Skip to main content

Singapura

5 remaja diberkas kerana disyaki merusuh selepas timbul video serang murid Sekolah Rendah Qihua

Anggaran Waktu Membaca:
5 remaja diberkas kerana disyaki merusuh selepas timbul video serang murid Sekolah Rendah Qihua
Diterbitkan : 25 Sep 2024 11:52PM
SINGAPURA: Lima remaja diberkas selepas rakaman seorang murid Sekolah Rendah Qihua diserang oleh seorang belia tersebar online pada awal minggu ini.

Polis menyatakan pada Rabu (25 Sep) pihaknya telah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam insiden itu, sambil menambah bahawa "lima daripada mereka sudahpun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes merusuh."

"Polis memandang serius tindakan keganasan dan sikap yang langsung tidak mengendahkan undang-undang seumpama itu. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pesalah selaras dengan undang-undang."

Siasatan masih dijalankan, jelas pihak polis.

Video sepanjang empat minit itu, yang disebarkan di WhatsApp dan Telegram, menunjukkan seorang remaja dengan kemeja T hitam dan seluar jeans memukul seorang budak lelaki yang memakai pakaian seragam Sekolah Rendah Qihua, yang terletak di Woodlands.

Remaja itu dilihat menolak budak lelaki itu ke satu sudut di kawasan tangga, sebelum menumbuk dan menendangnya serta menghempas badannya ke lantai.

Video berkenaan juga menunjukkan remaja itu mengarahkan budak tersebut untuk meletakkan tangannya di belakang, sebelum menumbuknya di bahagian perut.

Budak lelaki itu boleh didengar mengatakan "maaf, maaf saya tidak akan buat lagi" berulang kali semasa dicemuh oleh remaja itu dan seorang lagi individu - kemungkinan yang sedang merakam kejadian itu.

Tidak jelas bila kejadian itu berlaku, tetapi Sekolah Rendah Qihua memberitahu Mediacorp bahawa ia sedia maklum mengenai insiden itu dan kes itu kini di bawah siasatan polis.

"Keselamatan dan kesejahteraan murid-murid kami menjadi keutamaan kami. Kami sudah memberikan kaunseling kepada murid-murid yang terjejas dan sedang bekerja rapat dengan ibu bapa mereka bagi memastikan kesejahteraan semua yang terlibat," menurut sekolah itu.

"Kami juga sudah mengingatkan murid-murid kami supaya menjaga satu sama lain dan untuk melaporkan sebarang insiden buli kepada guru mereka."

Video berkenaan yang melibatkan budak lelaki itu adalah kedua seumpamanya yang disebarkan online dalam masa seminggu.

Dalam video TikTok yang dimuat naik lebih seminggu lalu, seorang pelajar Sekolah Menengah Bukit View dilihat dicemuh dan ditendang ke lantai manakala sekurang-kurangnya lima remaja mengelilinginya. Polis juga sedang menyiasat kejadian buli itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai insiden Sekolah Menengah Bukit View itu, Kementerian Pendidikan menyatakan pada Ahad bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk buli.

Sejak 2013, jumlah insiden yang dilaporkan setiap tahun ke sekolah kekal sekitar dua kejadian bagi setiap 1,000 murid sekolah rendah dan lima insiden bagi setiap 1,000 pelajar sekolah menengah.

MOE juga menambah bahawa pihak sekolah juga mendampingi dan bekerjasama dengan ibu bapa bagi menghulurkan sokongan kepada pelajar di dalam dan luar persekitaran sekolah dengan berkongsi kemahiran sosial dan emosi yang diajar di sekolah, tingkah laku yang dijangkakan dalam kalangan pelajar, dan akibat yang perlu ditanggung disebabkan tingkah laku yang tidak boleh diterima.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita