5 penyertaan dipilih bagi peraduan reka bentuk Tapak Memperingati Pemimpin Pengasas
Lima penyertaan sudah dipilih bagi mencari pemenang peraduan reka bentuk Tapak Memperingati Pemimpin Pengasas akan datang, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Khamis (2 Mei).

Bay East Garden (Gambar: GBTB)
SINGAPURA: Lima penyertaan sudah dipilih bagi mencari pemenang peraduan reka bentuk Tapak Memperingati Pemimpin Pengasas akan datang, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Khamis (2 Mei).
Tapak peringatan itu - yang disifatkan sebagai sebuah galeri dan "pengalaman taman" di Bay East Garden - bermatlamat untuk memperingati dan menyanjungi nilai-nilai dan wawasan yang dipegang teguh oleh perdana menteri pertama Singapura mendiang Lee Kuan Yew, para pemimpin generasi pertama serta tokoh-tokoh ulung yang memainkan peranan penting dalam perjalanan negara mencapai kemerdekaan.
Peraduan reka bentuk bertaraf antarabangsa itu dilancarkan pada Januari untuk mendapatkan saranan-saranan bagi mercu tanda tersebut.
Menurut NHB, peraduan itu mendapat "sambutan hangat" dalam bentuk 193 penyertaan secara keseluruhannya, baik dari para arkitek tempatan mahupun dari luar negara.
Kelima-lima pasukan yang dipilih adalah:
- 8DGE Design dengan kerjasama Ong Ching Ying
- Cox Architecture dengan kerjasama Architects 61
- DP Architects
- Johnson Pilton Walker
- Kengo Kuma & Associates dengan kerjasama K2LD Architects
Pengerusi Jawatankuasa Tapak Memperingati Pemimpin Pengasas dan anggota panel juri Lee Tzu Yang mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan seni bina atas sokongan dan minat mereka.
"Selain Singapura, kami menerima banyak penyertaan dari luar negara, contohnya, dari Amerika Syarikat, Hong Kong dan juga Latvia. Kami mengalu-alukan usaha mereka untuk mengembangkan lagi konsep reka bentuk mereka pada peringkat seterusnya, untuk menterjemahkan konsep-konsep ini dan visi Tapak Memperingati Pemimpin Pengasas menjadi reka bentuk yang lebih terperinci," katanya.
Bengkel mendampingi orang ramai akan diadakan pada hujung minggu 25 Mei hingga 26 Mei di Muzium Negara Singapura.
"Rakyat Singapura yang menyertai sesi pendampingan sebelum ini bagi Tapak Memperingati Pemimpin Pengasas akan diundang untuk meninjau-ninjau kelima- lima konsep reka bentuk yang disenarai pendek, di samping berpeluang untuk memberikan pandangan mereka tentang pengalaman pelawat sebagai bakal pengunjung," menurut NHB.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai bengkel pendampingan itu juga boleh menghubungi NHB melalui emel.
Panel juri akan memilih pemenang sama ada sebelum Januari atau Februari 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.