5 Tahun M³: Lebih 400,000 individu raih manfaat untuk tingkatkan kemahiran

SINGAPURA: Lebih 400,000 ibu bapa, kanak-kanak, belia dan golongan pencari kerja, telah meraih manfaat daripada program-program MENDAKI menerusi rangkaian M³ sejak lima tahun yang lalu.
Perangkaan itu dikongsikan Naib Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad dan Datuk Bandar Daerah Tenggara, Encik Fahmi Aliman semasa mempengerusikan sidang media bagi kemas kini lima tahun M³.
Encik Zaqy juga berkongsi bahawa menerusi program-program seperti KelasMateMatika (KMM), Pejabat Pementoran Belia (YMO) , Women at Work (W@W), Tunas Bersama M³ dan Program Pejabat Penilaian, lebih 38,000 individu telah meningkatkan kemahiran sejak 2019.
(Gambar: Yayasan Mendaki)
Sebelum ini, Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkongsi pencapaian dan kemas kini program-program M³ di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
SASARKAN BANTU 3,000 KANAK-KANAK SETIAP TAHUN
Antara inisiatif terawal rangkaian M³ apabila ia ditubuhkan pada 2018 adalah mengembangkan program KelasMateMatika (KMM) yang diterajui MENDAKI.
Program itu di bawah bidang tumpuan FA1 M³ iaitu Sokongan Buat Perkahwinan, Keibubapaan dan Pembangunan Awal Kanak-kanak.
(Gambar: Yayasan Mendaki)
Menurut Encik Zaqy, kejayaan KMM bukan sahaja terletak kepada keberkesanannya tetapi juga kebolehan untuk mengembangkan program itu kepada skala yang lebih besar.
Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, berkata: "Kita mahu populasi lebih besar. Hampir 7,000 kanak-kanak kita memasuki Darjah 1 setiap tahun, kita mahu hampir setengah daripada mereka untuk meraih manfaat KMM agar dapat meningkatkan lagi prestasi mereka. Apa yang kita mahu juga adalah untuk memberikan ibu bapa rasa yakin untuk mendorong anak mereka untuk mendapat prestasi daripada program ini."
Menerusi sinergi yang kukuh bersama MUIS dan MESRA, program KMM juga dapat diadakan di lebih banyak tempat bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak memanfaatkan program itu.
Bermula dengan kohort kanak-kanak yang akan masuk Darjah 1 tahun hadapan, M³ menyasarkan untuk bantu sekitar 3,000 kanak-kanak setiap tahun.
Jumlah itu kira-kira sepuluh kali ganda berbanding peserta program tersebut lima tahun dahulu.
"Kita juga telah mengembangkan program KMM ke prasekolah di masjid, badan-badan Melayu seperti PPIS, Syarikat Guru Melayu Singapura (SGM). Kita mendapat lebih ramai anak Melayu yang memerlukan program tersebut di sana. Ini membawa program KMM lebih dekat kepada mereka. Ibu bapa juga tidak perlu melakukan program itu di kelab masyarakat jadi ia lebih mudah."
"Kita juga mengembangkan program ini kepada masyarakat India/Islam seperti di Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA). Mereka menyesuaikan program ini untuk dihasilkan dalam bahasa Tamil di mana mereka menggunakan ciri KMM tetapi membawa nuansa kepada masyarakat India Muslim. Ini juga agar kita dapat terus menolong masyarakat yang memerlukan," ujar Encik Zaqy.
Penyertaan ibu bapa dan kanak-kanak di bawah program KMM kini sudah meningkat berlipat kali ganda sejak ia dimulakan.
Sejak 2019, lebih 10,000 ibu bapa dan kanak kanak telah memanfaatkan program KMM.
Encik Zaqy berkata: "Daripada kajian yang dijalankan MENDAKI, 8 daripada 10 kanak-kanak menyertai KMM daripada prasekolah yang tidak perlukan Program Sokongan Matematik (LSM) di Darjah 1. Kajian Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pula menunjukkan mereka yang tidak perlukan LSM boleh meraih keputusan lebih baik dalam PSLE Matematik. Lantaran itu, KMM adalah penting untuk menyokong ibu bapa dan kanak-kanak supaya mereka boleh meningkatkan prestasi di bangku sekolah."
Selain ke pusat KMM, program itu juga boleh disertai secara online bagi membolehkan ibu bapa yang ada halangan untuk hadir ke pusat KMM, atas sebab-sebab seperti perlu menjaga anggota keluarga sakit atau anak kecil, untuk terus meraih manfaat daripada program tersebut.
PERKASA GOLONGAN BELIA MENERUSI PEMENTORAN
Bagi golongan belia pula, Pejabat Pementoran Belia (YMO) telah ditubuhkan di bawah bidang tumpuan ketiga FA3: Memperkasa dan Pementoran Belia.
Ia menerajui usaha-usaha pementoran di dalam masyarakat Melayu/Islam dan bertujuan untuk membangunkan sebuah ekosistem untuk para belia dapat terus menyumbang.
(Gambar: Yayasan Mendaki)
Setakat ini, YMO telah melatih dan mengerahkan lebih 1,600 mentor untuk dipadankan dengan lebih 5,700 menti sejak 2019 menerusi program-program pementoran.
Sejak dimulakan, YMO telah memperkenalkan beberapa jenis program pementoran seperti #amPowered@MTS untuk para pelajar Menengah 3, 4 dan 5 dalam program Tuisyen MENDAKI serta program MARA Mentoring untuk golongan mahasiswa.
Menerusi rangkaian M³, YMO juga telah menubuhkan sekurang-kurangnya satu program pementoran di setiap M³@Bandar bagi memperluaskan usaha mendampingi golongan belia.
Program #amPowered@M³ Bandar diadakan di M³@Jurong, M³@Marsiling Yew Tee dan M³@Pasir Ris Punggol manakala program Masyarakat PEER pula diadakan di M³@Woodlands dan M³@Tampines.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.