5 pemandu ditahan dalam operasi Polis Trafik kerana pandu ketika mabuk
Lima orang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam satu operasi merata negara oleh Polis Trafik lewat semalam (4 Jan).
SINGAPURA: Lima orang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam satu operasi merata negara oleh Polis Trafik lewat semalam (4 Jan).
Empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 dengan 49 tahun gagal ujian analisis pernafasan selepas ditahan polis.
Keseluruhannya, 30 pemandu ditahan dan diuji bagi pengambilan alkohol sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan. Salah satu hasil ujian menunjukkan paras alkohol setinggi 55 miligram bagi setiap 100 mililiter nafas, melampaui batas yang dibenarkan iaitu 35 miligram alkohol.
Operasi itu dilancarkan selepas jumlah kemalangan berkaitan dengan pemandu mabuk meningkat pada sembilan bulan pertama tahun lalu. Terdapat 126 kemalangan berlaku akibat pemandu mabuk dari Januari hingga September 2018, satu kenaikan 22.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017.

(Gambar: Vanessa Lim)
Lebih 1,500 orang ditangkap antara Januari dengan September tahun lalu.
Jumlah mangsa yang cedera dalam kemalangan seumpama itu juga meningkat, yang mana terdapat 160 kes pada sembilan bulan pertama 2018, naik dari 126 kes bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Bagi mengatasi ini, polis menyatakan ia akan meneruskan usaha penguatkuasaannya di samping mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai.
"Kami menumpukan usaha terhadap kumpulan-kumpulan sasaran seperti para penunggang motosikal, syarikat-syarikat kenderaan berat, persatuan-persatuan pengangkutan serta sekolah-sekolah memandu," kata Timbalan Komander Polis Trafik Anthony Yap.
"Kami juga bekerjasama dengan pusat-pusat hiburan untuk memainkan peranan dalam mengingatkan para pelanggan supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk, bekerjasama dengan (mereka) bagi menyediakan khidmat-khidmat valet percuma untuk menghantar pulang para pelanggan," tambahnya.
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Cik Sun Xueling berkata pada Disember bahawa pihak berkuasa sedang menimbangkan hukuman lebih berat bagi pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk.
Ini termasuk, denda lebih berat, tidak dibenarkan memandu buat tempoh lebih panjang dan hukuman penjara lebih lama.
Buat masa ini, pesalah kali pertama berdepan dengan denda antara S$1,000 dan S$5,000 dan dilarang memandu selama sekurang-
kurangnya setahun.
Pesalah berulang pula boleh didenda sehingga S$30,000 dan dipenjara sehingga tiga tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.