5 pesanan bagi nikmati juadah Raya secara lebih sihat

Gambar: Adobe Stock
SINGAPURA: Pemakanan lebih sihat ketika kunjung-mengunjung dalam bulan Syawal ini tidak bermakna anda perlu mengikat perut atau menyinggung perasaan tuan rumah dengan menolak pelawaannya.
Pakar Diet Hospital Besar Changi (CGH) Zakiah Mohd Halim memberi lima pesanan berikut sempena Hari Raya ini agar anda dapat menjamu selera tanpa memudaratkan kesihatan.
1. Rancang pemakanan sepanjang hari
Anda boleh merancang pemakanan anda sekeluarga sepanjang hari memandangkan kita sedikit sebanyak tahu rumah-rumah yang ingin dikunjungi.
Anda boleh merancang untuk makan lauk-pauk di sesetengah rumah, dan hanya makan cemil-cemilan di sebilangan rumah yang lain.
Sebagai contoh, anda boleh menetapkan had untuk merasakan tiga jenis kuih-muih saja yang paling “best” di sesebuah rumah.
Mungkin di rumah Mak Yah, anda makan kek kukusnya saja kerana Mak Yah memang 'pakar' membuat kek buah kukus yang lembap dan sangat sedap. Di rumah lain, anda boleh menjamah kuih-muih yang lain.
Anda sekeluarga juga boleh berjanji hanya akan minum dua gelas minuman manis dalam sehari, dan minum air putih di rumah-rumah yang lain.
Untuk mengurangkan makan, anda juga boleh berkongsi makanan dengan anggota keluarga.
2. Perhatikan pengambilan kalori
Setiap kali anda menjamah sekeping tapak kuda Nutella kesukaan ramai itu, lebih-lebih lagi kanak-kanak, beringatlah bahawa anda seolah-olah menyantap separuh mangkuk nasi.

Setiap orang memerlukan jumlah kalori yang tersendiri untuk mengekalkan fungsi tubuh. Jika anda melebihi had itu, lebihan kalori akan bertukar menjadi lemak dan ini akan menaikkan berat badan.
Dengan mengambil sikap berjaga-jaga terhadap kandungan kalori dalam beraneka macam kuih-muih, anda mungkin akan terdorong untuk menyesuaikan pemakanan agar tidak makan berlebihan.

3. Elak makan berlebihan
Anda mungkin bertanggapan - "alah....takkan makan besar satu hari aje pada Hari Raya akan mendatangkan mudarat".
Namun, jika pemakanan berlebihan menjadi tabiat harian, ia boleh menimbulkan masalah berat badan berlebihan. Ini akan menaikkan risiko anda menghidap kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.
4. Waspada jika berpenyakit kronik
Bagi anda yang berpenyakit kronik seperti kencing manis atau penyakit jantung, anda masih boleh menjamu selera pada Hari Raya dan menikmati kelazatan sajian yang dihidangkan.
Namun anda perlu mengawal saiz hidangan dengan rapi.

Anda yang menghidap kencing manis misalnya disarankan supaya memeriksa paras gula dengan lebih kerap. Sekiranya anda makan dengan berlebihan, keadaan anda boleh bertambah mudarat dan anda boleh mengalami dehidrasi atau tubuh kekurangan air.
Jika anda tidak pasti sama ada selamat untuk menikmati juadah raya, atau menghidap sesuatu penyakit dan tidak pasti bagaimana untuk menjaga makan dengan baik, anda boleh berjumpa dengan seorang pakar diet untuk mendapatkan nasihat.
5. Boleh ‘Detox’ lepas musim perayaan?
Anda sering dengar orang berkata boleh 'detox'; atau menghapuskan bahan-bahan tidak sihat dari badan selepas makan berlebihan semasa musim perayaan.
Ia adalah satu mitos.
Organ hati dalam tubuh kita berfungsi 24 jam setiap hari untuk menghapuskan toksin dari badan, tidak kira sama ada anda makan seperti biasa atau berlebihan.
Selepas musim perayaan, jika anda kembali mengamalkan pemakanan seperti biasa dan berkhasiat, anda tidak perlu khuatir atau menggunakan kaedah khusus untuk ‘detox’.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.