Skip to main content

Singapura

5 perkara penting anda perlu tahu tentang Rapat Umum Hari Kebangsaan 2023

Anggaran Waktu Membaca:
5 perkara penting anda perlu tahu tentang Rapat Umum Hari Kebangsaan 2023

PM Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan, 20 Ogos 2023. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 21 Aug 2023 12:12AM Dikemas Kini : 21 Aug 2023 07:17AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (20 Ogos) mengumumkan beberapa perkembangan dari segi perumahan, bersama dengan Pakej Majulah bernilai S$7 bilion untuk membantu warga emas menampung keperluan persaraan mereka.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya - ucapan politik Singapura yang paling penting tahun ini - PM Lee juga menyentuh tentang pembaharuan kepimpinan, meyakinkan rakyat Singapura bahawa rancangan untuk menggantikan pucuk kepimpinan negara kembali menepati sasaran yang ditetapkan dengan berakhirnya pandemik COVID-19.

Berikut adalah 5 perkara penting daripada ucapan PM Lee:

1. Klasifikasi flat BTO akan diubah

Cara Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengklasifikasikan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) akan berubah mulai separuh kedua 2024.

Ia akan diletakkan di bawah tiga kategori - Standard, Plus dan Perdana - bukan lagi rangka kerja matang dan belum matang yang sudah wujud sejak awal 1990-an.

Menjelaskan perubahan itu, PM Lee berkata landskap perumahan awam sudah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Banyak lagi projek BTO baharu dibina di estet-estet "matang", memandangkan estet-estet belum matang seperti Punggol kini mempunyai pelbagai kemudahan.

Oleh itu, perbezaan antara kedua-dua jenis kini menjadi kabur. Klasifikasi matang dan belum matang tidak lagi relevan, tambah PM Lee.

Sistem klasifikasi baharu akan membezakan projek BTO mengikut lokasinya.

Flat standard - sebahagian besar projek HDB - akan ditawarkan dengan subsidi biasa dan syarat-syarat yang tertakluk pada flat BTO, seperti Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama lima tahun.

Flat-flat Plus - kategori baharu - akan dibina di lokasi-lokasi yang disifatkan oleh PM Lee sebagai "lokasi dengan permintaan lebih tinggi" merata Singapura, seperti berhampiran stesen MRT atau pusat bandar.

Ia akan ditawarkan dengan lebih banyak subsidi dan syarat-syarat yang lebih ketat berbanding dengan flat Standard. Ini termasuk tempoh MOP selama 10 tahun dan syarat jualan semula yang lebih ketat seperti siling pendapatan ke atas pembeli flat jualan semula.

Flat-flat Perdana - yang kini ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama - akan dibina di "lokasi dengan permintaan lebih tinggi", biasanya lebih dekat dengan pusat bandar. Ia akan ditawarkan dengan subsidi yang paling banyak dan syarat yang paling ketat.

2. Lebih banyak pilihan perumahan HDB untuk bujang

Dengan lebih ramai rakyat Singapura memilih untuk tidak berkahwin, golongan bujang akan mempunyai lebih banyak pilihan perumahan apabila klasifikasi baharu BTO bermula, kata PM Lee.

Buat masa ini, para pembeli kali pertama daripada golongan bujang yang berumur 35 tahun ke atas hanya dibenarkan memohon flat Flexi dua bilik baharu di estet belum matang. Mereka juga boleh membeli flat jualan semula di mana-mana estet, kecuali flat BTO di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama.
Dengan klasifikasi baharu, pembeli kali pertama yang layak boleh:

- Memohon flat Flexi BTO dua bilik di semua lokasi merangkumi ketiga-tiga kategori
- Membeli apa sahaja saiz flat jualan semula Standard atau Plus kecuali flat Tiga Generasi
- Membeli flat jualan semula Perdana dua bilik

3. Flat HDB sedia ada, kawasan perumahan akan dinaik taraf untuk menjadi lebih mesra warga emas

HDB akan menyediakan lebih banyak ciri mesra warga emas di kawasan-kawasan perumahan awam untuk menggalak kecergasan dan penuaan aktif, serta membolehkan warga emas berulang-alik dengan lebih selamat dan selesa.

Sebagai contoh, lebih banyak tempat berteduh dan tempat berehat akan dibina. Terdapat juga lebih banyak taman terapeutik, jejak kecergasan dan mesin senaman untuk menggalak warga emas kekal aktif.

Warga emas tidak lama lagi akan dapat memilih daripada rangkaian kelengkapan mesra warga emas yang lebih luas di bawah skim penambahbaikan HDB yang dipanggil program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif 2.0 (EASE 2.0). Ini termasuk tempat duduk mandi yang boleh dilipat dan pintu masuk tandas yang diluaskan untuk warga emas yang berkerusi roda.
Buat masa ini, mereka boleh memasang kelengkapan seperti tanjakan di pintu masuk rumah mereka, serta palang untuk berpaut semasa di dalam tandas.

Akhir sekali, lebih banyak Apartmen Jagaan Masyarakat akan dilancarkan. Ia bermatlamat untuk menyediakan lebih banyak pilihan perumahan untuk warga emas, dengan flat itu dilengkapi dengan khidmat penjagaan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan penghuni warga emas.

4. Pakej Majulah untuk membantu warga emas Singapura memenuhi keperluan persaraan mereka

Rakyat Singapura yang layak berumur 50 tahun ke atas tahun ini – iaitu mereka yang lahir pada 1973 atau lebih awal – akan mendapat lebih banyak wang dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka.

Encik Lee memanggilnya Pakej Majulah, yang bertujuan untuk membantu "warga emas lebih muda" dalam lingkungan 50-an dan awal 60-an tahun, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi Generasi Perintis dan Generasi Merdeka akan mendapat sokongan ini juga.
Terdapat tiga komponen dalam Pakej Majulah, yang akan diagihkan secara berperingkat mengikut pendapatan dan simpanan CPF masing-masing.

Yang pertama ialah bonus tahunan iaitu Bonus Earn and Save untuk warga emas Singapura yang bekerja – sama ada sepenuh masa atau sambilan. Pekerja berpendapatan rendah dan sederhana akan mendapat bonus CPF sehingga S$1,000 setahun.

Yang kedua ialah Bonus Simpanan Persaraan untuk warga emas yang layak yang belum mencapai Jumlah Persaraan Asas CPF. Mereka akan menerima bonus CPF sekali sahaja sehingga S$1,500.

Suri rumah dan mereka yang tidak bekerja akan mendapat bonus ini juga.

Yang ketiga ialah bonus MediSave sekali sahaja sehingga S$1,000.

Pakej Majulah akan memberi manfaat kepada 1.4 juta warga emas merangkumi , kata PM Lee.

Semua warga Singapura yang memenuhi kriteria kelayakan akan mendapat manfaatnya. Tidak perlu memperolehi kerakyatan Singapura pada tahun tertentu untuk layak mendapatkannya, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) secara berasingan.

Butiran lanjut mengenai bayaran dan kriteria kelayakannya akan diumumkan pada 2024.

5. Peralihan kepimpinan kembali ikut jadual

PM Lee juga menyentuh secara ringkas tentang pembaharuan kepimpinan, sambil mengingatkan bahawa rancangan asalnya adalah untuk menyerahkan dan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri menjelang 2022 - sebelum hari jadinya yang ke-70.

Meskipun pandemik COVID-19 menjejas rancangan ini, beliau berkata rancangan bagi menggantikannya kini kembali ikut jadual. PM Lee berusia 71 tahun pada tahun ini.

"Baru-baru ini, beberapa isu kontroversial telah menarik perhatian rakyat Singapura. Saya sudah menyentuh isu ini di Parlimen dan dalam Amanat Hari Kebangsaan saya. Kami menanganinya dengan teliti dan telus," kata PM Lee.

“Biar saya beri jaminan – insiden ini tidak akan melengahkan jadual rancangan peralihan kepimpinan saya. Kita berada di landasan yang betul.”
Isu-isu ini termasuk hubungan sulit antara mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dengan mantan Anggota Parlimen GRC Tampines Cheng Li Hui, yang mendapat perhatian ramai kira-kira sebulan yang lalu. Mereka berdua sudahpun meletak jawatan daripada Parlimen dan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Sejurus sebelum itu, Menteri Pengangkutan S Iswaran diberkas berhubung siasatan rasuah.

Menurut PM Lee, semakin banyak tugasnya adalah untuk menyokong pasukan pemimpin 4G (Generasi Keempat) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dan agenda mereka.

PM Lee meminta rakyat Singapura supaya memberikan sokongan padu kepada DPM Wong dan pasukannya sekarang dan selepas mereka mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

“Masa depan negara kita bergantung kepada mereka, bekerja sebagai satu pasukan dengan anda untuk membawa Singapura lebih maju lagi. Saya yakin dengan Lawrence Wong dan pasukannya,” tambah PM Lee.
Sumber : CNA/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita