnya mencari penyelesaian.

"Inilah aspek M³, dan untuk menghimpunkan institusi M³ serta para sukarelawan dan orang ramai tampil ke hadapan, kami mengemukakan kepada mereka apa yang kami panggil visi masyarakat gemilang," ujarnya.

HUBUNGAN KUKUH BERSAMA MMO BANTU DALAM PENYESUAIAN SEMASA PANDEMIK

Dua tahun selepas M³ ditubuhkan, dunia dilanda pandemik COVID-19 pada 2020.

Meskipun beberapa programnya terpaksa disesuaikan bagi wadah online, Encik Masagos berkata hubungan kukuh yang sudahpun terjalin menerusi rangkaian M³, membolehkan pelaksanaannya dilakukan dengan lancar dan teratur.

"Kita lihat melalui COVID-19 itulah, kita melihat kekuatan-kekuatan agensi-agensi masing-masing, jangkauan mereka dan kemahiran-kemahiran yang ada, yang kita boleh rumpunkan, kita boleh kumpulkan, menjadi satu wadah yang lebih kuat melalui kerjasama yang lebih formal melalui M³," tambahnya.


(Facebook\Dr Muhammad Faishal Ibrahim)

Dalam pada itu, Encik Masagos turut menzahirkan penghargaannya kepada semua yang telah memperkasakan masyarakat Melayu/Islam setempat.

"Walaupun kita masyarakat minoriti, menjadi masyarakat yang boleh menjadi masyarakat model kepada masyarakat minoriti Muslim yang lain di merata dunia. Bagaimanakah kita dapat menjalankan tanggungjawab Islam dalam negara atau masyarakat yang terbuka yang sekular yang pelbagai dan tidak merasakan kejanggalan menjalankan tanggungjawab kita sebagai orang Islam.

"Malah, saya pernah dengar seorang profesor dari Jordan menyatakan bahawa beliau merasa takjub, merasa hairan bagaimana masyarakat Muslim Singapura walaupun masyarakat yang minoriti begitu merupakan masyarakat Muslim yang patuh pada agama dan dapat menyesuaikan praktik-praktik agama mereka tanpa merasakan mereka tertekan. Tanpa merasakan mereka ditindas, malah mereka banyak memberi sumbangan yang bermakna dalam pembangunan negara," kata Encik Masagos.

KEJAYAAN PROGRAM BERSAMAMU DAN FITRAH

Dalam sidang media yang diadakan di Akademi MUIS, Encik Masagos turut berkongsi lebih banyak perkembangan tentang usaha-usaha M³ yang diterajui oleh MUIS.

Secara dasarnya, MUIS menerajui usaha-usaha berkaitan pembangunan keperibadian iaitu antara '3K - Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan' bagi mencapai visi Masyarakat Gemilang.

Antara usaha itu termasuk menyediakan sokongan kepada perkahwinan orang Islam, keibubapaan dan pendidikan awal serta menyokong golongan berkeperluan termasuk bekas pesalah dan keluarga mereka.

Menerusi rangkaian M³, program Bersamamu dilancarkan pada 2019 bagi menyokong dan membina asas rumahtangga yang kukuh.

Program yang diusahakan bersama Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) itu sudah disertai hampir 30,000 pasangan yang dalam fasa dua tahun pertama perkahwinan mereka.

Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang turut memimpin usaha di bawah bidang tumpuan itu berkata, "Maklum balas yang kami terima sangat positif. Kami bukan sahaja menerima daripada pasangan tetapi kami juga menerima daripada keluarga, ibu bapa mereka. Mereka berasa gembira kerana anak-anak mereka, yang bakal berkahwin mendapat tunjuk ajar daripada para asatizah kami dan mereka rasa itu bagus, mereka tahu mengapa mereka berkahwin, apakah pertimbangan yang perlu mereka lihat, serta bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan," kata Dr Faishal yang juga Menteri Ehwal dalam Negeri.

Menerusi acara-acara sampingan yang dianjurkan seperti Forum Bersamamu@The Heartlands serta Projek ARIF Yayasan Temasek misalnya, kerjasama itu turut diluaskan kepada agensi-agensi lain seperti Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Di bawah FA2 pula, MUIS telah melakarkan program FITRAH yang dilancarkan pada 2018.

Ia bertujuan memberi sokongan kerohanian dan sosial kepada golongan bekas pesalah serta keluarga mereka.

Dengan sokongan masjid, program-programnya juga dapat dijalankan di 29 masjid di merata negara.

Melalui kerjasama dengan rakan-rakan masyarakat melalui Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) termasuk Rumah Peralihan Jamiyah dan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA) program bimbingannya dapat dijalankan bukan sahaja semasa dalam tahanan, malah selepas bekas pesalah dibebaskan.

"Dengan pembentukan rangkaian MMO, banyak organisasi ini mula mengetahui apa yang orang lain lakukan. Kemudian pada tahun ini, kita melihat ramai lagi bekerjasama supaya mereka boleh merujuk kes antara satu sama lain, di samping sokongan yang diberikan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura, oleh agensi lain dan kami sedar bahawa dengan ini, mereka mahu melakukan lebih banyak lagi," ujar Dr Faishal.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menerusi kedua-dua inisiatif Bersamamu dan FITRAH juga, golongan asatizah dapat memainkan peranan yang lebih besar dan dilengkapi dengan kemahiran yang membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat.

ICCOS KEMBALI DIADAKAN 14-15 OKT

Dalam memahami peranan asatizah yang diperluas dan usaha membentuk keperibadian masyarakat Islam setempat, MUIS juga telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada 2022.

Ketika itu, ia menghimpunkan para cendekiawan dari merata dunia untuk membincangkan pengamalan Islam dalam konteks negara minoriti seperti Singapura.

Untuk edisi kedua ICCOS yang bakal diadakan pada Isnin dan Selasa (14 dan 15 Okt) ini pula, ia akan menumpukan kepada peranan pemimpin masyarakat masa kini dan masa hadapan dalam membina masyarakat gemilang.

Selain pemimpin masyarakat tempatan, ianya juga akan menampilkan para pemimpin antarabangsa dari Belanda, Filipina dan Thailand.

Pendaftaran bagi acara dua hari itu sudah penuh.

(Gambar: MUIS)

Menjelaskan lebih lanjut tentang ICCOS 2024, Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen berkata: "Ideanya ialah bagaimana pemimpin masyarakat kita membangun dan mewakili masyarakat dengan yakin dan kerana ini, kepercayaan persidangan itu sendiri bercakap tentang membina kepercayaan, memperkasakan masyarakat."

Pada hari pertama ICCOS 2024, MUIS juga akan menyampaikan Anugerah Muis bagi mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh cemerlang masyarakat.

Majlis tersebut akan diserikan dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam selaku tetamu terhormat.

Pencapaian dan kemas kini program-program M³ di bawah Yayasan MENDAKI dan MESRA pula akan dikongsikan dalam minggu-minggu mendatang.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita