5 TAHUN M³: Program kesihatan M³ dapat sambutan; mahu semak & nilai keberkesanannya
SINGAPURA: M³ akan bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk menyemak dan menilai keberkesanan program-programnya di bawah Bidang Tumpuan Kelima (FA5) rangkaian itu.
Ini akan dilakukan dengan mekanisme pemantauan dan pengumpulan data yang lebih baik.
Hal itu didedahkan Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam yang menerajui FA5, dalam satu sidang media bagi berkongsi kemas kini tentang kemajuan dan perkembangan FA5 sempena ulang tahun kelima M³.
Antara dua program utama di bawah bidang tumpuan tersebut ialah Rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) dan Saham Kesihatan.
Dua program itu menjurus kepada usaha menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
"Kita sedang mengesan penyertaan dan pengambilan bagi program kita dan saya rasa korelasinya ialah jika lebih ramai yang menyertai program ini, mereka akan jadi lebih arif dan lebih tahu. Dan harapannya ialah ini akan membawa kepada hasil yang lebih baik untuk kesihatan.
Menerusi program Saham Kesihatan sebenarnya, kami sedang cuba untuk mengumpul data kerana program Saham Kesihatan ini di mana ia terdapat penilaian asas pada mulanya jadi selepas program selama 12 minggu yang disyorkan itu, anda akan melakukan pemeriksaan semula terhadap beberapa indikator asas. Di sini, kami juga mengesan keputusan untuk melihat sama ada terdapat perubahan," kata Cik Rahayu.
Melangkah ke hadapan, M³ diharap dapat terus berkembang dengan memperkukuh kerjasama sedia ada serta rangkaian baharu di dalam dan luar masyarakat Melayu/Islam.
Rakan kerja juga kata Cik Rahayu boleh memanfaatkan sumber dan kepakaran itu untuk menyokong inisiatif FA5 dengan lebih kukuh lagi.
"Kami akan menggunakan mekanisme yang sama dalam menggerakkannya ke hadapan kerana terdapat banyak fleksibiliti. Kami ingin mengembangkan lagi dan mempunyai lebih ramai rakan kerja masyarakat dalam (usaha) ini, tetapi juga untuk mempunyai struktur agar kami dapat mengukurnya," kata Cik Rahayu.
"Buat masa ini, kami sedang melihat penyertaan dan penyebaran maklumat. Jadi harapannya dengan itu, ada momentum dalam masyarakat dan budaya mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat," tambahnya.
JUMLAH RAKAN KERJA, PESERTA JKJU MENINGKAT
Cik Rahayu turut gembira program-program itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat.
Bagi Rangkaian JKJU misalnya, dalam tempoh tujuh tahun sejak ia ditubuhkan, ia sudah berkembang dan kini melibatkan 100 rakan kerja masyarakat.
"Kita telah melihat perkembangan rangkaian JKJU daripada awalnya bermula hanya dengan lima masjid, kita telah lihat dalam 100 rakan kerja dalam rangkaian ini yang telah menjayakan pelbagai program dan buat masa ini kita telah lihat dalam 5,000 daripada mereka yang telah terlibat dalam acara-acara yang telah dilakukan oleh Rangkaian JKJU," menurut Cik Rahayu, yang juga Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Ini termasuk penglibatan sukarelawan dan kakitangan daripada M³@Bandar, MUIS, MENDAKI, MAEC, masjid-masjid, badan-badan Melayu/Islam, Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), institusi penjagaan kesihatan serta pertubuhan pemerintah dan perkhidmatan sosial.
Menurut Cik Rahayu, ini merupakan satu "perkembangan yang sihat" dan mencerminkan usaha sepanjang tahun dalam membawa bersama pelbagai rakan kerja untuk menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti.
Sehingga September 2024, 5,000 penduduk Melayu/Islam sudah meraih manfaat daripada usaha tersebut dengan menyertai kegiatan seperti sesi senaman mingguan dan ceramah kesihatan anjuran rakan kerja JKJU.
JUMLAH PESERTA SAHAM KESIHATAN NAIK 60% DALAM MASA SETAHUN
Bagi Saham Kesihatan pula, kesemua 11 M³@Bandar dan pertubuhan Melayu/Islam termasuk MUIS dan MENDAKI turut aktif menyumbang kepada program masyarakat itu.
Dengan sokongan tersebut, jumlah peserta program itu meningkat sebanyak 60 peratus dalam masa setahun.
"Sejauh ini, 11 Bandar M³ telah pun mendukung usaha ini, di mana MENDAKI dan MUIS juga telah pun adakan program mereka sendiri dan menggunakan templat Saham Kesihatan ini untuk mengadakan program-program mereka. Kita juga melihat 25 kumpulan berkepentingan daripada masyarakat yang juga melibatkan diri dalam acara-acara ini. Jadi, kita akan teruskan usaha untuk mempertingkatkan lagi jumlah peserta," jelas Cik Rahayu.
"Sejauh ini, kita lihat dalam 800 peserta yang telah melibatkan diri dalam acara Saham Kesihatan. Kita mahu lihat bagaimana kita dapat menggunakan templat ini untuk menjangkau dengan lebih banyak lagi kepada golongan masyarakat. Tentu sekali, ini kita perlukan usaha sukarelawan dan juga badan-badan dalam masyarakat seperti badan-badan Melayu/Islam dan juga masjid-masjid dan sebagainya. Ini adalah antara usaha kita untuk membawa masyarakat bersama dalam mendukung usaha ini bagi melihatkan peningkatan kesihatan dalam masyarakat kita," tambahnya.
Dalam pada itu, musim perayaan seperti Ramadan dan Hari Raya juga dimanfaatkan untuk galak pemakanan yang sihat menerusi pengagihan barangan runcit yang sihat.
Jumlah rakan kerja juga meningkat enam kali ganda.
"Tahun ini, kita ada 65 rakan kerja (JKJU) yang sudah mengagihkan kepada lebih 10,000 keluarga berbanding 11 rakan kerja yang ada semasa kita baru bermula pada 2021 dan diberikan kepada 5,000 keluarga. Jadi ia sudah tumbuh seganda dan jumlah rakan kerja ini juga mencerminkan sukarelawan masyarakat yang terlibat," ujar Cik Rahayu.
PROGRAM PERSIAPAN FIZIKAL BAKAL JEMAAH HAJI DAPAT SAMBUTAN
Di samping itu, kesihatan bakal jemaah haji juga menjadi tumpuan di bawah FA5.
Bagi program tahunan pada musim haji iaitu ‘Get Fit For Haj’ pula, Cik Rahayu berkongsi bahawa 8 GSA sudah menganjurkan 40 ceramah kesihatan dan sesi senaman untuk jemaah Haji tahun ini.
Ini adalah peningkatan hampir tiga kali ganda daripada 14 ceramah kesihatan dan sesi senaman yang dianjurkan pada tahun sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.