5 penghuni Darul Islah singsing lengan bersihkan, hiasi rumah pasangan kurang berkemampuan jelang Krismas
Setiap kali malam menerpa, hanya ada satu bal lampu yang menerangi rumah sewa 1 bilik Encik Victor Louis De Foe.
SINGAPURA: Setiap kali malam menerpa, hanya ada bal lampu yang menerangi rumah sewa 1 bilik Encik Victor Louis De Foe.
Rumah didiaminya selama sekitar lapan tahun di Champions Way itu bagaikan tiada seri. Tidak ada banyak perabot - sekadar katil, tempat duduk dan televisyen kecil.
Barang-barang dapur disusun lelaki berusia 73 tahun itu di satu sudut. Dua kipas kecil diletakkan dekat dengan katil agar beliau dapat tidur dengan selesa ketika cuaca panas.
Siapa sangka, ada yang akan mengetuk pintu rumah dan menawarkan untuk mengemas dan membersihkan rumahnya.
Bahkan, dalam kalangan mereka yang memerah keringat untuk menjadikan rumahnya lebih elok adalah 5 pesalah dadah.
(Gambar-gambar: Jamiyah Singapore)
Mereka melakukan itu di bawah 'Happiness Project' kendalian Rumah Peralihan Darul Islah. Bersama beberapa kakitangan dan bekas penghuni pusat pemulihan Jamiyah itu, mereka menyuntik nafas baru kepada rumah Encik Victor dan isteri.
'Rumah baru' berkenaan sekali gus menjadi hadiah Krismas istimewa bagi pasangan kurang berkemampuan itu.
"Mereka pasang segalanya. Lampu baru, dan kipas siling. Ada juga sofa," kata Encik Victor.
PESALAH DADAH, BEKAS PENGHUNI PERAH KERINGAT 8 HARI
Sebenarnya, Encik Victor merupakan insan terpilih ketiga di bawah 'Happiness Project'. Sebelum ini, rumah dua lagi penerima bantuan turut dikemas dan dibersihkan menjelang sambutan perayaan.
Namun kali ini, sempena perayaan Krismas, Jamiyah berganding bahu dengan Persatuan Serani (EA) untuk mengenal pasti salah seorang penerima bantuan mereka.
Encik Victor sudah lama bersara manakala isterinya, 51 tahun, tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana mengalami masalah tulang belakang. Mereka bergantung kepada baucar makanan dan sumbangan wang dari EA setiap bulan.
Proses mengemas dan membersihkan rumah kali ini memakan masa lapan hari, iaitu sejak 12 Dis 2019.
"Rumah dia memang tidak terurus. Lampu pun lampu lama. Tidak ada langsir. Tingkap dia tutup dengan kertas," kata seorang bekas penghuni Darul Islah, Encik Mohammed Anis Adam. Beliau antara relawan yang turut turun padang untuk menabur bakti.
DAPAT SAMBUT TETAMU ISTIMEWA
Antara kerja-kerja yang dijalankan 5 penghuni, relawan dan kakitangan Jamiyah termasuk membersihkan, menghias semula dan mengecat rumah Encik Victor.
Peralatan baru seperti kipas siling dan rod langsir juga dipasang. Semua kos ditaja Yayasan Tan Chin Tuan.
Hari ini (20 Dis), rumah Encik Victor secara rasmi sudah siap. Bagi menyambut lagi keceriaan hasil usaha murni silang agama ini, Anggota Parlimen GRC Sembawang Amrin Amin turut menziarahi Encik Victor dan isteri di rumah mereka.
Rumah Encik Victor penuh dengan riang dan tawa ketika pihak Jamiyah, Encik Amrin dan pasangan itu bernyanyi bersama-sama.
Buat pertama kali dalam kehidupannya juga, Encik Victor mempunyai pokok Krismas dalam rumahnya. 'Santa Claus' juga hadir untuk mewarnai lagi kemeriahan pagi tadi.
"Ini pokok Krismas pertama yang pernah ada dalam rumah saya. Yang pertama. Rumah saya pun dicat dalam warna kegemaran saya. Biru," ujar Encik Victor.
TIDAK PERLU BERADA UNTUK HULUR BANTUAN
Melihat kemesraan yang terjalin antara para pesalah dadah, pihak Jamiyah dan penerima bantuan beragama Kristian itu, Encik Amrin berkata ia menyampaikan satu mesej penting.
"Saya rasa ini satu usaha yang sangat baik kerana ia menghantar isyarat yang sangat penting. Yang kita tidak semestinya orang yang berpangkat atau berada untuk menyumbang kepada masyarakat, untuk menabur bakti, untuk memberi kebahagiaan kepada mereka yang memerlukan.
"Sebenar-benarnya, semua orang mampu dan berupaya untuk membuat jasa yang baik," kata Encik Amrin yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan.
Ini diakui Encik Mohammed Anis. "Saya rasa berbesar hati dapat peluang bantu orang yang susah. Memang kita ada banyak orang yang susah tetapi kita tidak tahu bagaimana boleh hulur bantuan," katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai inisiatif seperti 'Project Happiness', Encik Amrin berkata peluang seperti ini berupaya membuat para pesalah menjadi lebih yakin diri.
"Jika kita memberi peluang yang sewajarnya kepada mereka, memberi mereka wadah seperti ini, ini adalah satu cara di mana kita memberi mereka peluang untuk menunjukkan siapakah sebenarnya diri mereka," tambah Encik Amrin.
'Projek Happiness' dilancarkan tahun ini oleh Jamiyah dan bermatlamat mengajak bekas pesalah dan para penghuni Darul Islah untuk berbakti kepada masyarakat. Ini bagi memupuk semangat kemasyarakatan dalam diri mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.