Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 perkara anda perlu tahu tentang VTL...

Mulai Selasa (19 Okt), orang ramai sudah boleh melakukan perjalanan ke lebih banyak negara apabila Singapura membuka Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) ke lagi lapan buah negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Sepanyol.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mulai Selasa (19 Okt), orang ramai sudah boleh melakukan perjalanan ke lebih banyak negara apabila Singapura membuka Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) ke lagi lapan buah negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Sepanyol.

Ini manakala laluan VTL ke Korea Selatan pula akan bermula pada 15 November.

Sebelum ini, Singapura sudahpun membuka laluan VTL ke Brunei dan Jerman pada 8 September.

Sebelum anda bergegas mencari pasport yang sudah lama tidak digunakan dan menempah tiket penerbangan, ini ringkasan lima perkara yang anda perlu tahu dahulu.

1. SEMUA TERMASUK KANAK-KANAK BOLEH MELAKUKAN PERJALANAN MELALUI VTL

VTL dibuka kepada semua rakyat Singapura dan penduduk tetap.

Mereka seharusnya sudah menerima dos vaksin yang lengkap sekurang-kurangnya dua minggu sebelum melakukan perjalanan.

Para penumpang beratur di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Changi pada 8 Jun 2020. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Pastikan rekod vaksinasi juga sudah tertera di dalam aplikasi HealthHub atau TraceTogether.

Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun juga kini dibolehkan melakukan perjalanan ke semua negara VTL kecuali Korea Selatan.

Mereka juga mesti ditemani oleh orang dewasa yang sudah lengkap divaksin dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

2. DESTINASI TERHAD BAGI YANG MENDAPAT VAKSIN SINOPHARM, SINOVAC

Hanya mereka yang mendapat suntikan vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna dibenarkan masuk ke semua negara VTL.

Bagi yang mendapat vaksin Sinopharm atau Sinovac, mereka hanya dibenarkan masuk ke Belanda, Sepanyol dan Korea Selatan buat masa ini.

3. PERIKSA DAHULU KRITERIA UJIAN PCR SETIAP NEGARA VTL

Pastikan anda periksa dahulu kriteria ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (PCR) COVID-19 yang diperlukan untuk ke destinasi pilihan kerana jumlah ujian yang perlu dilakukan berbeza dari negara ke negara.

Misalnya, jika anda ingin ke Korea Selatan, anda perlu melakukan sebanyak lima ujian keseluruhannya.

Yang pertama, 72 jam sebelum berlepas dari Singapura. Kemudian lagi tiga ujian PCR semasa anda berada di Korea Selatan bergantung kepada tempoh waktu anda berada di negara itu. Ujian kali kelima pula perlu dilakukan setibanya anda kembali di Lapangan Terbang Changi.

Para pekerja di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Changi Airport Group)

Bagi negara-negara seperti Denmark, Perancis, Belanda, Sepanyol dan Jerman pula, para penumpang hanya diperlukan untuk melakukan dua ujian PCR iaitu satu sebelum bertolak dari negara tersebut dan satu lagi apabila tiba di Singapura.

4. JENIS PENERBANGAN YANG BOLEH DINAIKI

Anda bebas untuk memilih mana-mana pesawat yang menawarkan perjalanan untuk ke negara-negara VTL.

Namun, apabila anda mahu pulang ke Singapura, anda mestilah menaiki pesawat yang dikhususkan untuk VTL ke Singapura seperti Singapore Airlines dan Scoot.

Perlu diingatkan juga, sekiranya anda ingin membuat perhentian atau transit di negara-negara yang dikecualikan daripada VTL, anda tidak layak untuk kembali melalui skim tersebut.

Ini bermakna anda akan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN)

5. JIKA DIJANGKITI COVID-19 SEBELUM ATAU SELEPAS BERANGKAT, INI YANG AKAN BERLAKU...

Bagi mereka yang didapati positif COVID-19 semasa melakukan ujian sebelum keberangkatan (PDT) atau 14 hari sebelum tarikh berangkat, mereka tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan mereka.

Sekiranya hasil ujian COVID-19 mereka negatif sebelum berlepas tetapi didapati positif pula semasa tiba di destinasi, mereka perlu menjalani pengasingan diri di negara berkenaan sehingga pulih.

Mereka perlu menanggung kos penginapan dan keperluan seharian sendiri.

Para pelawat di Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Untuk maklumat lanjut, sila ke laman safetravel.ica.gov.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan