Skip to main content

Singapura

5 Tahun M³: Jumlah peserta Tunas Bersama M³ naik hampir 80%; FA4 galak pencari kerja sertai sektor berkembang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai pemimpin belia Melayu/Islam dapat meraih manfaat daripada program Tunas Bersama M³.

Jumlah peserta dalam kohort kedua program itu meningkat hampir 80 peratus berbanding kohort pertama.

Kohort kedua merangkumi 23 individu yang telah memulakan program itu sejak Jun tahun ini.

Demikian antara kemas kini bagi program tersebut yang dikongsikan di sidang media lima tahun M³ bagi program-program yang diterajui MENDAKI.

Naib Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia berkata: "Kohort kedua ini, lebih ramai daripada mereka yang datang daripada rangkaian profesional kami dan M³@Bandar. Kita berharap mereka dapat mendorong masyarakat dan memainkan peranan lebih mendalam lagi."

'

(Gambar: Yayasan Mendaki)

Para peserta dalam kohort kedua Tunas Bersama M³ adalah:

1. Naib Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Nur Khairah Abdul Rahim

2. Presiden Perdaus, Muhammad Hafiz Noorahman

3. Naib Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat

4. Mantan Naib Presiden Terkini Kelab MENDAKI, Nadia Yeo

5. Timbalan Setiausaha Agong Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), Nur Hazimah Abdul Halim

6. Naib Presiden IM.PROF, Dr Raj Kamal S/O Abdul Rasheed

7. Setiausaha Kehormat PERGAS, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid

8. Timbalan Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Syed Faisal Syed Ismail

9. Pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Azuan Tan

10. Pengarah Eksekutif 4PM, Didicazli Cindy Ismail

11. Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid di Masjid Hang Jebat, Sugyanto Suryono

12. Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid di Masjid Omar Kampong Melaka, Syed Abdullah Aljunied

13. Bendahari Kehormat Dewan perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Shamir Wahid

14. Ketua Sumber Manusia Rangkaian Karyawan MENDAKI, Khairilanwar Baharudin

15. Ketua Sektor Awam Rangkaian MENDAKI, COL Muhammad Helmi Khaswan

16. Penolong Ketua Sektor Awam Rangkaian Karyawan MENDAKI, Faridah Mohd Saad

17. Ketua Perundangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Ahmad Firdaus Daud

18. Penolong Ketua Perundangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Imran Rahim

19. Penolong Ketua Teknologi Karyawan Rangkaian MENDAKI, Satria Sadon

20. Penolong Ketua Sains Hayat Rangkaian Karyawan MENDAKI, Dr Erlyani Abdul Hamid

21. Penolong Ketua Kejuruteraan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Firdaus Hamzah

22. Penolong Ketua Perbankan dan Kewangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, Asyraf Salman

23. Penolong Ketua Pendidikan Awal Kanak-kanak Rangkaian Karyawan MENDAKI, Noretta Jacob

Sama seperti kumpulan perintisnya, kumpulan kedua bagi program itu juga akan menjalani latihan selama 18 bulan.

"Latihan selama 18 bulan yang dilalui mereka adalah latihan eksekutif yang merupakan pelaburan yang berat. Banyak MMO juga mungkin tidak akan dapat membiayai latihan sebegitu untuk para pemimpin mereka. Jadi inilah satu cara MENDAKI cuba membantu MMO kita untuk mempertingkatkan tenaga kerjanya agar mempunyai keyakinan untuk memimpin pertubuhan masing-masing," kongsi Encik Zaqy.

Kumpulan perintis seramai 13 peserta Tunas Bersama M³ antara lain sudah menerajui tujuh projek kemasyarakatan yang sejajar dengan bidang tumpuan M³ sejak tamat program tersebut.

Memandang ke hadapan, Encik Zaqy mendedahkan bahawa program Tunas Bersama M³ perlu diteruskan meskipun ada cabaran-cabaran tersendiri.

Beliau berkata: "Isunya bukan tentang sumber, kerana lama kelamaan, kita akan tahu bagaimana untuk membangunkan bakat dalam masyarakat kita tetapi siapa yang kita ingin sertakan dalam setiap kohort? Kalau kali ini saya hanya memfokuskan kepada MMO, kita akan kehabisan peserta dalam program ini. Kita tidak boleh menukar Presiden sesuatu pertubuhan itu setiap tahun."

"Program ini perlu memperkukuhkan kepimpinan dengan memberikan mereka akses kepada pendedahan di pelbagai syarikat. Kalau di peringkat rangkaian karyawan, kita bukan hanya inginkan mereka untuk berkhidmat tetapi kita juga cuba untuk menambah nilai perkhidmatan mereka agar mereka melihat MENDAKI, CLF dan M³ sebagai wadah untuk membangunkan diri mereka," jelas Encik Zaqy lagi.

HALA TUJU BIDANG TUMPUAN KEEMPAT M³ BERTUKAR

Bagi golongan pencari kerja pula, strategi membantu mereka juga sudah berubah kini.

Semasa berkongsi tentang bidang tumpuan keempat M³ iaitu Daya Kerja dan Pekerjaan, Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman yang juga Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi di NTUC mengatakan bahawa hala tuju bidang tumpuan itu telah berubah sejak ia diperkenalkan sewaktu pandemik COVID-19.

'

Menurut Encik Fahmi, strategi utama bidang tumpuan itu kini adalah untuk memastikan masyarakat Melayu/Islam merebut peluang dalam sektor-sektor berkembang.

Encik Fahmi berkata: "Untuk pekerjaan sekarang ini, kalau boleh, kita mesti meningkatkan kemahiran untuk mendapat pekerjaan dalam sektor berkembang. Saya rasa ini masih berkurangan lagi. Strategi kami pada tahun akan datang adalah mempertingkatkan lagi kesedaran tentang sektor berkembang. Sekarang ini, inisiatif kami adalah inisiatif laluan hijau di mana kami mendapatkan pekerjaan daripada sektor tertentu di mana kita ada hubungan dengan syarikat-syarikat agar para pekerja mendapat pekerjaan langsung."

'

"Namun pada masa akan datang mungkin kita akan bekerja dengan rangkaian karyawan untuk mengenal pasti sektor yang sesuai untuk orang Melayu kita berkecimpung. Lantas, mereka akan mengambil latihan untuk masuk dalam sektor tersebut. Menerusi rangkaian karyawan, kita boleh dapat banyak dorongan dan tunjukkan sektor mana lebih baik dan berkembang," tambah beliau lagi.

Encik Fahmi menerangkan bahawa pendekatan itu berbeza apabila FA4 dilancarkan pada 2020.

Beliau berkata: "FA4 berubah daripada sebelum COVID-19. Bagi memastikan FA4 kekal relevan, sebenarnya satu-satu misinya adalah untuk mendapatkan pekerjaan bagi mereka yang belum ada pekerjaan tetapi seperti pekerja platform, wanita yang ingin kembali bekerja, pekerja pertengahan kerjaya, pekerja matang."

"Setelah kita membuat penilaian bahawa ramai yang masih lagi tidak tahu tentang M³ (pada waktu itu), kita menggunakan FA4 ini untuk mempertingkatkan pengetahuan mereka termasuk apa yang boleh mereka dapat dari sektor berkembang misalnya," tambah Encik Fahmi.

Golongan belia dan golongan wanita yang ingin kembali bekerja juga telah menerima manfaat menerusi program-program hasil kerjasama rakan-rakan kerja FA 4 dengan MENDAKI.

'

(Gambar: Yayasan Mendaki)

Antara 2019 dengan 2023, sekitar 500 wanita telah sertai program Women@Work manakala lebih 5,000 belia menghadiri siri "Future of..." yang dianjurkan oleh jabatan Future Ready MENDAKI.

M³ juga akan memberikan kemas kini bagi usaha-usahanya yang diterajui PA MESRA dalam tempoh lima tahun lalu dalam masa terdekat.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita