Skip to main content

Singapura

5 saman dikeluarkan sejak larangan berbasikal di laluan khas pejalan kaki dikuat kuasa pada Julai

Kira-kira lima saman sudah dikeluarkan kepada penunggang basikal yang menunggang di laluan khas pejalan kaki sejak langkah penguatkuasaan berkuat kuasa pada 1 Julai, kata Menteri Negara Pengangkutan Baey Yam Keng di Parlimen pada Jumaat (26 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
5 saman dikeluarkan sejak larangan berbasikal di laluan khas pejalan kaki dikuat kuasa pada Julai

Laluan berbasikal khas berwarna merah, dengan kelebaran dua meter. (Gambar fail: CNA)

SINGAPURA: Kira-kira lima saman sudah dikeluarkan kepada penunggang basikal yang menunggang di laluan khas pejalan kaki sejak langkah penguatkuasaan berkuat kuasa pada 1 Julai, kata Menteri Negara Pengangkutan Baey Yam Keng di Parlimen pada Jumaat (26 Sep).

Di bawah peraturan yang dikuatkuasakan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), penunggang basikal atau penunggang lain yang menunggang di laluan khas pejalan kaki boleh dikenakan denda sehingga S$2,000, dipenjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Encik Baey, yang juga Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, menjawab soalan Dr Charlene Chen (PAP-Tampines) mengenai bagaimana pihak berkuasa menilai keberkesanan langkah penguatkuasaan.

Encik Baey berkata para pegawai menjalankan rondaan berkala dan lebih banyak pemeriksaan di kawasan titik panas yang dikenal pasti melalui maklum balas orang awam. Penunggang yang melakukan kesalahan kali pertama akan diberikan amaran sebelum dikenakan saman.

Beliau menambah bahawa para pegawai penguat kuasa akan “melakukan yang terbaik” untuk memastikan denda dikenakan secara konsisten. Pergerakan sementara ke laluan pejalan kaki, seperti memotong penunggang basikal yang bergerak perlahan, tidak akan dianggap sebagai kesalahan jika dilakukan dengan selamat.

“Tetapi apabila jelas bahawa penunggang basikal atau penunggang lain menunggang secara terang-terangan di POPs (laluan khas pejalan kaki) tanpa menghiraukan keselamatan pengguna lain, untuk jarak yang jauh, maka itu semestinya menjadi satu kesalahan.”

Logo dan papan tanda yang jelas sudah dipasang bagi membimbing penunggang basikal dan pejalan kaki. LTA juga sudah memasang cermin cembung di selekoh yang terlindung, menambah baik pencahayaan dan memangkas semak yang menyempitkan laluan.

Menjawab soalan tambahan Dr Chen mengenai langkah yang boleh diambil oleh pejalan kaki yang cedera akibat dilanggar penunggang basikal atau penunggang lain, Encik Baey berkata penunggang perlu berhenti untuk membantu pejalan kaki jika berlaku kemalangan.

Penunggang yang bertugas, seperti penghantar makanan, diwajibkan mempunyai insurans liabiliti pihak ketiga yang merangkmumi tuntutan kecederaan.

Pihak berkuasa akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan berbanding pelesenan basikal, yang menurut Encik Baey akan menjadi “beban pentadbiran”.

Program pendidikan dijalankan di sekolah-sekolah dan kumpulan masyarakat, di samping sesi libat urus dengan platform penghantaran. Maklum balas juga dikumpulkan untuk menambah baik prasarana berbasikal.

“Kami akan terus berusaha untuk melakukan sedemikian, untuk mencari cara terbaik mereka bentuk laluan kami, prasarana berbasikal kami,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita