5 remaja diberkas, lagi 6 disiasat kerana bergaduh di Bedok North
Lima remaja diberkas dan lagi enam orang disiasat setelah polis menerima beberapa panggilan berhubung satu pergaduhan yang berlaku di Bedok North pada awal minggu ini.

Gambar fail seseorang yang digari.
SINGAPURA: Lima remaja diberkas dan lagi enam orang disiasat setelah polis menerima beberapa panggilan berhubung satu pergaduhan yang berlaku di Bedok North pada awal minggu ini.
Dalam satu kenyataan media pada Ahad (28 Mac), polis menyatakan bahawa pergaduhan itu berlaku di Blok 542 Bedok North Street 3.
Polis menyatakan ia menerima beberapa panggilan pada kira-kira pukul 11.45 malam pada Isnin (22 Mac), mengenai satu pergaduhan membabitkan lebih daripada 10 orang.
Menerusi pertanyaan orang ramai dan rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) polis, para pegawai mengenal pasti 11 individu yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu dan mereka ditahan bagi siasatan, menurut polis.
Lima remaja lelaki - berusia antara 14 dengan 19 tahun - diberkas kerana disyaki terbabit dalam satu perhimpunan haram dan sengaja menyebabkan kecederaan.
Lagi enam individu - dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun serta empat lelaki berusia 24 hingga 37 tahun - turut disiasat kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.
Jika sabit kesalahan menyertai perhimpunan haram, pesalah-pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Hukuman bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan adalah hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Siasatan masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.