Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 perkara di sebalik cuaca luar biasa S'pura pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Jan 2022 06:35PM Dikemas Kini : 28 Jan 2022 09:00PM

SINGAPURA: Hujan, kering dan panas - ini mungkin menggambarkan keadaan cuaca di Singapura tahun lalu. Namun, terdapat beberapa cuaca ekstrem yang berlaku pada 2021 dengan kembalinya La Nina.

Fenomena iklim itu, yang berlaku sekali setiap beberapa tahun, biasanya membawa lebih banyak curahan hujan.

Ini dibuktikan tahun lalu selepas Singapura mencatatkan tahun kedua dengan jumlah hujan paling banyak sejak 1980, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Jumaat (28 Jan) dalam semakannya terhadap cuaca untuk tahun 2021.

Berikut adalah lima sorotan daripada laporan tersebut:

1. HARI PALING BANYAK HUJAN

Anda mungkin ingat akan kejadian banjir kilat yang melanda pelbagai kawasan Singapura pada 24 Ogos tahun lalu, dengan yang paling ketara disaksikan di kawasan Bukit Timah.

Hari Selasa itu merupakan hari paling banyak hujan pada 2021, dengan jumlah curahan hujan harian dicatatkan sebanyak 247.22 milimeter (mm) oleh stesen Mandai.

MSS menyifatkannya sebagai satu angka "luar biasa" yang jauh melangkaui jumlah tertinggi sebelum ini iaitu sebanyak 181.8mm yang dicatatkan pada Ogos 1983 di stesen Changi.

Amaran risiko banjir dikeluarkan bagi beberapa kawasan pada 24 Ogos termasuk kawasan Upper Bukit Timah di mana air mengalir masuk ke sebuah pusat beli-belah, Woodlands serta Sunset Drive.

Selang seminggu kemudian pada 30 Ogos, amaran risiko banjir sekali lagi dikeluarkan bagi beberapa kawasan setelah hujan lebat melanda seluruh Singapura.

2. OGOS YANG LUAR BIASA

Lazimnya, Ogos adalah bulan yang paling kering sepanjang tahun, namun bukan pada 2021.

Cuaca hujan itu disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk La Nina, menurut MSS.

"Ogos 2021 menyaksikan jumlah hujan yang jauh melebihi paras purata di seluruh negara, dengan stesen iklim Changi mencatatkan jumlah hampir seganda daripada purata bulanan jangka panjangnya," tambah MSS.

3. JANUARI KEDUA PALING BANYAK HUJAN DALAM REKOD

Bulan yang menerima jumlah hujan paling banyak pada 2021 adalah Januari.

Bahkan, ia adalah Januari kedua yang paling banyak menerima hujan di Singapura sejak rekod curahan hujan dimulakan pada 1869. Ia melebihi jumlah hujan kedua tertinggi sebanyak 634.5 mm yang dicatatkan pada 1918 iaitu lebih seabad lalu.

MSS menyatakan cuaca hujan dan sejuk luar biasa itu disebabkan keadaan monsun timur laut yang kerap kali berlaku. Keadaan itu membawa hujan lebat berterusan di Singapura pada hujung minggu pertama tahun 2021.

4. FEBRUARI YANG AMAT KERING

Cuaca hujan mula reda sedikit pada bulan berikutnya apabila Februari menyaksikan bulan yang "sangat kering", menurut MSS.

Ia adalah bulan Februari kedua paling kering dalam rekod selepas Februari 2014 apabila stesen-stesen iklim mencatatkan hanya 0.2mm curahan hujan.

Stesen iklim Changi mencatatkan hanya 1mm curahan hujan untuk seluruh Februari 2021 manakala jumlah curahan hujan paling banyak dalam sehari cuma hanya 46.9mm yang dicatatkan di Jurong West pada 11 Februari.

Ia juga adalah Februari kedua paling berangin dalam rekod.
Stesen iklim Changi mencatatkan purata kelajuan angin harian 13.1 kilometer sejam (kmj) berbanding 13.7 kmj yang dicatatkan pada Februari 2014.

5. PANAS, PANAS, PANAS

Anda dapati diri lebih banyak berkeringat tahun lalu?

Walaupun mengalami hujan, 2021 adalah antara tahun paling panas dalam rekod.

Purata suhu tahunan pada 2021 adalah 27.9 darjah Selsius, 0.1 darjah Selsius lebih tinggi daripada purata jangka panjang 27.8 darjah Selsius.

Ini menjadikan cuaca pada 2021 sama seperti tahun-tahun sesudahnya pada 2018, 2014 serta 2009, sekali gus dicatatkan sebagai tahun ke-10 paling panas dalam rekod negara.

Ia mungkin akan lebih panas jika tidak kerana berlakunya keadaan La Nina yang membantu menyederhanakan suhu keseluruhan Singapura pada tahun 2021.

Dengan lebih banyak kejadian cuaca lampau dijangka akibat perubahan iklim, orang ramai perlu membiasakan diri menyemak ramalan cuaca harian dan menyesuaikan rancangan mereka dengan sewajarnya, menurut Cik Grace Fu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, pada Ogos tahun lalu.

Cik Fu menambah Singapura perlu merancang bagi perubahan iklim dan cara-cara untuk mengurangkan kesannya.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan