5 pemandu bas saman SBS Transit atas pertikaian gaji, kurang bayaran lebih masa
Lima pemandu bas memfailkan tuntutan mahkamah terhadap majikan mereka, pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST) atas dakwaan tidak dibayar bagi kerja lebih masa - yang melanggar peraturan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) - sejak mereka mula berkerja dengan syarikat itu.
Bas SBS Transit. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Lima pemandu bas memfailkan tuntutan mahkamah terhadap majikan mereka, pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST) atas dakwaan tidak dibayar bagi kerja lebih masa - yang melanggar peraturan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) - sejak mereka mula berkerja dengan syarikat itu.
Peguam para pemandu tersebut, Encik M Ravi dari Carson Law Chambers, mengeluarkan writ saman terhadap syarikat itu pada Isnin (23 Sep).
Menurut dokumen mahkamah yang dimaklumkan kepada Mediacorp, para pemandu tersebut - yang terdiri daripada tiga rakyat Singapura dan dua warga Malaysia - turut mendakwa bahawa pengendali pengangkutan itu melanggar syarat-syarat kontrak, termasuk:
- Mengharapkan mereka bekerja tujuh hari berturut-turut sebelum diberi hari cuti, yang menurut mereka bukan seperti yang dipersetujui dengan SBST berdasarkan syarat kerja masing-masing. Akta Pekerjaan menetapkan pekerja syif seharusnya mendapat satu hari rehat setiap minggu jika mereka bekerja berturut-turut selama 30 jam.
- Mengarahkan mereka bekerja lebih 44 jam seminggu, yang melanggar Akta Pekerjaan
- Tidak membayar kerja lebih masa bagi kerja yang dilakukan pada hari cuti. Pekerja berhak menuntut bayaran lebih masa jika gaji asas mereka tidak melebihi S$4,500 dan majikan perlu membuat bayaran 1.5 kali ganda kadar asas mereka bagi setiap jam.
Salah seorang pemandu bas, Encik Chua Qwong Meng, mula bekerja dengan SBST pada April 2017. Gaji yang diterimanya tidak setimpal dengan rekod waktu kerja yang diserahkannya, menurut tuntutan yang dikemukakan.
Sebelum memfailkan tuntutan mahkamah, Encik Chua membuat aduan kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian. Kes tersebut kemudian dirujuk kepada Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Keempat-empat pemandu bas yang lain dipercayai sudah diberitahu supaya menunggu keputusan aduan dan hasil tuntutan Encik Chua.
Encik Chua bagaimanapun "tidak mendapat jawapan muktamad" selepas bertemu dengan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan pada 19 Julai dan dengan beberapa pihak daripada ComfortDelGro dan SBST pada 27 Ogos.
SBST adalah anggota kumpulan syarikat ComfortDelGro.
Selepas mesyuarat-mesyuarat tersebut, Encik Chua meminta SBST memberikan surat rasmi yang mendedahkan gaji bulanannya secara terperinci.
Pengendali pengangkutan itu dipercayai bersetuju untuk memberikannya surat berkenaan dalam tempoh dua hari. Encik Chua bagaimanapun tidak menerima surat tersebut. Beliau turut menghantar empat emel susulan kepada SBST, yang dijawab SBST dengan menekankan pendirian syarikat itu.
Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan pendirian syarikat berkenaan.
Pengendali pengangkutan itu diberi masa seminggu untuk memfailkan notis di mahkamah untuk menyatakan sama ada ia akan mempertahankan kedudukannya terhadap tuntutan para pemandu itu.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, SBST mengesahkan bahawa ia sudah menerima surat saman dari Carson Law Chambers bagi pihak para pemandu itu pada Isnin.
Jurucakap SBST, Cik Tammy Tan, berkata syarikat itu sedang berbincang dengan para peguam mereka. "Kami merancang untuk mempertahankan syarikat daripada dakwaan itu," tambah beliau.
Kelima-lima pemandu bas menuntut kerugian yang akan dinilai untuk gaji, faedah wajib sebanyak 5.33 peratus setiap tahun dan kos-kos lain.
Menurut Encik Ravi, anak guamnya masih bekerja dengan SBST.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.