5 TAHUN M³: Jumlah program di M³@Bandar naik hampir lima kali ganda, sokong lebih ramai masyarakat Melayu/Islam
SINGAPURA: Jumlah program M³@Bandar sudah meningkat hampir lima kali ganda dalam tempoh lima tahun.
Ia sudah menganjurkan 323 program yang menjangkau lebih 127,000 penduduk.
Ini berbanding hanya 77 program yang disertai 33,000 penduduk lima tahun lalu.
Perangkaan itu dikongsikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman di sidang media sempena ulang tahun kelima M³.
PERTIMBANGKAN BANGUNKAN M³@BANDAR DI KAWASAN BAHARU
Sejak ditubuhkan pada 2018, pelbagai program sudah dilakarkan 11 M³@Bandar untuk menyokong lima bidang tumpuan rangkaian tersebut.
Memandang ke hadapan, Dr Maliki berkata M³ akan terus memantau keperluan masyarakat bagi meluaskan jangkauan.
Rangkaian itu juga akan mempertimbangkan sama ada untuk menubuhkan M³@Bandar di kawasan baharu.
"Kita akan melihat di bandar-bandar yang mungkin belum ada M³, apakah terdapat isu-isu para penduduk Melayu/Islam di sana yang masih diperlukan. Pada hari ini, walaupun kita tidak mempunyai M³ di sana, tetapi mereka digandingkan dengan M³ yang ada. Jadi misalnya, kita tidak ada M³ di Ang Mo Kio namun isu-isu keluarga Melayu di Ang Mo Kio digandingkan dengan M³ di Toa Payoh besar yang berdekatan,
"Tidak bermakna bahawa tidak ada M³ di bandar tersebut, para penduduk di sana tidak diberi perhatian. Jadi kita akan memantau sama ada perlu untuk kita menubuhkan M³ ke-12 ataupun ke-13 di bandar-bandar yang baharu kerana ada juga bandar-bandar baharu yang sudah mula wujud dengan adanya BTO baharu di bandar-bandar ini," tambahnya.
JUMLAH SUKARELAWAN NAIK LEBIH 5 KALI GANDA
Dr Maliki juga turut memberi kemas kini tentang Rangka Kerja Pembinaan Keupayaan Sukarelawan.
Bermula dengan hanya 150 orang, M³@Bandar kini disokong oleh lebih 850 sukarelawan.
Buat masa ini, 79 peratus daripada mereka sudahpun mengikuti latihan manakala lagi 21 peratus pula akan dilatih tahun ini.
"Kami melatih mereka, walaupun mereka profesional, kami melatih mereka untuk memahami isu masyarakat dan bagaimana untuk mendekati anggota masyarakat," kongsi Dr Maliki.
Bagi menambah jumlah sukarelawan untuk menyokong program-program M³, rangkaian itu akan memperkenalkan usaha baharu iaitu Sukarelawan Pertubuhan (OV).
Menerusi OV, pertubuhan atau syarikat boleh menjadi rakan kerja M³ untuk memenuhi objektif tanggungjawab masyarakat mereka.
Dalam peringkat permulaan, M³ sudah bekerjasama dengan Hospital Besar Changi, Public Service for Good dan Khidmat Kewangan, TAQWA bagi tujuan tersebut.
"Kita juga sudah mula mengadakan perhubungan dan perbincangan dengan Kesatuan Sekerja untuk melihat bagaimana kita boleh berganding bahu dengan Kesatuan Sekerja dengan para kesatuan untuk memberi peluang kepada para pekerja di tahap-tahap yang berbeza untuk tampil ke hadapan dan memberi sokongan mereka kepada projek di bawah naungan M³," menurut Dr Maliki.
"Apa yang kita ingin lakukan ialah terus mendekati pertubuhan swasta, pertubuhan Kesatuan Sekerja bukan sahaja pertubuhan Melayu/Islam kerana kalau kita tahu bahawa dalam aspek kerja M³ bukan sahaja visi kami untuk memajukan masyarakat kita tetapi juga untuk mendekatkan masyarakat kita dengan masyarakat bukan Melayu, dengan mereka yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat Melayu juga, supaya mereka dapat memahami masyarakat kita dan hubungan antara kaum terus rapat lagi," tambah beliau.
PROJEK DIAN@M³ SUDAH DEKATI 535 ISI RUMAH MELAYU/ISLAM
Kerjasama itu juga antaranya melibatkan kolaborasi dengan pertubuhan yang akan mengenal pasti para kakitangan yang berminat untuk menggalas tugas sukarelawan seperti di bawah Projek Dian@M³.
Dengan jumlah sukarelawan yang kini bertambah, projek itu juga dapat dikembangkan.
Setakat Jun lalu, Projek Dian@M³ sudah mendekati lebih 535 isi rumah Melayu/Islam di enam M³@Bandar.
Tahun lalu, projek itu diperluaskan ke tiga lagi kawasan iaitu di Chua Chua Kang, Jurong dan Tampines.
Pada suku keempat tahun lalu juga, Projek Dian@M³ sudah mula mendampingi keluarga-keluarga Melayu/Islam di enam blok baharu flat sewa.
67 peratus daripada mereka sudah pun didampingi para sukarelawan.
Secara keseluruhannya pula, 65 peratus keluarga yang dibantu di bawah Projek Dian@M³ sudah mendapat bantuan yang diperlukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.