5 projek BTO tidak dapat diteruskan akibat masalah kewangan; penangguhan dijangkakan
Tarikh siap bagi lima projek kediaman Bina-Ikut-Tempatan (BTO) akan ditangguh disebabkan "masalah kewangan" yang dihadapi kontraktor-kontraktor utamanya, dedah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (26 Ogos).
SINGAPURA: Tarikh siap bagi lima projek kediaman Bina-Ikut-Tempatan (BTO) akan ditangguh disebabkan "masalah kewangan" yang dihadapi kontraktor-kontraktor utamanya, dedah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (26 Ogos).
Greatearth Corporation dan Greatearth Construction memaklumkan kepada HDB bahawa ia dilanda masalah kewangan dan tidak mampu menyiapkan projek-projek meskipun dengan bantuan pemerintah.
"HDB juga sudah meneroka pilihan-pilihan lain untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi Greatearth seperti menerusi pembayaran awal tetapi Greatearh tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk meneruskan operasinya," menurut HDB.
Ia menambah bahawa semua kerja di lima tapak binaan tersebut sudahpun digantung sejak 20 Ogos.
"Sebelum ini, kemajuannya memuaskan dan tidak ada tanda yang menunjukkan kerja-kerja bergerak lebih perlahan atau berlaku sebarang kekurangan bekalan atau pekerja di tapak binaan secara tiba-tiba," tambah HDB.
Dua daripada projek tersebut - Senja Ridges dan Senja Heights - masing-masing sepatutnya siap pada Jun dan September tahun ini. Kedua-duanya dilancarkan pada 2016.
Projek-projek tersebut kini dijangka siap pada suku akhir tahun ini dan pada suku pertama 2022.
Sky Vista @ Bukit Batok yang dilancarkan pada Ogos 2017 dijadual siap pada Mac 2022 tetapi ditangguh kepada suku ketiga tahun depan.
Selain itu, tarikh siap Marsiling Grove ditangguh dari suku pertama tahun depan kepada suku keempat 2022 dan West Coast Parkview pula dari suku ketiga 2022 kepada suku kedua 2023.
HDB menyatakan ia sedang "bekerja rapat dengan Greatearth untuk melantik kontraktor-kontraktor baru secepat mungkin untuk menghabiskan baki-baki kerja".
"Sementara waktu ini, HDB sudah mengaturkan kontraktor-kontraktor untuk menjaga tapak-tapak binaan dan menjalankan kerja-kerja pengurusan tempat-tempat kerja serta kawalan vektor sehingga kontraktor-kontraktor baru dilantik."
HDB turut menyatakan bahawa ia sudahpun menghubungi para pembeli flat untuk memaklumkan kepada mereka tentang situasi tersebut.
"Kami sudahpun menghubungi para pembeli yang terjejas dan akan terus membantu memberi kemas kini tentang situasi itu," menurut HDB.
"Kami juga akan memaklumkan kepada mereka tentang tarikh siap yang disemak semula sebaik sahaja kami sudah melakarkan jadual binaan selepas kontraktor-kontraktor baru dilantik."
Para pembeli flat yang tidak dapat mencari aturan kediaman alternatif bersama anggota keluarga, saudara mara atau di pasaran terbuka buat sementara ini boleh menghubungi HDB untuk mendapatkan bantuan.
"HDB akan sedaya upaya melantik kontraktor untuk mengambil alih projek-projek itu secepat mungkin untuk mengurangkan perlunya penangguhan lanjut sambil memastikan keselamatan dan mutu binaan tidak terjejas," jamin HDB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.